Connect with us

#news

27 Etnik R0hingya Ditemui Sembunyi Di Pulau Berhampiran Langkawi

Seramai 27 orang dari puak etnik R0hingya yang dikatakan lemas di Pulau Rebak Besar, kelmarin ditemui dalam keadaan selamat dan secara haramnya memasuki Malaysia.

Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah, yang merupakan Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia menyatakan bahawa 13 dari jumlah tersebut adalah lelaki, sembilan wanita dan lima kanak-kanak (empat lelaki, satu perempuan) ditemui bersembunyi di pulau tersebut yang berdekatan Langkawi pada 6:15 petang semalam.

Puak tersebut ditemui sewaktu Operasi Mencari dan Menyelamat dijalankan berkenaan pihak berkuasa menerima laporan salah seorang daripada puak R0hingya ‘selamat‘, mendakwa bahawa 24 orang yang lain ditakuti lemas selepas terjun dari sebuah bot di pulau Rebak Besar pada hari Sabtu, jam 8 malam.

Muslihat itu dipercayai modus operandi baru puak berkenaan dalam usaha memasuki Malaysia secara haram.

Ini kerana sebelum itu, terdapat kes yang berlaku dimana puak mereka bertindak sengaja membocorkan bot serta merosakkan enjin berhampiran pulau tersebut sebelum sampai ke Malaysia.

“(Awalnya) pasukan operasi mencari dan menyelamat itu gagal menemukan sebarang petunjuk atau mangsa. Pasukan operasi kemudian mendapat aduan dari seorang nelayan tempatan yang menemukan seorang lelaki etnik R0hingya di Pulau Rebak Besar, seterusnya bot Kilat Maritim Malaysia telah diatur gerak ke lokasi berkenaan.

“Migran tersebut telah dibawa pulang ke Jeti Maritim Malaysia Negeri Kedah dan Perlis, Bukit Malut untuk siasatan. Dia kemudian memaklumkan ada 26 lagi migran masih bersembunyi di pulau itu.

“Ekoran itu, Bot Kilat dan Kapal Maritim (KM) Gagah bersama aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melakukan pencarian sebelum menemukan 26 lagi migran berusia antara lima hingga 45 tahun,” kata Mohd Zawawi. Beliau membuat kenyataan demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Bukit Malut hari ini.

Beliau menambah, keseluruhan migran berjumlah 28 orang termasuk pengadu dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Negeri Kedah dan Perlis, Bukit Malut untuk menjalani ujian saringan Covid-19 dan siasatan lanjut sebelum diambil alih oleh Jabatan Imigresen Malaysia.

Hasil dari siasatan itu, dikatakan migran terlibat bertindak terjun dari sebuah bot nelayan sebelum berenang ke Pulau Rebak Besar.

“Kita masih menyiasat sejak bila mereka berada di pulau tersebut dan bagaimana berjaya lolos masuk ke perairan negara. Selain itu, siasatan mendapati migran yang ditahan itu mempunyai kaitan dengan dua tekong darat atau ‘dallal’ yang ditangkap dalam operasi melibatkan lima agensi, 21 Julai lalu.

“Berkenaan modus operandi pergerakan migran ini, kita tidak menolak kemungkinan sebuah bot nelayan perlu datang untuk mengambil mereka tetapi kerana dua tekong darat itu telah ditahan menyebabkan mereka kehilangan arah menyebabkan seorang berenang menuju kawasan ‘breakwater’ (pemecah ombak) di Kuala Chenang,” katanya.

Mohd Zawawi meluahkan rasa kesal terhadap sikap nelayan tempatan yang disyaki menjadi dalang dan bersubahat membawa masuk migran kedalam Malaysia.

“Siasatan mendapati modus operandi sindiket menggunakan taktik menyeludup migran daripada bot induk yang berada berhampiran sempadan perairan negara ke bot nelayan tempatan bagi mengaburi pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Sementara itu, Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) percaya bahawa migran terlibat mendapat bantuan orang tempatan dikawasan itu yang dianggap menjadi tali barut terhadap sindiket penyeludupan migran.

Datuk Aris Adi Tan, Komander NTF Laksaman Madya, membuat spekulasi, ada penduduk di pulau itu dipercayai memberi kemudahan berbentuk pengangkutan (bot-bot nelayan) bertujuan menghilangkan syak wasangka pihak berkuasa.

“Ini berikutan taktik digunakan mereka setelah memasuki perairan negara dengan cara menaiki bot-bot nelayan tempatan.

“Mereka (migran) kemudiannya akan menyamar sebagai nelayan sebelum mendarat di pulau-pulau sekitar Pulau Langkawi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Datuk Aris Adi meluahkan, kelakuan penduduk tempatan yang melibatkan diri bantu membawa masuk migran melalui sempadan laut atau darat negara adalah perbuatan pengkhianat negara.

Beliau menambah, NTF akan terus melakukan pemantauan secara berterusan dan tindakan keras akan dilakukan demi menjaga kesejahteraan dan keselamatan negara.

“Tangkapan demi tangkapan akan dilakukan bagi mengesan saki-baki sindiket terlibat dalam penyeludupan migran.

Masyarakat digesa bekerjasama dalam menyalurkan sebarang maklumat berkenaan dengan migran, penyeludupan, pencerobohan sempadan atau sebarang kegiatan jenayah rentas sempadan melalui talian penting Pusat Operasi NTF (011-6251 1223),” katanya.

Sumber: BERNAMA

Continue Reading

Trending

    Tersilang akar ada tunasnya, Melingkar sabut kenal umbinya