9 lagi positif di Parlimen, Semalam 56 kes positif ᴄᴏᴠɪᴅ-19 hasil saringan sebelum sidang Parlimen.

Sembilan lagi kes positif ᴄᴏᴠɪᴅ-19 dikesan di Parlimen menjadikan jumlah keseluruhan 11 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sembilan kes itu dikesan melalui kit ujian kendiri RTK Antigen air liur yang dilaksanakan petang semalam.

Katanya, pelaksanaan ujian kendiri itu dilakukan selepas terdapat dua kes positif yang dikesan di dalam bangunan berkenaan.

“Pada 29 Julai jam 12.30 tengah hari, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dimaklumkan mengenai dua kes positif ᴄᴏᴠɪᴅ-19 yang hadir ke Parlimen.

“Kes pertama adalah seorang petugas yang hadir ke Parlimen pada Isnin sehingga Rabu lalu dan dilaporkan positif ᴄᴏᴠɪᴅ-19 semalam selepas melalui ujian pengesahan RT PCR yang dijalankan sendiri di sebuah fasiliti kesihatan kerana beliau mengalami gejala batuk dan selesema.

“Bagi kes kedua pula ia dikesan semasa saringan di Parlimen pada pagi 29 Julai menggunakan ujian kendiri RTK Antigen (Ag) air liur kerana beliau mengalami gejala batuk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Dr Noor Hisham, siasatan kes mendapati kedua-dua kes ini tiada kaitan dengan kes positif yang dikesan dalam saringan petugas Parlimen yang dijalankan tiga hari sebelum Sidang Mesyuarat Khas Parlimen bermula.

Katanya, kedua-dua kes berkenaan juga negatif ᴄᴏᴠɪᴅ-19 apabila saringan dilakukan ke atas mereka sebelum bertugas di Parlimen.

“Penilaian risiko berdasarkan maklumat siasatan awal serta sejarah pergerakan, didapati kes dikhuatiri berada di beberapa lokasi di sekitar Parlimen semasa tempoh Sidang Mesyuarat Khas Parlimen.

“Sehubungan itu, KKM menasihatkan semua yang hadir dan berada di Parlimen bermula pada 26 Julai untuk menjalani ujian saringan pengesanan ᴄᴏᴠɪᴅ-19 menggunakan ujian kendiri RTK Ag saliva,” katanya.

Katanya, pasukan kesihatan dari Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) digerakkan bagi menjalankan saringan di Parlimen semalam yang tamat pada jam 8 malam.

“Seramai 1,183 individu sudah menjalani ujian saringan pengesanan ᴄᴏᴠɪᴅ-19 menggunakan ujian kendiri RTK Ag dan daripada jumlah yang disaring, sebanyak sembilan lagi kes dikesan positif ᴄᴏᴠɪᴅ-19 menjadikan secara keseluruhan sepuluh kes yang dikesan melalui RTK Ag air liur.

“Dua daripada 10 kes positif itu mengalami gejala ringan tetapi stabil dengan lapan kes tidak bergejala.

“Pejabat Kesihatan akan menyusuli selanjutnya ke atas 10 kes positif ujian saringan pengesanan ᴄᴏᴠɪᴅ-19 berkenaan,” katanya.

Secara keseluruhan, Dr Noor Hisham berkata, 10 kes dikesan melalui kit kendiri dan satu menerusi RT PCR.

“Berikutan pengesanan kes positif ᴄᴏᴠɪᴅ-19 ini, pasukan kesihatan akan menjalankan siasatan, penilaian risiko, pengesanan kontak, langkah-langkah pencegahan dan kawalan termasuk pembersihan dan disinfeksi di bangunan Parlimen.

“Semua yang akan hadir ke sesi Sidang Mesyuarat Khas Parlimen minggu hadapan dinasihatkan untuk menjalankan ujian saringan ᴄᴏᴠɪᴅ-19 terlebih dahulu.

“Mereka yang bergejala disaran membuat pemeriksaan dan tidak hadir ke Parlimen. KKM akan memaklumkan dari semasa ke semasa perkembangan terkini hasil ujian dan pengesanan kontak rapat yang dijalankan,” katanya.

Semalam, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon memaklumkan Sidang Dewan Rakyat terpaksa ditangguhkan sehingga Isnin berikutan terdapat Dua Ahli Parlimen, enam pegawai pengiring dan 48 pegawai pelbagai agensi kerajaan disahkan positif ᴄᴏᴠɪᴅ-19 menerusi ujian saringan dilakukan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada keseluruhan 56 kes yang positif daripada 2,093 individu menjalani ujian saringan, 39 orang belum menerima dos vaksin lengkap atau belum menerima vaksin.

“Hasil siasatan dan penilaian risiko dijalankan setakat semalam, kes positif ini tidak mempunyai kaitan epidemiologi antara satu sama lain.

“Individu yang disahkan positif tidak dibenarkan hadir ke Sidang Parlimen dan diasingkan, dirawat dan diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (HSO) termasuk kepada kontak rapat kes positif ini sebelum bermula Sidang Mesyuarat Khas Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, siasatan diteruskan untuk mengesan kontak rapat kepada kes positif itu.

Sumber: HM

Check Also

(VIDEO) Pecah Perut Penonton! Cat, Jihan, Danial Buat Parodi Vida-Iqbal

Kisah cinta antara Dato’ Seri Vida dan pasanganya, Iqbal menjadi tumpuan peminat industri hiburan tanah air. Perbualan …

Leave a Reply

Your email address will not be published.