Akhirnya Fasha Sandha, Aidil Aziz Bakal Ke Fasa Bertunang, Ini Kronologi Kisah Cinta Merpati Dua Sejoli Ini

Kalau tiada angin, masakan pokok bergoyang?

Sejak beberapa hari lalu, kecoh kononnya pelakon jelita berstatus ibu tunggal, Fasha Sandha dan jejaka yang disapanya ‘Pak Ngah’, Aidil Aziz akan bertunang, tidak lama lagi.

Kononnya bakal mengikat tali pertunangan pertengahan bulan ini, Fasha dan Aidil yang diketahui ramai menjalin hubungan akrab sejak setahun lalu, sekali lagi diburu bagi mendapatkan pengesahan.

Sebelum ini, terdengar desas-desus kononnya mereka sudah menempah busana untuk digayakan pada hari bahagia.

Bertanya kepada Fasha, pelakon drama Syurga Yang Kedua ini enggan mengulas lanjut, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada keluarga.

“Maaf… Saya tak boleh jawab apa-apa selagi perkara itu belum berlaku.

“Namun, apa-apa pun, saya nak ucapkan terima kasih kepada peminat yang mendoakan yang baik-baik untuk saya, Aidil dan dua anak saya,” katanya kepada BH Online.

Hubungan erat Fasha dan Aidil bukan lagi rahsia. Bulan lalu, pasangan ini melangkah bersama di acara karpet merah, Anugerah Bintang Popular BH Ke-31 di Pusat Konvensyen Antarbangsa Putrajaya (PICC).

Fasha berkata, ketika ini, dia sibuk membuat persiapan membintangi drama Semua Salahku terbitan A Aida Production.

“Saya juga sibuk membaca novel Patah Sayap Bertongkat Paruh untuk drama 14 episod terbitan Zeel Production, tidak lama lagi.

“Saya terlalu sibuk dengan kerja. Jadi, saya serahkan semuanya pada pihak keluarga untuk membuat keputusan mengenai kehidupan peribadi,” kata ibu kepada Putra Rayfal Ramli dan Putri Raysha Jemyma ini.

Pasangan pelakon, Fasha Sandha dan Aidil Aziz difahamkan bakal mengikat tali pertunangan minggu ini dalam satu majlis tertutup, yang hanya dihadiri keluarga dan teman rapat.

Andai benar seperti yang dicanang, tahniah MH ucapkan kepada pasangan tersebut. Moga dipermudahkan semuanya.

Jom, ikuti kisah cinta di antara pasangan sama cantik, sama padan ini!

1. Pasangan ini mula digosipkan awal tahun tahun ini apabila sering kelihatan bersama namun kedua-duanya mengakui mula rapat ketika berlakon sama dalam sitkom terbitang Fasha, Mamu Mami Gosip.

2. Fasha melakukan kejutan untuk ulang tahun kelahiran Aidil yang ke-31, Jun lalu dalam suasana yang cukup romantis sekali.

3. Video mesra, Fasha dan Aidil ketika berada di lapangan terbang tersebar di sosial media namun pelakon filem Nana Tanjung itu segera menjelaskan perkara sebenar terjadi ketika itu.

4. Mengakui selesa berkawan dengan Fasha, Aidil mengakui sudah bersedia untuk menggalas sebagai seorang suami sekiranya jodohnya dan Fasha sudah sampai

5. Ogos lalu, Fasha mengakui bahawa Aidil adalah lelaki yang rapat dengan kedua anaknya, Putra Rayfal dan Putri Raysha Jemaima malah kedua-dua mereka sudah berjumpa dengan orang tua masing-masing.

6. Oktober lalu, ada khabar angin mengatakan bahawa Fasha dan Aidil sudah bertunang namun pelakon drama Villa Ghazara itu menafikan berita tersebut dan terkini, kecoh bila pasangan ini sekali lagi dikatakan akan bertunang minggu ini.

Foto/Instagram: Fasha Sandha via Media Hiburan