“Dah rasa dia nak pergi, minta ambilkan wudu’ sebelum nafas terakhir,” – Siti Hawa Sawal

“SEJAK semalam, akak perasan abang dah mula lain. Dalam hati terdetik juga macam dia nak tinggalkan kami, tapi akak pendam saja dulu,” demikian luahan isteri kepada pelakon dan pelawak, Zaibo, yang berkongsi detik terakhir suaminya.

Siti Hawa Sawal, 52 berkata, allahyarham Zaibo atau nama sebenarnya Zainal Ariffin Abd Hamid dilihat mulai lemah sejak kelmarin namun cuba menyembunyikan perasaan itu.

Menurutnya, doktor turut meluahkan kekhuatiran mengenai tahap kesihatan anak seni berusia 62 tahun itu ketika dibawa ke Klinik Kesihatan Rengit pagi semalam.

“Masa tu doktor beritahu yang dia bimbang dengan kondisi abang. Dia pesan pada ahli keluarga yang mungkin dah patut bersedia dan pagi tadi pula, tahap kesihatan abang semakin merosot. Akak tengok dia tak mandi, tapi dia cakap dia dah mandi, mungkin dia nak sedapkan hati akak.

“Kemudian dia minta makanan dan lepas tu suruh akak keluar beli barang keperluannya yang lain. Bila akak balik tadi, akak perasan abang makin berbeza. Akak syak juga perkara ni sebab hari-hari akak yang jaga dan tengok dia, akak perasan kaki dia dah biru,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di kediamannya di Pekan Rengit di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Siti Hawa berkata, allahyarham suaminya itu sempat meminta dia mengambil anaknya di sekolah rendah berhampiran dan dia akur meskipun berasa berat hati.

“Masa tu anak sulung ada di rumah dan saya juga sempat minta kakak ipar serta abang teman suami sebab nampak perubahan ketara dia. Mereka bacakan Yasin di sisinya. Masa dalam perjalanan ke sekolah lebih kurang 1.20 tengah hari, anak sulung hubungi akak minta patah balik sebab katanya abang sesak nafas.

“Akak terpaksa balik ke rumah dan minta bantuan orang lain ambilkan anak di sekolah. Masa tunggu bantuan perubatan tiba, abang hembuskan nafasnya,” katanya.

Menurutnya, anak sulung yang turut berada di sisi suaminya itu memberitahu allahyarham Zaibo sempat bertakbir sebanyak tiga kali sebelum meningal dunia.

“Akak reda dengan pemergian arwah dan cuma ada arwah pesan supaya terus menjaga sembilan anak tirinya dengan baik. Walaupun semua mereka ini anak tiri abang, tapi abang cukup sayangkan mereka. Kalau tanya siapa yang lebih rapat dengan anak-anak, mungkin mereka akan cakap ayah (Zaibo) berbanding akak,” katanya.

Dalam pada itu, allahyarham Zaibo yang berasal dari Anak Bukit, Kedah dikebumikan selepas isyak di Tanah Perkuburan Islam Rengit, di sini.

“Dia sempat minta mandi dan ambilkan wuduk. Tidak lama selepas itu dia sudah tiada,” kata Siti Hawa Sawal, isteri Allahyarham Zaibo yang meningal dunia hari ini.

Siti Hawa ketika dihubungi berkata, suaminya menghembuskan nafas terakhir di sisinya, anak-anak dan keluarga terdekat 1.30 petang tadi di kediaman mereka di Batu Pahat, Johor.

“Alhamdulillah, rezeki dia (suami) pergi dengan mudah. Sebelum mennggal dunia, arwah cakap dia panas dan minta dimandikan.

“Buat masa ini, saya mohon maaf kerana tidak boleh memberi komen lanjut kerana masih terkejut dan terlalu sedih dengan pemergiannya.

“Insya-Allah, biarlah saya uruskan semuanya terlebih dahulu dan sedia memberikan kenyataan selepas ini. Apa pun, terima kasih diucapkan,” katanya.

Jenazah akan dimandikan dan disolatkan di rumah mereka di Rengit dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rengit selepas solat Isyak.

Sebelum ini, Allahyarham pernah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh bagi menjalani rawatan lanjut selepas dirujuk oleh Hospital Batu Pahat.

Selamat dikebumi

Jenazah selesai dikebumi pada jam 9.20 malam selepas tiba di tanah perkuburan itu kira-kira jam 9.10 malam dan disolatkan di Masjid Jamek Pekan Rengit.

Selain keluarga, beberapa teman rapat dan rakan seni Allahyarham turut kelihatan di tanah perkuburan itu.

Turut hadir, Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) Datuk DJ Dave.

Pelakon yang mencipta nama menerusi sitkom Spanar Jaya itu mulai merasai tanda-tanda sakit dua minggu selepas Aidilfitri lalu.

Sumber dari Karangkraf