Kalau dulu menyanyi, kini mengaji… Mizz Nina lebih tenang tanpa fikir kerjaya seni

ISTERI kepada penyanyi Noh Salleh iaitu Mizz Nina kini mempunyai minat dan tujuan baharu dalam kehidupannya tanpa memikirkan lagi kerjaya seni.

Mizz Nina atau Syazrina Azman, 37, berkata dia mahu mempelajari, memahami dan melaksanakan ajaran dalam Al-Quran dan Sunnah yang menjadikannya lebih tenang.

“Saya ada minat baru dan tujuan dalam hidup saya. Belajar, memahami dan melaksanakan Quran dan Sunnah.

“Dakwah, kasih sayang untuk manusia dan kemanusiaan. Ia memberikan saya ketenangan sebenar dan kepuasan dalam hati,” tulis Mizz Nina.

Antara soalan rawak daripada pengikut Mizz Nina di laman sosial.

Mizz Nina menjawab soalan rawak pengikut di laman Instagram yang bertanyakan mengapa dia tidak lagi menyanyi.

Jika sebelum ini boleh dikatakan setiap hari Mizz Nina menghabiskan masa dengan menyanyi namun kehidupannya kini digantikan dengan membaca Al-Quran dan menghadiri kelas mengaji.

Sementara itu, penyanyi yang pernah popular menerusi lagu Around The World ini juga mendapat pertanyaan mengenai bagaimana dia boleh sentiasa berfikiran positif.

Menurutnya, dia hanya memerlukan Allah, Al-Quran dan Sunnah bersamanya untuk kekal bermotivasi biarpun perlu menempuh pelbagai dugaan.

“Mempunyai Allah, Al-Quran dan Sunnah bersama saya merupakan semua yang saya perlukan untuk kekal bermotivasi, kalau dunia menentang saya.

“DIA (Allah) adalah pencipta tujuh syurga dan bumi dan semuanya, tiada yang lain sebelumNya dan selepasNya.

“DIA yang memelihara, menyediakan, melindungi, kita, kenapa perlu saya bimbang? Mempunyai iman dan tawakal pada Allah adalah kunci,” katanya.

“Setiap pagi saya akan membaca Al-Quran dan hujung minggu saya ada kelas mengaji pula. Saya rasa lebih tenang dan seronok menjalani hari-hari saya.

“Walaupun kadang-kala ada juga perasaan malas tapi saya paksa juga. Lama-kelamaan sudah menjadi amalan setiap hari.

“Buat masa ini, saya masih lagi dalam proses belajar sebutan ayat dengan tepat dan betul,” kata Mizz Nina yang lebih selesa menjadi pengacara

Dalam pada itu, isteri penyanyi Noh (Hujan) ini memberitahu dia sedang berusaha menguatkan diri untuk sentiasa istiqamah dalam penghijrahannya.

“Saya masih lagi berusaha keras untuk memastikan penghijrahan saya tidak terhenti di separuh jalan. Sebab itu orang selalu cakap bila nak berubah ke arah yang lebih baik ini kena istiqamah.

“Selain itu, kawan-kawan yang rapat juga memainkan peranan penting. Kena saling mengingati satu sama lagi untuk melakukan perkara yang wajib dan baik,” ujarnya.

Karanya, memilih untuk melakukan penghijrahan besar dalam hidup bukan sesuatu perkara mudah.

Perlu ada kekuatan dalam diri dan tetapkan pendirian supaya tidak lagi menoleh ke belakang.

Mizz Nina mula memakai hijab pada 2013 dan kehidupannya turut berubah semenjak penghijrahan tersebut. – mStar