“Mengada suruh buat baju, dah bagi tak nak pakai! ‘No more’ Amelina!” – Razman Razmi kecewa dengan kerenah Amelina

PEREKA fesyen Razman Razmi kesal dengan pihak Amelina yang enggan memakai busana yang telah direka untuknya bagi menyertai separuh akhir Gegar Vaganza kelima (GV5).

Razman berkata, dia amat kesal kerana Amelina dan pihak pengurusan artis berkenaan sebenarnya telah meminta dia menghasilkan sepasang busana dan telah bertungkus lumus membuatnya namun pada saat-saat akhir, mereka memilih pakaian daripada pereka fesyen lain.

“Saya setuju nak buat baju Amelina untuk minggu ketujuh disebabkan ada kenalan rapat yang minta tolong walaupun sebenarnya saya dah menarik diri daripada menaja pakaian peserta GV5. ‘No more’ lepas ni.

Luahan Razman Razmi menerusi laman sosialnya.

“Tapi apabila baju dah siap dan pihak pengurusan Amelina minta saya datang bawa baju untuk fitting, mereka kata tak nak pula sebab nak pakai baju pereka fesyen lain.

“Niat saya nak menolong tapi mereka buat macam ni pula. Kalau dah ada baju, buat apa minta tolong saya lagi,” katanya ketika dihubungi mStar Online.

Dia diminta mengulas mengenai status panasnya yang mengkritik pihak Amelina dan pengurusan artis itu kerana tidak memberi kerjasama yang baik dalam urusan penyediaan pakaian dalam pertandingan berkenaan.

Razman Razmi menaja pakaian Amelina sejak awal promosi sehingga minggu kelima konsert GV5.

Razman Razmi Kuala Lumpurmerupakan butik yang menaja pakaian penyanyi dangdut itu dari awal promosi sehingga minggu kelima konsert GV5.

Dalam pada itu, Razman berkata, dia sudah serik untuk berurusan dengan artis berkenaan selepas kejadian berkenaan termasuklah pihak produksi rancangan tersebut kerana mendakwa mendapat layanan buruk.

“Selepas ini memang pihak saya dah serik dan tak nak bekerjasama dengan mereka lagi. Walaupun saya baik dengan salah seorang daripada pengurusan itu, tapi saya hanya akan tolong dia sahaja tapi bukan mereka,” ujarnya.

Ahad ini, enam finalis konsert akhir Gegar Vaganza 5 (GV5) bakal berentap untuk merebut takhta juara.

Mereka ialah Noryn Aziz, Amelina, Dia Fadila, Zamani, Maya dan pasangan duo Billy Zulkarnain.

Menerusi segmen Ada Lagu Ada Lagi konsert separuh akhir, pasangan hos Jihan Muse dan Nabil Ahmad telah mengumumkan senarai lagu tugasan yang bakal didendangkan mereka.

Membawa tema duet dan ‘battle’, para finalis akhir ini telah diberi cabaran untuk menyampaikan dua buah lagu.

Buat julung kalinya dalam sejarah, peserta dikehendaki membawakan lagu duet bersama artis jemputan di konsert kemuncak.

Manakala untuk persembahan kedua, mereka dicabar untuk menyanyikan lagu di luar lingkungan zon selesa masing-masing.

Berikut lagu tugasan konsert akhir GV5:  

Lagu Duet

1. Noryn Aziz & Awi Rafael – Laskar Cinta (Dewa 19)

2. Amelina & Bob – The Power Of Love (Celine Dion)

3. Dia Fadila & Ajai – Makin Aku Cinta (Anang & Kris Dayanti)

4. Maya & Ernie Zakri – Nisan Cinta (Siti Nordiana & Jaclyn Victor)

5. Zamani & Ameng – Lagu Jiwa Lagu Cinta (Mawi & M.Nasir)

6. Billy Zulkarnain & Idayu – Curiga (Ning Baizura)

Lagu ‘Battle’

1. Where Is the Love (The Black Eyed Peas) – Noryn Aziz vs Dia Fadila

2. Teman Pengganti (Black & Malique) – Amelina vs Maya

3. Bunga (Altimet) – Billy Zulkarnain vs Zamani

Konsert akhir GV5 bakal berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), serta dikeudarakan secara langsung di saluran Astro Ria pada 18 November, jam 9 malam.

Keputusan diadili sepenuhnya oleh juri profesional yang terdiri daripada dua juri tetap, pengarah muzik Datuk Ramli MS dan penyanyi Datuk Khatijah Ibrahim, serta juri undangan.

Juara Gegar Vaganza musim kelima bakal menerima ganjaran wang tunai RM100,000, manakala RM50,000 untuk naib juara dan RM30,000 untuk pemenang ketiga.

Diikuti tangga keempat, kelima dan keenam mendapat habuan wang tunai sebanyak RM20,000, RM15,000 dan RM10,000. Kesemua mereka juga akan dikurniakan trofi. – mStar Online