Nak buat macam mana. Kami dah ‘senja’ – Riezman Khuzaimi

KUALA LUMPUR: Pelakon, Riezman Khuzaimi, tidak memikirkan soal mendapatkan cahaya mata apabila berkahwin dengan ‘Iron Lady’, Datuk Normaziah Sheikh Mohamad, lebih setahun lalu.

Katanya, beliau dan isteri, yang juga Presiden Kelab Wanita Ikon Malaysia, masing-masing sudah menghampiri usia setengah abad, justeru persoalan mengenai zuriat tidak pernah ditimbulkan.

“Jika diikutkan, saya dan isteri baru saja menyambut cucu. Jadi, kami memang tidak terfikir mengenai persoalan mendapatkan anak. Usia kami pun sudah ‘senja’.

“Saya dan isteri sama-sama genap berusia 48 tahun pada Mac lalu,” katanya yang mengahwini wanita berkenaan pada 15 Disember 2016.

Riezman pernah berkahwin dengan pelakon, Kartina Ayub, pada 2001 namun berpisah pada 2015. Mereka dikurniakan dua cahaya mata, Afiq Kiraman, 13, dan Ruzain Nars, 8.

Menyentuh kerjaya lakonan, baru-baru ini Riezman giat menjalankan promosi filem Takdir yang turut dibintangi Elizad Sharifuddin, Edika Yusof dan Elisya Sandha.

Begitupun katanya, naskhah terbitan Rousing Muses Picture Sdn Bhd arahan Shirin Khuzaimi itu takkan menjengah pawagam secara komersial, sebaliknya dihasilkan bagi pasaran dan tayangan luar negara.

Menjalani penggambaran sekitar Ogos tahun lalu di Jerman dan Malaysia, ia juga ditayangkan pada beberapa siri jelajah untuk tujuan amal. Baru-baru ini umpamanya ia ditayangkan di Cyberjaya sempena Hari Wanita Sedunia.

Karya berkenaan juga dilaporkan berjaya menembusi festival filem antarabangsa di Russia, Jerman dan Amerika Syarikat.

“Memang filem ini takkan ditayangkan di pawagam, tetapi kita anjurkan tayangan amal bagi memungut dana yang bakal dihulurkan kepada pertubuhan wanita memerlukan. Jika tiada aral, kami merancang 10 siri tayangan amal Takdir di seluruh negara.

“Mungkin selepas semua siri jelajah itu selesai, kita cuba menayangkannya pula di Astro First. Penerbitnya, Ken Chia, menghasilkan filem ini juga bukan atas paksi mendapatkan keuntungan,” katanya.

Mengenai pembabitan beliau dalam filem itu, Riezman berkata, watak Aziz yang juga seorang suami dan bapa dilihat sesuai dengan dirinya.

“Saya memang sudah agak lama tidak berlakon. Namun, saya juga tidak pernah berkata sudah bersara daripada lakonan. Cuma, sebelum ini kebanyakan skrip yang dihulurkan kepada saya lebih kurang sama. Saya bagaimanapun menerima tawaran produksi Takdir kerana watak diberikan agak berbeza,” katanya.

Takdir mengisahkan mengenai rumah tangga sepasang suami isteri yang hidup bahagia dan dilihat sempurna. Namun, keharmonian mahligai mereka diduga apabila si isteri disahkan menghidap kanser. Sejak situ bermula konflik yang memaparkan bagaimana masing-masing menerima ketentuan takdir dengan hati terbuka. – BeritaHarian