Connect with us

#news

Bantulah kami dengan duduk di rumah, KP Kesihatan rayu rakyat tidak keluar rumah

Published

on

KUALA LUMPUR- “Saya merayu kepada semua rakyat Malaysia, sila ambil perintah kawalan pergerakan ini secara serius.

“Duduk di rumah,” Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah merayu orang ramai supaya lebih bertanggungjawab dan tidak keluar rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Menurut Dr. Noor Hisham Abdullah, jika rakyat Malaysia masih terus bersikap “tidak kisah”, Malaysia mungkin akan menghadapi gelombang ketiga virus tersebut yang lebih besar daripada tsunami.

“Bantulah KKM dengan memainkan peranan anda, kerana setiap individu bertanggungjawab untuk mengambil segala langkah berjaga-jaga demi keselamatan diri dan keluarga.

Beliau berkata, rakyat perlu membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan memainkan peranan masing-masing bagi mengelak negara terjerumus ke dalam gelombang ketiga penularan COVID-19.

“Kegagalan bukan pilihan di sini. Jika tidak, kita mungkin menghadapi gelombang ketiga virus ini yang seterusnya akan menjadi lebih besar seperti tsunami lebih-lebih jika kita mempunyai sikap “tidak kisah”, katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Berada di barisan paling hadapan dalam menangani krisis paling mencabar ketika ini, Noor Hisham dan para petugas kesihatan Malaysia mempunyai sebab yang kukuh untuk meminta semua rakyat bersungguh-sungguh memastikan pandemik Covid-19 yang telah mengorbankan dua nyawa itu dapat dikekang.

Bertugas siang dan malam tanpa rasa lelah, Kementerian Kesihatan telah melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan nyawa setiap pesakit dan menyebarkan maklumat-maklumat penting kepada rakyat supaya virus pembunuh itu tidak terus menular.

Namun, kedegilan orang awam sendiri yang mengambil sikap tidak endah menyebabkan Covid-19 terus menggila sehingga menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang merekodkan kes terbanyak di Asia Tenggara.

Hari ini, Perintah Kawalan Pergerakan dikuat kuasa sepenuhnya selepas pengumuman pelaksanaannya oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dibuat Isnin lalu.

“Hari ini adalah hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan di negara kita. Dengan kata-kata mudah, sila duduk di rumah dan jarakkan diri daripada orang lain.

Perintah itu antara lain menetapkan larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara dengan semua rumah ibadat dan premis perniagaan ditutup kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.

Selain itu, perintah itu juga membabitkan penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terbabit dengan perkhidmatan penting negara.

Bagaimanapun, sikap panik berhadapan dengan situasi tidak diduga ini masih jelas dilihat pada orang ramai, yang masih belum memahami mengenai perintah berkenaan sehingga berlakunya beberapa masalah seperti pembelian panik serta kesesakan yang serius di balai polis malam tadi berikutan orang ramai mahu mendapat permit pergerakan rentas negeri terutama untuk pulang ke kampung.

“Kita mempunyai peluang yang tipis untuk memutuskan rangkaian jangkitan COVID-19,” katanya.

Continue Reading

Trending

Shares