Les Copaque Kecewa Karya Tempatan Dianaktirikan Untuk Promosi Tahun Melawat Malaysia 2020

Pada bulan Mac yang lalu, Balai Seni Lukis Negara telah mengeluarkan kenyataan cadangan untuk mengangkat karakter animasi Jepun, Doraemon sebagai duta tahun melawat Malaysia 2020. Pengerusinya, Datuk Rashidi Hasbullah, berkata pemilihan tema Jepun secara tidak langsung mampu memperkenalkan Malaysia di mata dunia.

Namun sejak semalam, kenyataan ini nyata mendapat respon pelbagai daripada pihak khususnya penerbit kartun dan animasi tempatan. Antara yang nama besar yang tampil memberi respon ialah penerbit animasi Upin & Ipin, Les Copaque, Datuk Lat dan Ujang, masing-masing meluahkan rasa terkilan dan kecewa mengenai cadangan tersebut.

Jika dilihat pada senarai animasi tempatan seperti Upin & Ipin, Kampung Boy, Keluang Man, BoboiBoy, Ejen Ali dan beberapa lagi animasi tempatan berjaya membuktikan kualiti animasi kini setanding dengan animasi luar. Perkara ini jelas sekali dapat dilihat melalui jumlah penonton bukan sahaja tempatan bahkan juga penonton dari luar negara.

Dari segi pencapaian animasi tempatan pula, Kampung Boy karya Datuk Lat pernah digunakan sebagai alat bantu mengajar di salah satu universiti terkemuka di Jepun, malah pernah meraih pengiktirafan di peringkat antarabangsa. Bukan itu sahaja, animasi Les Copaque juga pernah diangakat sebagai Tourism Ambassador of Malaysia 2017, menerima pelbagai pengiktirafan dari dalam dan luar negara atas kejayaan menempah nama dalam industri animasi.

Les Copaque Kecewa Karya Tempatan Dianaktirikan Untuk Promosi Tahun Melawat Malaysia 2020

SUMBER: LES COPAQUE

Apa kurangnya animasi negara kita? Mungkinkah Jepun akan memilih watak animasi dari Malaysia untuk mempromosikan tahun melawat Jepun?

Andai negara Jepun membuat Tahun Melawat Jepun, mereka sendiri pastinya akan mengangkat karya sendiri sebagai duta pelancongan negaranya dan tidak ‘mengimport’ karya dari luar. Jadi, jika bukan kita sendiri yang mengangkat martabat animasi tempatan, siapa lagi?