Makcik ‘sekolahkan’ calon pilihanraya tidak takut dikenakan tindakan

Selepas tular dalam media sosial tindakannya membidas calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands yang datang berkempen, seorang wanita warga emas di sini Rahana Hassan,76, menegaskan dia tidak takut dikenakan tindakan.

Menurutnya, tiada apa yang perlu ditakutkannya kerana dia bukannya pengkhianat negara.

Katanya, dia hanya bercakap benar mengenai nasib masyarakat Melayu yang bagaikan menumpang di tanah air sendiri dan sikap pemimpin yang hanya datang semasa hendak mengundi.

“Kalau makcik tak berani cakap esok masa depan anak cucu kita macam mana? Makcik tak takut, kalau kata salah nak ambil, ambillah (tindakan).

“Sebelum ini mereka (calon-calon) tidak pernah datang tetapi bila hendak mengundi baru datang” katanya ketika ditemui di kedai runcitnya di Felda Sungai Koyan 1 di sini hari ini.

Baru-baru ini tular dalam media sosial rakan video tindakan Rahana yang membidas M. Manogaran ketika calon PH itu melakukan kunjungan mesra di kedainya dalam sesi kempen.

Dalam rakaman tersebut, Rahana meminta ‘surat lawyer’ daripada Manogaran sebagai bukti PH dapat menunaikan janji yang diberikan kepada pengundi-pengundi dalam PRK Cameron Highlands.

Video berdurasi 20 saat yang difahamkan dirakam oleh juruvideo portal Malaysia Gazette.

Gambar agih wang bukan isu besar, kata calon

Calon PH, M Manogaran berkata isu penularan gambar penyokong kerajaan mengagihkan wang beberapa hari lalu bukanlah masalah yang besar, kecuali ia diberikan sambil mengharapkan balasan undi.

Anggota DAP itu turut menafikan terdapat sebarang ugutan atau sogokan berlaku serentak dengan kejadian berkenaan.

“Isu yang kita hadapi sekarang bukanlah masalah yang besar. Pemberian wang oleh sukarelawan untuk makanan dan pengangkutan itu tidak salah dari segi undang-undang.

“Pemberian wang itu sebahagian daripada perbelanjaan untuk kempen dan akan dimasukkan dalam penyata akaun untuk kami serahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudian,” katanya.

Menurut Manogaran berdasarkan keputusan mahkamah, amalan yang salah ialah pemberian wang kepada orang ramai dengan mengharapkan balasan undi.

“Itu (baru) rasuah. Sangat jelas,” katanya.

Justeru Manogaran berkata pembangkang tidak perlu membuang masa membuat laporan polis berhubung gambar tersebut.

Sebaliknya kata Manogaran pembangkang lebih baik menggunakan masa yang ada untuk bertemu pengundi dan berkempen secara sihat.

Tampung kos petrol

Katanya PH komited untuk melangsungkan pilihan raya yang bersih dan adil.

Manogaran berkata demikian kepada media sebelum memulakan lawatan dari rumah ke rumah di Felda Sungai Koyan 2, Jelai hari ini.

Terdahulu beberapa keping gambar memaparkan seorang wanita memakai baju PH didakwa mengedarkan wang kepada masyarakat setempat menjelang pengundian pada 26 Jan ini.

Ia segera menarik perhatian pembangkang dan menjadi bahan mereka menyerang PH.

Kata Manogaran selagi perbelanjaan untuk pilihan raya kawasan parlimen sesebuah parti masih dalam jumlah yang dibenarkan – iaitu RM200,000 untuk kawasan parlimen – ia tidak sepatutnya menjadi masalah.

Menjelaskan latar di sebalik gambar tersebut Manogaran berkata ada kira-kira 60 sukarelawan datang ke Cameron Highlands menaiki motosikal.

Katanya petugas PH kemudian memberikan duit minyak kepada sukarelawan terbabit sebagai penghargaan.

“PH tidak memastikan pun sama ada mereka itu pengundi atau tidak,” katanya.

Semalam, Penolong Ketua Pusat Operasi PH Jelai, Arvind Bharet berkata pihaknya hanya memberikan bayaran balik kos petrol kepada sukarelawan yang menggunakan kenderaan sendiri pada hari penamaan calon pada 12 Januari.

Dalam perkembangan lain, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu menafikan dakwaan bahawa beliau menggunakan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

Sehubungan itu, beliau meminta bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menyemak terlebih dahulu fakta sebelum membuat tuduhan terhadapnya.

Katanya, gambar yang memaparkan beliau dengan berlatarbelakangkan helikopter merupakan lawatan rasminya ke Kem Slim, Cameron Highlands pada 9 Jan, tiga hari sebelum penamaan calon PRK kawasan Parlimen itu.

Jelasnya, beliau yang juga Presiden Amanah menaiki kereta persendirian ke Cameron Highlands pada hari penamaan calon, Sabtu lepas.

“Saya hairan bekas perdana menteri boleh berfikiran standard macam orang lain, sepatutnya dia semak dahulu fakta itu. Sebagai bekas perdana menteri kita hendak hormat dia. “Tetapi kalau dia juga macam orang lain, saya rasa tidak apalah…kesian tengok orang bertaraf begitu mengambil maklumat tepi jalan,” katanya kepada Bernama selepas program bual bicara Bernama News Channel di sini malam tadi.

Beliau mengulas hantaran di Facebook Najib mengenai gambar yang tular di media sosial mengaitkan Mohamad menggunakan helikopter ATM untuk berkempen pada PRK tersebut.

Mohamad berkata anggota tentera ditemuinya di Kem Slim juga bukan merupakan pengundi Parlimen Cameron Highlands, sebaliknya pengundi Parlimen Sungai Petani, Kedah.

Dalam pada itu, Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan malam tadi berkata dua gambar yang tular di media sosial adalah pada hari dan tarikh berlainan.

“Gambar pertama yang berlatarbelakangkan helikopter adalah lawatan rasmi beliau sebagai Menteri Pertahanan ke Kem Slim, Cameron Highlands pada Rabu, 9 Jan 2019. Beliau telah pulang ke Kuala Lumpur pada hari yang sama selepas selesai lawatan.

“Gambar kedua yang memaparkan beliau ke penamaan calon PRK Cameron Highlands adalah pada hari Sabtu, 12 Jan 2019. Beliau bertolak ke Cameron Highlands pada 11 Jan menggunakan jalan darat dengan menaiki kenderaan persendirian dan pulang ke Kuala Lumpur selepas selesai penamaan calon,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut dakwaan bahawa Mohamad menggunakan kenderaan rasmi kerajaan untuk berkempen di Cameron Highlands baru-baru ini, adalah tidak benar sama sekali, dan sehubungan itu mana-mana pihak perlu memeriksa terlebih dahulu untuk kesahihan maklumat sebelum menyebarkan perkara tidak benar.

Sumber dari MalaysiaKini