Padah ponteng sekolah, pelajar akhirnya ‘terperangkap’ dalam rumah kosong

SEREMBAN – Enam pelajar termasuk seorang perempuan yang ponteng sekolah terpaksa diselamatkan bomba selepas ‘terperangkap’ di tingkat empat di Rumah Pangsa Lobak di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, kesemua pelajar tingkatan lima dari sekolah menengah di sini, cuba melarikan diri selepas perbuatan mereka terbongkar, namun menemui jalan buntu kerana rumah yang dimasuki berkunci.

Adun Lobak, Chew Seh Yong berkata, penduduk menghubunginya memberitahu terdapat sekumpulan 10 pelajar ponteng sekolah berkumpul di dalam sebuah rumah tidak berpenghuni di tingkat lima.

“Bila saya sampai ke lokasi, saya tengok dua guru sekolah telah berada di situ untuk memujuk pelajar itu turun, tapi semuanya melarikan diri.

“Enam daripada mereka telah bertindak turun dari ‘balkoni’ bahagian belakang ke tingkat empat, tapi terperangkap di dalam rumah itu yang berkunci,”katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, pasukan bomba terpaksa dipanggil untuk membantu pelajar berkenaan turun dari tingkat tiga menggunakan tangga dan proses itu selesai kira-kira pukul 10.30 pagi.

Beliau berkata, kesemua pelajar itu telah di bawa ke balai polis berhampiran untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Operasi dari Balai Bomba Seremban, K Putthisigmany berkata, pihaknya menerima panggilan meminta bantuan kira-kira pukul 9.13 pagi.

“Seramai lapan anggota bersama satu jentera dan sebuah ambulan Unit Kecemasan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan (EMRS) dari Balai Bomba Seremban bergegas ke lokasi kejadian untuk membantu menurunkan para pelajar tersebut,” katanya.

Sumber dari Sinar Harian