SPM : Pelajar cemerlang harapan keluarga ‘diuji’ lebih awal.

KUALA TERENGGANU – Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terpaksa menduduki peperiksaan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) hari ini kerana tulang belakang cedera akibat terjatuh dari tangga.

Kejadian malang itu menimpa pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ibrahim, Juliana Muhamed Awi, 17, di rumhanya di Kampung Buluh, Setiu, semalam.

Ibunya, Salbiah Ismail, 57, berkata, ketika kejadian, dia baru sahaja sampai di rumahnya dari Kajang dan bergegas membawa anak tunggalnya itu ke Hospital Setiu.

“Hospital Setiu minta rujuk di sini (HSNZ) kerana disyaki patah tulang belakang. Saya sampai HSNZ tengah malam tadi. Sebenarnya saya runsing juga sebab dia nak ambil SPM hari ini.

“Tapi, saya yakin dia mampu berikan yang terbaik kerana dia salah seorang pelajar ‘target’ sekolah,” katanya ketika ditemui di wad HSNZ di sini, hari ini.

Tiga lagi calon lain menduduki SPM di HSNZ ialah pelajar SMK Merchang, Marang, Wan Nor Anisa Wan Zaid kerana mengalami masalah ketumbuhan (cyst) dan Nur Alia Syafiqah Ali kerana masalah saraf tangan

Manakala, seorang lagi calon, Muhamad Izat Zainuddin dari SMK Sura, Dungun mengalami masalah paru-paru.

Seramai tujuh calon menduduki peperiksaan SPM di hospital hari ini membabitkan empat pelajar di HSNZ dan tiga lagi di Hospital Kemaman.

Seramai 421,706 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan bertulis SPM 2018 bermula hari ini sehingga 13 Disember depan.

Elak banjir: Subjek elektif SPM diawalkan mulai 2019

Semua subjek elektif dan bukan teras Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan dianjakkan ke akhir September sebagai persiapan awal menghadapi musim banjir mulai tahun depan, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Beliau berkata perkara itu dibincangkan bersama Lembaga Peperiksaan dan mencadangkan mata pelajaran berkenaan dilaksanakan lebih awal antara akhir September dan awal Oktober berbanding November pada masa ini.

Antara subjek terlibat adalah Bahasa Arab, Bahasa Punjabi, Bahasa Kadazan, Bahasa Iban, Kesusasteraan, Tasawwur Islam dan mata pelajaran Teknik Vokasional, katanya.

“Kita mahu memberi keutamaan kepada pelajar menghadapi peperiksaan subjek-subjek itu dengan lebih fleksibel…menghadapi peperiksaan dahulu agar tidak terjejas semasa musim banjir.

“Kita cadang perkara itu berdasarkan pengalaman banjir sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 16(1) hari ini sempena peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018.

Seramai 421,706 calon mendaftar untuk menduduki SPM tahun ini di 3,308 pusat peperiksaan di seluruh negara yang bermula hari ini.

Sebelum calon SPM SMK Putrajaya Presint 16(1) memasuki dewan peperiksaan, Maszlee bersalam-salaman dengan mereka serta memberikan kata-kata perangsang dan semangat. Beliau turut menyertai doa bersama pelajar sekolah berkenaan sebelum itu.

Dalam pada itu, Maszlee juga berkata Kementerian Pendidikan akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan bersiap siaga memindahkan calon-calon SPM ke pusat lain jika berlaku banjir.

“Kita bersedia untuk menghadapi apa jua situasi banjir dan insiden lain sepanjang peperiksaan SPM,” katanya.

Sumber dari Sinar Online.