Connect with us

#news

Bila sekoläh buka, mäksimum 17 pelajär saja sekelas

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) dalam fasa merangka prosedur operasi standard (SOP) pasca C0vid-19 bagi sesi persekolahan negara apabila ia dibuka semula.

Satu kelas hanya boleh menempatkan purata maksimum antara 16 dan 17 pelajar pada satu-satu masa, sebaik saja sesi persekolahan dibuka semula, kata Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Jidin.

Menurutnya, ia cabaran besar kepada KPM untuk memastikan pelajar mematuhi SOP yang ditetapkan agar keselamatan dan kesihatan tidak terjejas ketika di sekolah.

Kementerian juga sudah membuat percubaan lapangan bagi menentukan jumlah pelajar yang wajar dalam satu kelas berdasarkan keluasannya, supaya penjarakan sosial dapat dilaksanakan untuk mengelak penularan C0vid-19.

Mohd Radzi berkata, ia sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) bagi pengurusan sekolah yang akan diperincikan, lapor Berita Harian.

“Kalau dulu dalam kelas ada 35 orang tapi dalam keadaan baharu ini, tidak boleh ramai. Dalam konteks penjarakan sosial ini, paling ramai adalah 16 ke 17 orang dan bagi sekolah yang mempunyai kelas yang besar, jumlah pelajar boleh mencecah 20 orang.

“Ini bermakna, jumlah pelajar dalam kelas sebelum ini perlu dipecah dua. Selain itu, kita perlu melihat bagaimana nak jalankan pengajaran dalam dua kelas ini atau kelas dalam ruang kecil perlu dibawa ke dewan yang lebih besar sebagai contoh.

“Justeru, kementerian sudah ada beberapa opsyen yang sedang dipertimbangkan bagi memastikan selepas C0vid-19 reda dan mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan, pelajar dapat kembali ke sekolah tanpa kita kompromi keselamatan mereka,” beliau dipetik sebagai berkata.

Radzi berkata demikian dalam wawancara khas di TV3, malam tadi.

Sementara itu, Mohd Radzi juga berkata, SOP di kantin juga akan diperketatkan dengan memastikan ia tidak sesak.

Beliau berkata, guru juga perlu bersedia memastikan pelajar terus bermotivasi selepas tidak hadir ke sekolah lebih dua bulan lalu kerana pandemik C0vid-19.

Peranan guru juga akan berbeza kerana perlu memastikan SOP yang ditetapkan dipatuhi pelajar apabila sekolah dibuka nanti.

“KPM akan membenarkan pelajar kelas peperiksaan Tingkatan Lima dan Enam untuk hadir ke sekolah terlebih dulu untuk memantau tahap kepatuhan serta keberkesanan SOP yang ditetapkan.

“Kementerian juga akan pastikan penerokaan ilmu itu akan terus berjalan dengan lancar walaupun dalam suasana pembelajaran yang berbeza,” katanya.

Continue Reading
Click to comment

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Trending

    Tersilang akar ada tunasnya, Melingkar sabut kenal umbinya