Connect with us

#viral

Cekal Jual Jeruk Mangga Walau Ditiipu Pembekal & Diperlekeh Rakan Serumah. Kini Mampu Beli Kereta Baru

Bermula dengan bisnes kecil-kecilan, tidak dinafikan yang setiap peniaga memiliki matlamat tersendiri dan impian untuk dicapai. Bukan hanya kekayaan, malah dapat juga meringankan dan bahagiakan kedua orang tua dunia akhirat.

Seperti dikongsikan oleh seorang gadis menerusi laman sosialnya, impian dia mengumpul duit difahamkan bagi menanggung kos untuk ibu bapanya menunaikan ibadah umrah di Mekah.

Gadis tersebut, Nor Farah Atika Saparudin mengatakan hasrat itu sudah lama dipendam untuk bawa ibu bapanya menunaikan ibadah umrah menggunakan hasil titik peluh sendiri.

(dari kiri) Nor Farah bersama bapa, kakak dan ibunya.

Namun, sebelum ini duit simpanannya digunakan untuk sambung pelajaran di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai, Negeri Sembilan.

“Saya ada buat bisnes kecil-kecilan, jual jeruk mangga secara sambilan sejak 2018. Masa tu, ada kawan-kawan pandang rendah persoalkan jual buah je ke, potong-potong buah je kan?

“Mereka ingat jual jeruk mangga ni semudah seperti membelinya. Sebenarnya tidak kerana banyak prosesnya termasuk pemilihan buah yang sesuai untuk dijadikan jeruk,” kata graduan Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang itu kepada mStar.

Tambah Farah, mangga muda adalah paling sesuai untuk dibuat jeruk namun jika tersalah beli mampu mengakibatkan kerugian.

Bisnes jeruk mangga dilakukan secara kecil-kecilan.

Anak bongsu dari lima beradik itu kongsikan ceritanya dimana dia ditiipu dengan pembekal. Pembekal itu membekalkan sebahagian besar mangga yang telah masak ranum.

“Masa tu saya masih belajar dan duduk di rumah sewa di Nilai. Bayangkan saya pandu kereta hampir dua jam untuk ke Selayang di Selangor semata-mata untuk mendapatkan bekalan.

“Dalam kotak, bahagian atas semua mangga muda. Tapi bila dah balik saya periksa di bahagian bawah mereka bekalkan mangga yang sudah masak termasuk yang busuk.

“Memang terduduk saya ketika itu. Tapi saya anggap ia sebagai pengalaman untuk lebih berhati-hati dan jangan terlalu percayakan orang,” katanya yang berasal dari Ampang, Selangor.

Gadis itu turut diduga dengan diskriminasi oleh bekas ‘housemate’ sebelum pindah ke tempat baru di Nilai.

“Mereka tak bagi saya guna peti sejuk di rumah sewa untuk simpan jeruk mangga, jadi saya terpaksa beli kotak ais sendiri.

“Mereka bukan sahaja tidak menyokong usaha saya, malah memperlekehkan kemampuan saya. Bila saya pindah ke rumah sewa yang baharu, syukur rakan-rakan serumah lebih memahami, malah menyokong saya dengan menjadi ejen, ” tambahnya.

Hanya menggunakan Perodua Kancil semasa belajar, Nor Farah pernah hadapi pengalaman terpaksa berhenti tepi jalan kerana kenderaan itu bermasalah.

“Masa tu tengah hari panas nak ambil stok mangga, tiba-tiba kereta bermasalah tengah jalan. Memang berpeluh-peluh tunggu mekanik datang periksa dan baiki.

“Semuanya cabaran untuk saya menjadi seperti hari ini, dari jualan secara purata 400 balang sebulan, sekarang mencecah 300 balang seminggu dengan bantuan ejen-ejen.

“Sekarang saya juga mampu beli kereta baharu yang lebih besar untuk memudahkan urusan bisnes saya, syukur Alhamdulillah,” katanya.

Continue Reading

Trending