“Depa dah terlalu letih…hampa kena faham..pi jaga tengok la letih ka dak…” – warganet prihatin

Seramai 400 orang doktor kontrak di seluruh negara, terutama di Lembah Klang, mengambil keputusan untuk berhenti sejak Januari lalu kerana terlalu letih dan mengalami tekanan jiwa dan mental dalam mengharungi tempoh pandemik ᴄᴏᴠɪᴅ-19 yang panjang.

Malah, masalah kekurangan tenaga kerja dan hospital-hospital yang penuh sehingga tidak dapat lagi menampung pesakit ᴄᴏᴠɪᴅ-19 terutama di Lembah Klang, juga menjadi punca tindakan tersebut.

Pada masa ini dianggarkan terdapat kira-kira 23,000 pegawai perubatan berstatus kontrak yang sedang berkhidmat di hospital-hospital awam di seluruh negara.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr. Subramaniam Muniandy berkata, sebahagian besar pegawai perubatan yang terlibat terpaksa melepaskan jawatan mengundurkan diri kerana tidak sanggup menanggung tekanan yang dialami.

Pihaknya juga tidak menolak kemungkinan angka tersebut akan terus meningkat berikutan masih belum ada jalan penyelesaian kepada permohonan mereka diserap ke jawatan tetap.

“Mereka letak jawatan kerana tidak boleh bekerja akibat terlalu letih. Bahkan, mereka tidak melihat ia akan mendatangkan sebarang faedah kepada diri dan masyarakat. Itu yang boleh mendatangkan tekanan kepada mental.

“Hospital-hospital di sekitar Lembah Klang menghadapi jumlah pesakit ᴄᴏᴠɪᴅ-19 yang terlalu tinggi. Mereka bekerja tanpa rehat yang cukup sehinggakan mereka menjadi letih dan fed up,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Antara surat peletakan jawatan yang tular di media sosial:

Terdahulu, tular beberapa doktor tampil di media sosial mengesahkan bahawa doktor di Lembah Klang didakwa berhenti dan melepaskan jawatan mengundurkan diri kerana tertekan dengan pandemik ᴄᴏᴠɪᴅ-19.

Dr. Subramaniam berkata, ini berikutan doktor yang berstatus kontrak hanya ditawarkan tempoh lanjutan kontrak dan bukannya perjawatan tetap.

“Ini membuatkan mereka berhenti apabila beberapa tuntutan tidak dipenuhi dan tidak merasakan faedah tanpa perjawatan tetap,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya sentiasa mengambil maklum nasib yang menimpa mereka, tetapi menasihatkan kepada mereka untuk terus bersabar.

“Kita tidak sokong dengan apa-apa gerakan, tetapi kita minta semua terus bersabar kerana wabak ᴄᴏᴠɪᴅ-19 masih melanda negara,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim), Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail berkata, disiplin dan komitmen rakyat adalah perkara paling penting supaya tidak mengakibatkan sistem perkhidmatan di sesebuah tempat itu ‘lumpuh’.

Katanya, semua pihak perlu mempertimbangkan perkara itu kerana petugas-petugas barisan hadapan juga mempunyai had mereka berikutan pandemik yang melanda negara sudah menjangkau hampir dua tahun.

“Dia (petugas barisan hadapan) juga manusia, jika mereka tidak mampu dari segi psikologi dan fizikal, mereka juga tidak mampu bertahan.

“Kita mengharap kepada kerajaan, kerajaan itu siapa? Mereka ini petugas-petugas barisan hadapan dan sukarelawan yang ada had. Jadi kita kena memahami.

“Kita duduk seminggu dalam rumah tak buat apa-apa pun sudah tidak mampu, apatah lagi mereka (petugas barisan hadapan) tidak tidur bahkan hendak solat susah dengan pakaian (berlapis-lapis). Pakai selapis juga sudah berpeluh, inikan dua tiga lapis,” katanya.

Tambah Ahmad Shukri, semua pihak kini hanya boleh mengharapkan program suntikan vaksinasi yang cepat dan pantas supaya dapat mencapai imuniti kelompok.

“Jadi apabila satu pertiga suku rakyat di sesuatu kawasan itu (lengkap vaksinasi), maknanya kita akan dapat melihat kes (jangkitan) menurun, walaupun tidak drastik tetapi akan menurun.

“Paling penting adalah statistik kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) dan kematian menurun walaupun kes meningkat kerana ia (kes) boleh diuruskan sekiranya masih di tahap satu atau dua serta tidak sampai ke tahap empat atau lima,” katanya.

Sumber: sinarnasional  dan Utusan Malaysia

Check Also

(VIDEO) Pecah Perut Penonton! Cat, Jihan, Danial Buat Parodi Vida-Iqbal

Kisah cinta antara Dato’ Seri Vida dan pasanganya, Iqbal menjadi tumpuan peminat industri hiburan tanah air. Perbualan …

Leave a Reply

Your email address will not be published.