“Jangan Cemar Dewan Mulia, Ini Bukan Sangkar Buruk” – Sultan Johor Beri Amaran, Tidak Teragak-Agak Untuk Bubar DUN

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memberi amaran tidak akan teragak-agak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor jika kerajaan sekarang dijatuhkan.

Sultan Ibrahim bertitah, baginda tidak akan melayan permainan politik mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor yang terus bertelagah sampai mengganggu negeri dan kerajaan.

“Saya rasa tidak perlu ada wakil rakyat jika masing-masing hanya fikirkan tentang kedudukan sendiri, bukannya kepentingan rakyat.

“Apabila wabak ᴄᴏᴠɪᴅ-19 telah terkawal, saya akan serahkan kepada rakyat untuk memilih Ahli Dewan yang baharu, selepas ini pilihlah betul-betul pemimpin yang jujur dan ikhlas mahu berkhidmat untuk rakyat,” titah Sultan Ibrahim.

Sultan Ibrahim bertitah demikian pada majlis perasmian pembukaan penggal persidangan DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, Johor.

Dalam pada itu, Sultan Johor menitahkan kerajaan negeri bekerja keras membangunkan semula ekonomi Johor termasuk membantu peniaga selain menarik pelabur luar supaya banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan.

“Jika berlaku keadaan yang menjatuhkan kerajaan saya sekarang, maka saya tidak teragak-agak untuk membubarkan DUN Johor. Saya rasa tidak perlu ada wakil rakyat jika masing-masing hanya fikirkan tentang kedudukan sendiri bukannya kepentingan rakyat.

“Ahli-ahli Dewan tidak perlu berbahas atau membawa usul yang tidak berkenaan. Awak semua jangan pentingkan diri sendiri. Rakyat di luar sana tengah susah, ada yang kelaparan, ada yang hilang pekerjaan dan ada juga yang sedang bertarung nyawa akibat wabak ᴄᴏᴠɪᴅ-19.

“Ini bukannya masa untuk berbalah, tetapi ini adalah masa untuk bersatu dan bekerjasama. Jangan tanya kepada orang lain apa yang telah dibuat untuk bantu rakyat, tetapi lihatlah cermin muka sendiri,” titahnya.

Sultan Ibrahim mengingatkan bahawa Dewan Negeri adalah tempat untuk berbincang dan membuat ketetapan bagi kepentingan rakyat serta negeri Johor.

“Jangan cemarkan Dewan saya ini dengan perangai yang buruk. Ini adalah Dewan yang mulia bukannya dewan sangkar beruk.

“Ingat pesanan saya tuan speaker. Jalankan kerja baik-baik dan suka juga saya ingatkan, yang saya tidak akan melayan permainan politik mana-mana wakil rakyat yang terus bertelagah sampai mengganggu-gugat negeri dan kerajaan saya,” titah baginda.

Sementara itu, Sultan Johor turut melahirkan kebimbangan dengan keadaan terkini penularan wabak ᴄᴏᴠɪᴅ-19 yang semakin meningkat.

“Keadaan ini amat membimbangkan saya, tambahan ada varian ᴄᴏᴠɪᴅ-19 baharu yang lebih mudah berjangkit dan cepat merebak sehingga meragut nyawa pesakit.

“Oleh itu, semua rakyat dinasihatkan supaya lebih berhati-hati, kurangkan pergerakan keluar rumah dan sentiasa mengamalkan pencegahan yang disyorkan oleh kerajaan.

“Persidangan dewan kali ini juga hendaklah dibuat dengan berhati-hati. Pastikan semua yang hadir harus mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dengan penilaian risiko kesihatan hendaklah dibuat setiap hari. Jika ada ancaman risiko tinggi, saya minta Speaker tangguhkan sidang dewan ini,” titah baginda.

“Kerajaan negeri perlu membuat dasar baharu yang mesra pelabur dengan insentif lebih menarik supaya pelabur datang ke Johor,” titah baginda.

Check Also

“InsyaAllah Bekalan Di Alam Kubur Daddy & Mommy” – Anaqi Mula Rajin Mengikuti Solat, Amar Baharin Berdoa Semoga Anak Menjadi Insan Soleh

Setiap ibu bapa sudah pasti ingin memberikan pendidikan terbaik untuk anak-anak dengan harapan si kecil …

Leave a Reply

Your email address will not be published.