Masjid berusia 610 tahun dipindahkan mengguna robot selepas dibimbangi ditenggelami banjir

SEBUAH masjid pada abad ke-15 di Turki telah dibahagikan kepada tiga bahagian dan dialihkan oleh sebuah robot ke lokasi baharu.

Pekerja pembinaan terpaksa memecahkan dinding yang mencantumkan masjid tersebut selama beratus-ratus tahun supaya mereka boleh mengangkat bahagian masjid itu ke atas platform untuk dialihkan.

Bahagian terakhir Masjid Eyyubi seberat 2,500 tan dibawa keluar dari bandar purba Hasankeyf di wilayah Batman Turki pada Jumaat selepas dua bahagian lain dipindahkan awal tahun ini.

Pemindahan itu dilakukan kerana empangan keempat terbesar di Turki, Ilısu dijangka akan menenggelamkan bandar purba Hasankeyf di bawah paras air banjir, menurut Hurriyet Daily News.

Robot gergasi digunakan untuk membawa struktur masjid purba tersebut ke lokasi baharu.

Gambar yang diambil menunjukkan bahagian akhir masjid tersebut diangkut menggunakan robot dengan lebih 300 roda.

Masjid seberat 4,600 tan berkenaan telah dipindahkan ke Padang Taman Kebudayaan Hasankeyf Baharu, iaitu tapak khas ditetapkan untuk struktur yang dilindungi.

Selain masjid berusia 610 tahun itu, artifak-artifak kebudayaan lain turut dipindahkan ke tapak berkenaan sejak ia dibuka pada 2017.

Walikota Hasankeyf Abdulvahap Kusen berkata: “Kerja-kerja pemindahan diteruskan agar artifak tersebut tidak rosak akibat banjir.

“Artifak kuno akan dihimpunkan di Taman Budaya berdekatan kawasan kediaman baharu,” lapor akhbar harian Turki.

Bandar Hasankeyf diberi status ‘dilindungi’ pada 1981 dan merupakan lokasi kepada hampir 6,000 gua.