Palembang : Semua pegawai kerajaan mesti solat subuh berjemaah atau dipecat.

PIHAK berkuasa tempatan di Palembang mengarahkan pegawai kanan kerajaan supaya solat Subuh di masjid dengan amaran akan dipecat jika enggan.

Pegawai kanan di Palembang – tempat Sukan Asia diadakan – turut diberi amaran aplikasi telefon pintar sedang diusahakan untuk mengesan mereka yang tidak menunaikan solat Subuh di masjid.

Perintah itu, dipercayai yang pertama seumpamanya di Indonesia, bertujuan memastikan pegawai kerajaan lebih peka dan memahami masalah penduduk setempat, manakala amalan bangun awal dianggap mampu meningkatkan produktiviti, kata jurucakap kerajaan tempatan, Amiruddin Sandy kepada AFP.

“Apabila solat Subuh berjemaah dengan orang biasa, kami berpeluang mendengar keluhan mereka secara langsung,” katanya.Menurutnya antara sungutan yang biasa dibuat berkaitan dengan masalah bekalan air serta lampu jalan yang rosak.

Perintah terbaru itu yang berkuat kuasa kelmarin terpakai untuk semua pegawai kerajaannya yang beragama Islam, namun cuma 1,100 pegawai kanan berdepan tindakan dipecat jika ponteng solat Subuh.Datuk bandarnya juga akan membuat pemeriksaan mengejut untuk memastikan arahan itu dipatuhi, sehingga kerajaan tempatan melancarkan aplikasi telefon pintar untuk memastikan kehadiran, kata Amirudin.

Ajaibnya solat Subuh

WAKTU Subuh, tatkala laungan azan berkumandang memanggil ke masjid, malaikat turun ke bumi dan menyaksikan orang soleh mengucapkan tasbih, tahmid dan tahlil.Besarnya nikmat apabila dapat melaksanakan Subuh secara berjemaah di masjid. Nikmat yang datang daripada ALLAH SWT secara langsung kepada hamba-Nya yang taat menjalankan perintah-Nya.

Namun hari ini, begitu ramai umat Islam yang culas dan lalai dalam mengerjakan solat Subuh. Rata-rata mereka gemar menarik kembali gebar yang melurut jatuh, lebih selesa meneruskan nikmat tidur daripada menggagahkan diri untuk bangun menunaikan solat Subuh.

Situasi ini ternyata berbeza dengan orang yang beriman. Walau sesukar mana keadaan sekalipun, mereka akan ke masjid atau surau untuk menunaikan solat Subuh berjemaah. Sebab? Kerana mereka tahu betapa besarnya nikmat solat Subuh berjemaah ini.

Minggu ini, Sisipan Fikry mengupas hadiah dan anugerah ALLAH kepada hamba-Nya yang khusyuk beribadah pada waktu Subuh.

Dah solat Subuh?Sesiapa yang bersembahyang Subuh, maka dia berada dalam jagaan ALLAH SWT. ALLAH akan memasukkan cahaya ke dalam hatinya. Melapangkan dadanya dan akan dapat menghirup udara yang baik.Sesungguhnya ALLAH mengasihi orang yang bersolat terutamanya solat Subuh. ALLAH menjadikan mereka berada dalam perlindungan-Nya, memakaikan cahaya-Nya dan menjaga mereka dengan penjagaan-Nya.

Itulah istimewanya solat Subuh!

Ketahuilah, apabila seseorang itu mengerjakan solat Subuh, nescaya dia akan memperoleh banyak manfaat, antaranya:-

Apabila kamu mengerjakan solat Subuh berjemaah, akan ditulis bagimu pahala qiyamullail.
Mendapat perlindungan, penjagaan dan jaminan ALLAH.

Orang yang meninggalkan solat Subuh ibarat orang yang mengingkari janji dan seolah-olah mempersendakan tawaran yang baik.

Mendapat cahaya pada hari kiamat
ALLAH akan memberikan cahaya yang terang pada hari kiamat kepada mereka yang bersolat Subuh berjemaah. Maksudnya, Dia tidak akan mencabut cahaya tersebut di mana sahaja dan tidak mengambilnya ketika melewati siratul mustaqim. Dia akan tetap bersama sehinggalah mereka masuk ke syurga.

Tidak diragukan lagi, cahaya bagi orang yang beriman di hari kiamat adalah berbeza-beza. Tidak semua orang Mukmin itu mendapat cahaya sepertimana orang beriman yang lain. Kadar cahaya tersebut disesuaikan dengan amalan mereka. Di sinilah peranan solat Subuh, ALLAH akan memberikan cahaya yang sempurna bagi orang yang beriman di hari kiamat kelak kerana mereka sentiasa mengerjakan solat Subuh berjemaah di masjid.

Rasulullah SAW mengajar doa yang berisi permohonan supaya ALLAH memberikan cahaya dalam kubur mereka supaya cahaya tersebut bersama mereka sehinggalah kiamat.

Cahaya ini tidak hanya menyinari di alam kubur dan akhirat, tetapi memberikan cahaya di dunia.

Dijamin masuk ke dalam syurga
Percayalah, orang yang memuliakan apa yang dimuliakan oleh ALLAH akan dimuliakan (dikurniakan syurga). Manakala 0rang yang mengabaikan apa yang dimuliakan ALLAH akan terhina.

Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang mengerjakan solat bardain (iaitu solat Subuh dan Asar) maka dia akan masuk syurga.” (Riwayat Bukhari no 574 & Muslim no 635)

Sebagai Muslim, kita perlu sentiasa ingat bahawa kenikmatan syurga itu tiada bandingnya jika dibandingkan dengan selesa dan hangatnya selimut yang membuat kita lupa menjalankan ibadah pagi yang wajib ini.

Laporan kita diangkat pada waktu Subuh hingga Asar
Lihatlah bagaimana ALLAH memuliakan kita. Dia berikan kita malaikat yang silih berganti kepada kita. Malaikat itu tugasnya untuk menjaga kita dan menulis perbuatan kita setiap hari.

– Rasulullah SAW memberitahu, dua rakaat solat sunat Subuh lebih baik daripada kita memiliki dunia dengan isinya.

Solat sunat rawatib (solat yang menyertai solat fardu) tidak sama keutamaannya. Solat sunat Subuhlah yang menduduki tempat teratas. Sebab itu, Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkannya walaupun Baginda SAW berada dalam perjalanan.

Untuk memotivasikan umat agar menjalankan sunnah ini, Rasulullah SAW menggambarkan besarnya keutamaan ibadah solat sunat dua rakaat sebelum Subuh ini. Maka rugilah orang yang melalaikannya.

– Orang bersolat Subuh ini, orang yang dicalonkan untuk dapat melihat ALLAH pada hari akhirat.

-Kita ambillah bekalan dunia dan akhirat pada waktu pagi. Ini kerana solat fajar di waktu pagi ini adalah waktu yang berkat iaitu waktu yang penuh kebaikan. Waktu pagi telah didoakan khusus oleh Nabi SAW sebagai waktu yang berkat.

Seorang murid menanti gurunya, Sheikh Ahmad Abdul Halim, dari Subuh sehingga terbit matahari. Apabila sudah selesai, ulama itu terkejut kerana anak muridnya masih ada di situ.

Kata anak muridnya: “Saya menunggu dari Subuh, tetapi melihat tuan guru sedang berzikir, saya tidak mahu mengganggu dan turut berzikir.”

Jawab Sheikh: “Ini sarapan pagiku (zikir), kalau aku tidak mengambil sarapan ini hilang kekuatanku.”

Jadi kita ambillah waktu berkah ini untuk menyibukkan diri dekat dengan ALLAH.

Sumber dari SuaraMedia