Pesawat ‘terlajak’ hampir 50km selepas juruterbang didakwa terlena

SEORANG juruterbang terlajak lokasi pendaratan hampir 50 kilometer (km) dari landasan sebenar selepas didakwa tertidur ketika mengendalikan satu penerbangan carter.

Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) berkata, pihaknya sedang menyiasat kes ‘ketidakupayaan juruterbang’ susulan kes penerbangan dari Devonport di Tasmania ke King Island pada 8 November lalu.

Data penjejakan pesawat menunjukkan penerbangan pada 6.21 pagi itu mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang King Island dekat bandar Currie walaupun tersasar (di udara) sejauh 46km.

Data tersebut yang diperoleh oleh The Australian menunjukkan penerbangan itu adalah satu daripada tujuh penerbangan pesawat Piper PA-31 Navajo VH-TWU yang dijadualkan pada hari tersebut.

Pesawat ‘terlajak’ hampir 50km selepas juruterbang didakwa terlena

Data menunjukkan penerbangan itu adalah satu daripada tujuh penerbangan oleh Piper PA-31 Navajo pada hari itu.

Dalam satu kenyataan, ATSB berkata, siasatan akan melibatkan semakan semula prosedur operasi Vortex Air dan menyoal juruterbang terbabit.

ATSB mendakwa juruterbang tersebut tertidur ketika pesawat itu tersasar sehingga mengakibatkan kapal terbang berkenaan terbang sejauh 46km dari King Island.

Pasukan penyiasat mengklasifikasikan kes itu sebagai insiden operasi serius dan dalam proses mengumpul bukti untuk penyediaan laporan akhir.

Laporan berkenaan akan diterbitkan pada penghujung siasatan yang dijangka siap pada Mac 2019.

Pengarah urusan Vortex Air, Colin Tucker enggan memberikan komen berhubung siasatan tersebut ketika dihubungi oleh Daily Mail Australia.

Ni Melbourne Ke Kuala Lumpur? Kes Salah Destinasi Pun Ada

Sebuah pesawat AirAsiaX yang sepatutnya mendarat di Kuala Lumpur Mac lalu tersalah arah dan tiba di Melbourne, semuanya kerana kapten kapal tersilap masuk destinasi sebelum berlepas, menurut akhbar The West Australian.

Ia memetik menetik Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) yang menerbitkan hasil siasatannya melibatkan pesawat Airbus A330 milik AirAsia X, yang terbang dari Sydney ke Kuala Lumpur dengan pendaftaran 9M-XXM.

Menurut laporan itu, pusat kawalan lalu lintas udara mendapati pesawat ketika berlepas dari landasan 16R memasukkan laluan penerbangan pelepasan dari landasan 16L.

Susulan teguran pusat kawalan, anak kapal mengenalpasti masalah dengan sistem pengemudian pesawat.

Bagaimanapun, usaha menyelesaikan dan membetulkan masalah memburukkan lagi keadaan sistem pengemudian, panduan dan kawalan penerbangan pesawat.

Anak kapal mengambil keputusan tidak meneruskan penerbangan tetapi tidak dapat terbang pulang ke Sydney kerana cuaca buruk, manakala pesawat hanya boleh dikemudi secara manual.

Pesawat itu kemudian dihalakan ke Melbourne menggunakan radar sebelum selamat mendarat di Melbourne.

ATSB mendapati kapten kapal semasa melaraskan sistem panduan dan pengurusan penerbangan pesawat secara tidak sengaja memasukkan kedudukan pesawat pada garisan bujur yang salah.

Ini menjejaskan sistem pengemudian pesawat, meskipun ada peluang untuk mengenalpasti dan membaiki kesilapan, ia hanya disedari ketika pesawat berada di udara dan menjejaki arah yang salah.

ATSB juga mendapati sistem pengurusan pesawat tidak mempunyai ciri tambahan yang boleh menghalang kesilapan ketika pemasukan data secara manual melalui pengawalan automatik atau pembetulan automatik.

ATSB turut menggesa AirAsia X membangunkan pakej dan buletin latihan untuk anak kapal yang memasukkan penjajaran dan operasi data udara dan sistem rujukan inersia yang betul.

Kejadian itu merupakan yang ketiga membabitkan kumpulan AirAsia dalam tempoh 18 bulan di ruang udara Australia.

Pada 21 Julai tahun ini, sebuah pesawat AirAsia X A330 terbang dalam jarak 152m sebuah pesawat Jetstar di Gold Coast, dan pada 19 Februari sebuah pesawat Air Asia A320 terbang 300m lebih rendah ketika mahu mendarat Lapangan Terbang Perth pada waktu malam. – mStar Online