Tun Mahathir ugvt hentikan produk Perancis jika Paris terus sekat minyak kelapa sawit

MALAYSIA akan menggubal undang-undang menyekat import produk-produk dari Perancis sekiranya negara itu tidak menarik balik rancangan menyekat penggunaan minyak kelapa sawit dalam penghasilan biogas.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sepucuk surat yang dihantar kepada Presiden Perancis, Emmanuel Macron lapor Reuters.

Tun Mahathir ugvt hentikan produk Perancis jika Paris terus sekat minyak kelapa sawit

Ahli Parlimen Perancis bulan lalu mengundi untuk menyingkirkan minyak kelapa sawit dari skim biogas negara itu bagi tahun 2020, berikutan kebimbangan berpanjangan terhadap kesan alam sekitar tanaman itu yang kebanyakannya dihasilkan di Indonesia dan Malaysia.

Kelapa sawit biasa digunakan sebagai bahan mentah untuk menghasilkan biodiesel, juga pelbagai lagi produk dari bahan masakan kepada sabun dan gincu.

Kumpulan aktivis alam sekitar mendakwa industri kelapa sawit punca penebangan hutan, yang juga menjejaskan hidupan liar dan komuniti orang asal.

Minyak kelapa sawit merupakan salah satu sumber utama Malaysia yang mana ia merupakan eksport kedua terbesar selepas minyak sayuran.

Stok simpanan minyak sawit Malaysia pada akhir November naik melebihi tiga juta tan metrik susulan penurunan mendadak dalam eksport yang dilihat menjadi faktor peningkatan jumlah stok komoditi berkenaan.

Menurut laporan Reuters, data rasmi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menunjukkan stok minyak sawit bulan lalu meningkat 10.5 peratus kepada tiga juta tan berbanding Oktober dan jumlah itu merupakan yang tertinggi dalam tempoh 18 tahun.

Dalam surat yang dihantarkan kepada Macron bertarikh 8 Jan itu, Tun Mahathir meminta pemimpin Perancis itu untuk menolak usul mengharamkan kelapa sawit di dalam penghasilan biodiesel.

Tambahnya hubungan dagang di antara kedua-dua negara bergantung kepada saling hormat terhadap komoditi milik kedua-dua negara.

“Kegagalan di dalam saling menghormati itu akan memaksa Malaysia untuk bertindak, termasuk, namun tidak terhad kepada, menggantung perbincangan dagangan bebas Malaysia-Eropah dan pelaksanaan perundangan serupa terhadap eksport Perancis,” kata Tun Mahathir dalam surat berkenaan, yang mana salinannya telah dilihat oleh sumber berita Reuters hari ini.

Tindakan Perancis boleh membawa kepada “penyesalan ekonomi dan keburukan dagangan,” kepada pengeksport minyak sawit Malaysia dan pengeksport Perancis kata Mahathir.

Seorang jurucakap pejabat Mahathir mengesahkan kebenaran surat berkenaan dan katanya surat itu telah dihantar melalui saluran diplomatik.

Menteri Industri Asas Utama, Teresa Kok juga telah mengesahkan ketulenan surat tersebut.

Seorang pegawai Presiden Perancis berkata sedang melihat perkara berkenaan.

Hubungan dagang dua hala di antara kedua-dua negara berjumlah EUR3.87 bilion (RM18.8 bilion) pada tahun 2017, kata Tun Mahathir dalam surat itu.

Menurut Mahathir yang dipilih menerajui kerajaan dalam bulan Mei tahun lalu, tindakan Perancis menyekat penggunaan kelapa sawit merupakan tindakan bersifat diskriminasi seolah-olah minyak sayuran tidak mengakibatkan penebangan hutan.

Rancangan Perancis menghadkan penggunaan kelapa sawit, merupakan tindakan susulan oleh ahli parlimen Eropah tahun lalu yang menyokong langkah-langkah menghadkan penggunaan kelapa sawit dalam biogas sebelum pengharaman secara penuh pada tahun 2030.

Berdasarkan tinjauan yang dibuat Reuters pada awal bulan lalu ke atas lapan peladang, pedagang dan penganalisis menunjukkan stok minyak sawit Malaysia akan mencecah paras tiga juta tan.

Ketua Eksekutif Arcis Global Merchants Pte. Ltd., Santhosh Kumar berkata, jumlah stok akhir yang dicatatkan adalah selari dengan unjuran yang dibuat tetapi penurunan lebih enam peratus dalam pengeluaran adalah sesuatu yang mengejutkan.

“Banyak pihak mengunjurkan penurunan sekitar tiga peratus,” katanya.

Data MPOB menunjukkan pengeluaran minyak sawit pada November susut 6.09 peratus daripada bulan sebelumnya kepada 1.85 juta tan manakala eks­port menyusut 12.9 peratus kepada 1.375 juta tan.

Permintaan bagi minyak sawit secara amnya menyusut pada suku terakhir tahun ini dise­babkan suhu sejuk di pasaran utama seperti China dan Eropah yang menyebabkan minyak berkenaan mengeras dan situasi ini memaksa pembeli mencari minyak alternatif daripada sumber komoditi yang lain.

Gabungan Malaysia dan Indonesia menghasilkan sebanyak 90 peratus minyak kelapa sawit dunia.