Connect with us

#viral

Gara-gara tweet birthday disalah erti, pemuda terkejut tengok baki akaun bank..akhirnya jadi rezeki keluarga B40!

Seorang pemuda terkejut dengan hadiah hari jadinya kerana tak sangka telah menerima sejumlah duit yang telah dimasukkan ke dalam akaun banknya.

Segalanya berpunca dari ciapannya menerusi laman sosial Twitter dimana tertulis nombor akaun banknya sehari sebelum hari lahirnya yang ke-23.

“Wah ada antara kamu benar-benar memberikan wang sempena hari jadi saya yang saya post sebagai gurauan. Berbanyak terima kasih di atas kebaikan kamu,” tulisnya.

Pemuda berkenaan, Imran Shah Misman mengatakan kepada mStar, tujuan ciapaannya itu hanya untuk bergurau sahaja.

Ciapan yang menyertakan nombor akaun bank Imran untuk tujuan gurauan.

Tetapi, pemuda itu tidak menyangka ciapan sekadar gurauan itu menjadi kejutan apabila terdapat beberapa netizen memberi respons kepada ciapan tersebut.

“Tweet tu sekadar bergurau. Tapi ada rakan-rakan yang benar-benar memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun bank saya. Paling terkejut ada juga individu yang tidak dikenali berbuat demikian.

“Saya anggap apa yang mereka lakukan sebagai hadiah sempena hari jadi saya. Tapi saya sedar tidak sepatutnya letak nombor akaun bank dan saya telah padamkannya di laman Twitter supaya tiada yang mengambil serius atau memasukkan wang ke akaun saya,” katanya kepada mStar.

Imran menjelaskan bahawa duit yang diterimanya digunakan untuk tujuan kebajikan.

Sedari kesilapannya walaupun hanya sekadar bergurau, Imran mengatakan dia tidak menggunakan wang itu untuk kegunaan peribadi, malah dia menggunakannya untuk bantu golongan berpendapatan rendah (B40).

“Duit yang saya dapat itu saya beli barang-barang keperluan di pasar raya untuk saya sumbangkan kepada dua keluarga yang lebih memerlukan.

“Satu keluarga merupakan seorang ibu tunggal yang tinggal bersama anak dan ibunya, manakala sebuah keluarga lagi adalah anak-anak yatim yang tinggal bersama nenek mereka,” katanya sambil menambah kedua-dua rumah tersebut di Meru di Klang, Selangor.

Imran menjadi sukarelewan menyerahkan sumbangan pelitup muka kepada masyarakat. Foto instagram imranshah_

Pemuda asal Klang itu ditemani ibunya dari membeli barangan keperluan hingga proses penyerahan sumbangan kepada dua buah keluarga dipilih.

“Kami hanya datang sekejap ke rumah mereka. Tak sampai 30 minit pun untuk setiap ke rumah. Saya dan ibu datang memperkenalkan diri, memaklumkan tujuan kami dan serahkan sumbangan kepada mereka, itu saja.

“Mereka tersenyum terima sumbangan hasil wang disumbangkan oleh rakan-rakan dan pengikut di Twitter serta sebahagiannya menggunakan wang saya sendiri,” tambahnya.

Imran, anak bongsu daripada empat beradik itu mempunyai pengalaman sebagai sukarelawan dalam aktiviti kebajikan bersama NGO selama beberapa tahun.

Namun, Imran yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di UiTM Shah Alam dahulu pernah melibatkan diri dalam menyumbang sendiri kepada keluarga yang kurang bernasib baik.

“Syukur kerana tak sangka gurauan sempena hari jadi ini memberi peluang untuk saya melakukan kebajikan. Satu peluang yang amat berharga dan bermakna.

“Saya menggalakkan anak-anak muda untuk turut sama melakukan kerja-kerja kebajikan walaupun dengan hanya sumbangan kecil.

“Sebahagian mereka masih belajar dan tak ada duit, mereka boleh menjadi sukarelawan dengan mana-mana NGO untuk membuat kebajikan,” katanya.

sumber mstar

Continue Reading

Trending