Connect with us

#news

Henti kecam jemaah tabligh, banyakkan beribadah

SHAH ALAM – Tindakan segelintir orang awam menyalahkan jemaah tabligh kerana menghadiri program agama di Masjid Sri Petaling baru-baru ini sebagai punca penularan wabak koronavirus (Covid-19) adalah tidak wajar.

Malah ada dalam kalangan ahli akademik turut meminta orang awam agar berhenti menyalahkan jemaah itu seperti mana disarankan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah semalam.

Keadaan akan menjadi lebih rumit

Seorang ahli akademik bertaraf profesor berkata, sudah tiba masa pihak tertentu menghentikan kritikan terhadap jemaah tabligh dan terus mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan dikeluarkan pihak berkuasa.

“Keadaan menjadi lebih rumit apabila banyak tanggapan yang salah, banyak perspektif negatif timbul selepas itu apabila jemaah tabligh dikatakan tidak memberikan kerjasama mereka, itu pada awalnya.

“Mungkin disebabkan maklumat dan informasi yang salah pada peringkat awalnya telah menimbulkan kesukaran kepada jemaah tabligh untuk mendapatkan rawatan saringan dan tindakan lain.

“Namun kita mengucapkan syukur kerana kebanyakan daripada jemaah tabligh terlibat dengan program keagamaan di masjid terbabit telah menghadiri saringan kesihatan,” katanya kepada Sinar Harian.

Jangan menyalahkan jemaah tabligh

Semalam, Dr Noor Hisham merayu orang awam tidak menyalahkan jemaah tabligh dalam peningkatan kes positif Covid-19 di negara ini malah beliau turut menasihati agar tidak mendiskriminasikan golongan itu.

Beliau turut mengulangi kenyataannya bahawa sebilangan jemaah tabligh mungkin tidak mendapat maklumat tepat namun apa mahu ditekankan adalah jemaah tabligh adalah orang yang taat dengan arahan.

“Jemaah sentiasa taat dengan arahan Kementerian Kesihatan untuk lakukan saringan. Janganlah berterusan menghentam dan menyalahkan jemaah tabligh secara keseluruhannya,” katanya.

Mengulas lanjut, profesor terbabit berkata, beliau juga percaya jemaah tidak menuding jari kepada mana mana pihak termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia kerana isu wabak Covid-19 adalah sesuatu di luar jangkaan.

Banyakkan beribadah

Profesor terbabit juga sependapat dengan Dr Noor Hisham apabila ketua pengarah kesihatan itu melihat perkara paling penting ketika ini adalah kita membantu mengesan dan merawat jangkitan Covid-19 di kalangan jemaah tabligh, keluarga dan kontak mereka.

“Sebagai rakyat Malaysia kita wajar memberikan sokongan terhadap kerajaan bagi memastikan penularan wabak ini dapat dihentikan dan sebagai orang Islam juga kita perlu banyakkan ibadah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan,” katanya.

Continue Reading

Trending

    Tersilang akar ada tunasnya, Melingkar sabut kenal umbinya