Jangan Lepaskan Gadis Yang Miliki 7 Sifat Ini

Isteri merupakan pasangan hidup sehidup semati dan teman perkongsian segala suka dan duka. Amat penting sebelum memilih bakal isteri yang terbaik, perlu kepada pemilihan mengikut panduan yang telah diberikan oleh Nabi Muhammad S.A.W.

Sebaik-baik jodoh yang bakal dijadikan isteri ialah yang dapat memenuhi nilai-nilai maknawiyah dan jasmaniyah, tetapi jika tidak didapati maka nilai-nilai maknawiyah itu mestilah diberi keutamaan berbanding dengan nilai jasmaniyah.

Pemilihan jodoh ini juga bukanlah khusus kepada lelaki, namun kaum wanita juga perlu kepada pemilihan jodoh bakal suami.

Nak cari calon isteri jangan letakkan kriteria utama yang berdahi licin saja. Pastikan yang mempunyai asas agama kriteria yang pertama. Itu paling penting.

Tapi zaman dah berubah bro.

Adalah penting untuk kita masukkan lagi kriteria tambahan seperti di bawah. Kalau dalam DNA calon isteri kita ada 7 sifat ini, laju-laju masuk meminang. Ajak kahwin terus lagi bagus.

Antaranya :

1. Minat Menyimpan

Dia jenis yang minat simpan duit. Tak suka membazir kepada perkara yang bukan-bukan. Kalau kita nak belikan hadiah dia akan terus keluar ayat standard, “Tak payahlah B, membazir je”, “Tak payahlah lah sayang, simpan la duit tu”.

Bukannya jenis yang setiap kali keluar dating, asyik perabis duit kita suruh belanja air Starducks atau MekDonal.

2. Tak Apa Kalau Ajak Makan Kedai Biasa-biasa

Kalau kita ajak dia makan kedai biasa atau dekat warung, dia tak kisah. Asalkan makanan sedap dan boleh masuk perut. Bukannya jenis makwe yang konon dah penat berhias pakai tudung lilit, tak ada kelas makan kedai murah. Paling kurang pun MekDonal.

3. Naik Kereta Secondhand Kita Pun Dia Tak Segan

Dia jenis tak kisah pun kita pakai kereta apa. Tak malu pun dengan keluarga dan kawan-kawan. Kalau ajak naik MRT pun dia selamba. Bukannya jenis makwe yang setiap hari pressure kita suruh tukar Honda!. Nak nampak ‘class’ kononnya.

4. Tak Minta Hadiah Mahal

Setiap kali hari jadi dia tak minta barang yang ratus-ratu, ribu-ribu harganya. Contohnya tak minta beg tangan LV, jam tangan DKNY, make up SKII atau iPhone. Kalau dapat jenis yang happy asalkan kita ingat untuk wish hari jadi pun dah dikira tip top.

5. Nak Buat Kenduri Kahwin Biasa-biasa Saja

Dia jenis nak buat kenduri kahwin setakat yang mampu. Tak impikan nak buat wedding of the year bagai sampai kena buat pinjaman peribadi. Kalau boleh nak nikah dengan kenduri buat dekat masjid, lebih jimat dan berkat. Hantaran pun tak letak tinggi. Jenis ini akan berlapang dada kata Ijazah adalah untuk minta kerja, bukan sebagai justifikasi untuk minta hantaran RM30 ribu serba satu!

6. Tak Minta Nak Bercuti Sana Sini Sebelum Kahwin

Dia bukan jenis nak ajak pergi bercuti sana sini sebelum kahwin. Nak cipta sweet moment kononnya. Amboi…Ciptalah sweet moment  tu selepas kahwin.

7. Tak Kisah Gaji Kita Sikit

Dia tak kisah pun kalau gaji kita lebih rendah daripada dia. Dia terima kita seadanya. Janji sumber pendapatan kita tu halalan taiyiban. Spesis jenis ni memang susah dah nak jumpa di zaman moden ni, jadi kalau terserempak, jangan lepaskan!

Manusia itu tak sempurna. Kalau masa bercinta dan pasangan kita tiada 7 ciri-ciri di atas, janganlah pula tinggalkan dia. Kita bimbinglah supaya dia lebih bijak menguruskan kewangan. Lengkapkan kekurangan, barulah kehidupan akan lebih bahagia.

Sama-sama belajar ke arah kebaikan. Duit bukan segala-galanya. Tetapi semua benda nak pakai duit. Kalau jenis suka membazir benda bukan-bukan, mungkin kedudukan kewangan masa depan kita akan turut terjejas.

Di antara ciri-ciri utama yang dianjurkan dalam pemilihan jodoh pula ialah:

1. Yang beragama dan berakhlak mulia

Yang dimaksudkan dengan agama di sini ialah bukanlah agama Islam semata-mata tetapi menghayati prinsip-prinsip dalam agama Islam serta mempunyai akhlak dan perlakuan yang mulia.

2.Bersifat pengasih dan penyayang

Sebaik-baik wanita ialah mereka yang pengasih dan penyayang, mampu memberikan kasih sayang kepada suami dan anak-anak. Wanita yang kasar, pendendam dan pemarah tidak akan dapat menjadi seorang isteri yang baik dan mampu meneruskan hidup dengan suami dan kehidupan berumah tangga akan menjadi tidak selesa. Begitu juga dengan suami, mereka perlu bersifat pengasih dan penyayang serta pandai mendidik isteri dan anak-anak bersesuaian dengan keadaan.

3. Boleh melahirkan zuriat

Tujuan perkahwinan ialah untuk menyambung dan memperkembangkan zuriat. Maka, bakal suami dan isteri perlulah mampu dari segi zahir dan batin serta boleh memperkembangkan zuriat. Kehidupan tanpa anak-anak akan sunyi dan tidak bahagia.

4. Masih perawan

Yang dimaksudkan di sini ialah seeloknya wanita yang bersih dan belum biasa mengenali permainan cinta lebih baik daripada janda yang telah biasa dengan permainan asmara kecuali pada keadaan tertentu.

5. Keturunan yang baik

Bukanlah di sini bermaksud keturunan bangsawan ataupun hartawan tetapi keturunan yang yang baik dari segi keagamaan, kecerdasan, kesihatan dan akhlak yang mulia.

6. Tiada jurang perbezaan yang besar

Seeloknya tidak ada jurang umur, status sosial, pendidikan yang terlalu besar antara calon suami dan isteri. Perbezaan yang jauh daripada aspek yang dinyatakan tadi akan menyukarkan lahirnya keserasian dan keharmonian dalam kehidupan berkeluarga. Oleh kerana itu beberapa mazhab mensyaratkan adanya kufu'(setaraf) antara calon suami dan isteri.

7. Bukan keluarga yang terdekat

Perkahwinan dengan keluarga yang terdekat seperti sepupu kurang digalakkan kerana ianya tidak dapat membina jaringan keluarga yang lebih luas. Sebaiknya, calon suami dan isteri datangnya daripada keluarga yang jauh seperti perumpamaan benih pokok jika dicantumkan dengan baka yang berlainan akan melahirkan baka yang baik.

Antara hikmah perkahwinan dengan keluarga yang jauh ialah antaranya dapat melahirkan zuriat yang sihat sama seperti benih pokok itu tadi.

Itulah antara ciri-ciri pemilihan jodoh mengikut pendapat penulis berdasarkan kepada penelitian kepada kehidupan berkeluarga secara realiti dan panduan yang telah diberikan oleh syariat Islam itu sendiri. Walaubagaimanapun, kita sebagai manusia hanya mampu merancang, tetapi yang menetapkan adalah Allah S.W.T. sendiri. Sebaik mana pun perancangan manusia, tetapi perancangan Allah S.W.T. lebih baik lagi.

Semoga dengan ikhtiar dalam pemilihan jodoh ini akan memberikan kebahagian kepada kehidupan berkeluarga dan dalam membina masjid dalam hidup akan kekal hingga ke akhir hayat. Apa yang penting ialah perlunya kepada hubungan yang dekat dengan Allah S.W.T. serta baiknya hubungan dengan keluarga terdekat serta semua masyarakat. Doa sebagai pemandu arah dalam kehidupan suami isteri. InsyaAllah…