VIDEO | Berhasrat Remuk Hati Rakyat Malaysia, Leverdez Tersungkur Di Tangan Lee Zii Jia

Video di akhir artikel ini

Kemeriahan temasya sukan Olimpik Tokyo terus dirasai di negara ini apabila pemain badminton perseorangan negara, Lee Zii Jia telah berjaya menewaskan lawannya dari Perancis, Brice Leverdez dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan M sebentar tadi.

Mengambil masa selama 33 minit, Zii Jia memenangi perlawanan itu secara straight set dengan mata 21-17, 21-5.

Walaupun ditonton dari kejauhan, rakyat Malaysia juga turut merasai adrenalin semasa Zii Jia bertungkus lumus ‘meranapkan’ impian Leverdez untuk ke peringkat seterusnya.

Remuk Hati Peminat Malaysia

Namun, apa yang pastinya adalah tumpuan rakyat Malaysia juga terarah kepada Leverdez yang sebelum ini telah membuat kenyataan bahawa dia akan ‘merobek’ hati peminat di Malaysia dan mengalahkan Zii Jia.

Memetik laporan dari Astro Awani semalam, Leverdez yang sebelum ini pernah mengalahkan Zii Jia dan Datuk Lee Chong Wei mengatakan bahawa dia 100 peratus telah bersedia untuk menghadapi perlawanan.

“Saya harap dapat meremukkan hati peminat Malaysia. Maaf,” katanya.

Bangkit Dengan Mudah

Pada set pertama, Zii Jia yang membuat penampilan pertama di Olimpik, bermula perlahan apabila ketinggalan 4-7, namun bangkit memperoleh 10 mata berturut-turut untuk mendahului 14-7, sebelum mencatat kemenangan 21-17 dalam masa 19 minit.

Bermula set kedua, juara All England 2021 itu terus garang untuk mengetepikan cabaran Leverdez yang berada di ranking ke-36 dunia, dengan keputusan 21-5.

Kawal Permainan Pihak Lawan

Mengulas mengenai perlawanan malam ini, Zii Jia berkata strategi beliau memaksa lawannya itu bermain secara rali berhasil, apabila berjaya meraih mata demi mata terutama pada set kedua.

“Dia (Leverdez) seorang pemain tidak suka bermain secara rali, dan apabila saya memaksa beliau bermain dengan corak permainan itu dan tidak terburu-buru mendapatkan mata, ternyata menjadi,” katanya dan bahawa beliau tidak akan memandang mudah terhadap mana-mana lawan dihadapinya, pada temasya itu.

Sementara itu, media sosial juga dihujani dengan ucapan tahniah kepada Zii Jia berserta ucapan semangat buatnya meneruskan perlawanan yang seterusnya.

Pun begitu, Zii Jia masih perlu menentang jaguh badminton dari China, Chen Long. Bukan saingan yang mudah namun didoakan agar Zii Jia berjaya mengekalkan rentak kemenangannya.

Lee Zii Jia berjanji akan menampilkan aksi habis-habisan ketika turun menentang juara bertahan Chen Long pada aksi 16 terbaik acara badminton perseorangan lelaki Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Berdasarkan rekod pertemuan, kedua-dua pemain itu terikat 2-2 dengan pertemuan terakhir dimenangi Zii Jia 21-12, 21-18 di All England, Mac tahun lalu.

“Chen Long seorang pemain berpengalaman dan perlawanan sudah pastinya bukan mudah. Saya berharap dapat membuat persediaan yang baik, dan akan memberikan aksi seratus peratus,” kata Zii Jia.

Pemain kelahiran Kedah itu melangkah penuh bergaya ke pusingan kalah mati, apabila mencatat kemenangan kedua berturut-turut dalam aksi terakhir peringkat Kumpulan M. Malaysia boleh!

Tonton video di sini:

Sumber: Twitter, Bernama

Check Also

(VIDEO) Pecah Perut Penonton! Cat, Jihan, Danial Buat Parodi Vida-Iqbal

Kisah cinta antara Dato’ Seri Vida dan pasanganya, Iqbal menjadi tumpuan peminat industri hiburan tanah air. Perbualan …

Leave a Reply

Your email address will not be published.