Connect with us

#news

Kawalan pergerakan mungkin dilanjutkan andai rangkaian jangkitan Covid-19 tak putus

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan mungkin terpaksa melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sekiranya rantaian jangkitan tidak terputus dalam tempoh dua minggu ini.

Oleh demikian, beliau merayu orang ramai untuk berada di rumah dalam tempoh dua minggu ini, bagi memastikan rantaian jangkitan dapat diputuskan.

“Saya mohon anda untuk duduk di rumah. Kita hendak putuskan rantaian jangkitan supaya jumlah orang yang dijangkiti wabak COVID-19 dapat dikurangkan,” katanya dalam satu perutusan khas, malam tadi.

“COVID-19 mempunyai hayat inkubasi dua minggu. Selepas habis tempoh dua minggu, mereka yang mempunyai simptom berjaya diasingkan untuk diberikan rawatan, menjadikan Malaysia bebas COVID-19.

“Jika tempoh ini kita belum berjaya sepenuhnya, kerajaan mungkin terpaksa melanjutkan tempoh Perintah Kawalan. Oleh itu adalah penting untuk kita asingkan diri dan keluarga dari terdedah, dengan berada di rumah,” katanya.

“Nampak mudah dan remeh. Tetapi sebenarnya inilah perkara penting yang saudara-saudari mesti lakukan untuk bersama-sama membendung penularan wabak Covid-19 di negara kita.”

“Sebagai Perdana Menteri, saya ada tanggungjawab besar untuk menangani krisis yang sedang melanda negara kita. Tetapi saya tidak mungkin dapat melaksanakan tugas ini bersendirian.”

“Saya memerlukan sokongan anda semua. Saya memerlukan sokongan para doktor, jururawat, polis, semua penjawat awam, pekerja swasta, pelajar universiti dan saudara-saudari sekalian untuk membendung wabak Covid-19 daripada menular di negara kita.”

Continue Reading

Trending

    Tersilang akar ada tunasnya, Melingkar sabut kenal umbinya