KKM jangka kes harian akan mula stabil dan menurun 1 atau 2 minggu lagi.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan jumlah kes harian baru ᴄᴏᴠɪᴅ-19 di negara ini mula stabil sebelum menunjukkan penurunan dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya dengan proses vaksinasi yang giat dilaksanakan di seluruh negara serta kawalan kesihatan awam masih berkuat kuasa seperti sekatan pergerakan ia mampu melandaikan semula keluk jangkitan wabak itu.

Kata Noor Hisham, lonjakan kes baru sejak beberapa hari lepas adalah berikutan lebih banyak saringan bersasar ᴄᴏᴠɪᴅ-19 dilaksanakan khususnya di Selangor dan Kuala Lumpur yang kini dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

“KKM sudah menjangkakan memang dengan sekatan pergerakan di kawasan Lembah Klang, kes harian akan meningkat kerana saringan bersasar dan saringan komuniti dilaksanakan.

“Namun, saya yakin dengan kaedah kawalan yang baik (sekatan pergerakan) kita akan lihat jumlah kes lebih stabil serta menunjukkan penurunan dalam seminggu lebih atau dua minggu.

“Pada masa sama proses vaksinasi perlu dipercepatkan,” katanya.

Noor Hisham berkata demikian ketika menjadi tetamu program The Nation bertajuk ᴄᴏᴠɪᴅ-19: Apa Lagi Ikhtiar Kita terbitan Bernama TV yang dihoskan Pengerusi Bernama Ras Adiba Radzi malam tadi.

Kata Dr Noor Hisham dengan mengambil pengalaman dan iktibar daripada kesan gelombang kedua ᴄᴏᴠɪᴅ-19, negara perlu lebih berhati-hati dan tidak tergesa-gesa untuk membuka beberapa sektor yang boleh mencetuskan lagi lonjakan kes baru.

Menurutnya pematuhan yang berterusan oleh semua pihak serta penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) di lapangan seperti sektor perkilangan perlu dipertingkatkan dalam usaha mengawal lebih banyak jangkitan khususnya melibatkan penularan di tempat kerja.

Menjelaskan situasi kapasiti beberapa hospital yang dilaporkan sesak dengan jumlah pesakit ᴄᴏᴠɪᴅ-19, Noor Hisham berkata KKM sedang giat meningkatkan keupayaan hospital untuk menampung pesakit terutama individu dengan jangkitan tahap empat dan lima di unit rawatan rapi (ICU).

“Masalah yang kami hadapi ialah pesakit tahap empat dan lima mengambil masa lama untuk dirawat dalam ICU antara dua hingga lima minggu termasuk yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Inilah kekangan yang dihadapi kerana jumlah pesakit tahap empat dan lima juga bertambah dan menjadi sesak. Oleh sebab itu KKM sedaya upaya meningkatkan lagi kapasiti hospital,” katanya.

Terdapat lima tahap jangkitan ᴄᴏᴠɪᴅ-19. Tahap satu – tidak bergejala; tahap dua – bergejala ringan; tahap tiga – bergejala dan mengalami radang paru-paru; tahap empat – bergejala, mengalami radang paru-paru dan perlukan bantuan oksigen; serta tahap lima – bergejala kritikal dan memerlukan rawatan di ICU.

Pada 10 Julai Malaysia mencatatkan kes harian tertinggi dengan 9,353 kes baru dengan 29 lagi kluster baharu termasuk 19 kluster tempat kerja.

– Bernama

Check Also

“InsyaAllah Bekalan Di Alam Kubur Daddy & Mommy” – Anaqi Mula Rajin Mengikuti Solat, Amar Baharin Berdoa Semoga Anak Menjadi Insan Soleh

Setiap ibu bapa sudah pasti ingin memberikan pendidikan terbaik untuk anak-anak dengan harapan si kecil …

Leave a Reply

Your email address will not be published.