Connect with us

#news

Kerajaan hari ini tidak sah, tegas Mahathir dan Anwar

Published

on

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini tidak sah kerana ia dibentuk tanpa mendapat mandat daripada rakyat, tegas Pengerusi Bersatu, Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Kedua-dua pemimpin politik itu berkata sudah tiba masanya mandat berkenaan ‘dikembalikan kepada pihak yang sepatutnya’.

Perkara itu disahkan dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan sempena memperingati ulang tahun kedua kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei 2018.

“Memahami situasi ini, kami tidak mengiktiraf kerajaan hari ini. Prinsip kami jelas dari hari pertama kerajaan ini tertubuh, iaitu ia berdiri tanpa mandat rakyat.

“Ia tidak diperoleh secara sah menurut kertas undi di dalam pilihan raya. Ia didasari sikap tamak kepada pangkat dan jawatan semata-mata,” kata kenyataan tersebut.

Menurut kedua-dua pemimpin itu lagi, mereka tidak sanggup “menggadaikan moral dan etika” untuk menyokong kerajaan hari ini.

“Kami tidak ingin mengkhianati rakyat yang menghabiskan berjam-jam untuk beratur di pusat mengundi, beratus ringgit untuk terbang pulang mengundi, mengambil cuti tanpa gaji untuk membawa suara mengubah nasib negara.

“Masanya telah tiba untuk kita bangkit semula dan berusaha mengembalikan mandat rakyat ke pihak yang sepatutnya,” tegas kedua-dua pemimpin itu.

Pada pilihan raya umum 2018, PH mencipta sejarah apabila berjaya menumbangkan kerajaan BN pimpinan perdana menteri ketika itu, Najib Razak yang terpalit dengan skandal 1MDB.

Namun, kerajaan baru yang dipimpin Mahathir itu hanya mampu bertahan selama 21 bulan setelah Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin mengeluarkan parti itu dari PH.

Bersama-sama bekas pemimpin PKR yang diketuai bekas timbalan presidennya, Azmin Ali, mereka membentuk kerajaan baru dengan kerjasama pemimpin BN, PAS dan GPS.

Bersatu kini berpecah antara kumpulan penyokong Mahathir dan Muhyiddin Yassin selaku presiden parti.

“Semangat perjuangan kami masih marak’

Mahathir dan Anwar yang pernah menjadi seteru politik berkata, mereka telah mengepikan perbezaan peribadi demi membawa suara rakyat dan kemenangan kepada PH dua tahun lalu.

“Dua tahun lepas kami tidak berputus asa membawa suara rakyat. Hari ini juga sama. Kami telah lama menolak perbezaan, sengketa dan kemelut demi rakyat.

“Kami sudah berusia, masa kami sudah tidak lama. Namun semangat perjuangan kami masih marak dalam jiwa setiap anak muda yang mengimpikan reformasi.

“Jangan sesekali kita lupakan tarikh keramat 9 Mei. Tarikh jatuhnya institusi kleptokrat. Tarikh kemenangan rakyat. Tarikh lahirnya Malaysia baru,” tegas kedua-dua pemimpin itu.

Continue Reading
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Trending

Shares