Connect with us

#news

Kini saringan dijalankan ke 127 lagi individu lain, termasuk rakan sekerja, kenalan dan ahli keluarga

PUTRAJAYA, 5 Nov – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Datuk Seri Dr. Noor Hisham Abdullah mengesahkan memang terdapat kes individu yang merentas negeri ke Kelantan semalam.

“Jadi ini berlaku, ada satu kes memang betul dia balik ke Kelantan dan telah menjangkiti empat orang yang positif iaitu ahli keluarga tersebut.

“Dan sekarang kita jalankan saringan kepada 127 individu, iaitu 40 individu melibatkan pekerja dengan individu tersebut dan yang lain 87 adalah kenalan dan juga ahli keluarga terdekat individu tersebut.

“Jadi Kementerian Kesihatan menasihatkan, kalau boleh, elakkan daripada merentas sempadan negeri atau sempadan daerah,” katanya dalam sidang media perkembangan COVID-19 hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan pemberita mengenai isu individu tersebut yang didakwa merentas negeri lalu menjangkiti beberapa individu lain seperti yang dilaporkan media semalam.

Sebelum itu, Noor Hisham turut menasihatkan orang awam yang berada di kawasan Zon Merah iaitu dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk kekal berada di zon tersebut.

“Kalau balik ke kampung, ada risiko kita bawa jangkitan, terutamanya kepada ibu bapa kita atau warga emas di kampung dan juga kanak-kanak dan sebagainya,” katanya lagi.

Untuk rekod, sehingga 5 November 2020 pukul 12:00 tengah hari, sebanyak 1,009 kes baharu telah dilaporkan menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 36,434 kes. Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 10,503 kes.

Untuk makluman, negeri Sabah mencatatkan sebanyak 564 kes (55.9 peratus) daripada keseluruhan kes positif pada hari ini. Negeri-negeri di Lembah Klang pula mencatatkan sebanyak 198 kes (19.6 peratus) dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan  mencatatkan sebanyak 95 kes positif (9.4 peratus) pada hari ini. Kelima-lima negeri ini masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menyumbang sebanyak 857 kes (84.9 peratus) daripada keseluruhan kes positif COVID-19 pada hari ini.

Sebanyak 112 kes (11.1 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster penjara dan Pusat Tahanan Sementara (PTS). Ini melibatkan Kluster Penjara Sandakan (73 kes), Kluster Seberang Perai (14 kes), Kluster Penjara Kepayan (12 kes), Kluster Penjara Reman (12 kes), dan Kluster Tembok (1 kes).

Sumber: KKM

Continue Reading

Trending