“Walaupun Saya Kudung, Saya Nak Jadi Jurutera” – Menitik Airmatanya Ketika Ambil Keputusan SPM

KOTA BHARU – Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 mencatatkan pencapaian yang lebih baik dengan Gred Purata Nasional (GPN) 4.89 berbanding 4.90 pada tahun sebelumnya.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin berkata, jurang pencapaian antara calon di bandar dan di luar bandar juga mengecil sebanyak 0.04 pada 2018 berbanding tahun 2017.

“Hal ini disebabkan oleh peningkatan pencapaian calon di luar bandar sebanyak 0.04 manakala pencapaian calon di bandar kekal,” katanya pada sidang akhbar Pengumuman Analisis Keputusan SPM Tahun 2018

Calon bekerperluan khas di Sekolah Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa 2, tidak dapat menahan air mata apabila diumumkan pelajar terbaik SPM sekolah, pagi tadi.

Muhammad Rizdwan Roslan, 18, yang kudung tangan kiri tidak menyangka akan memperoleh keputusan 9A dan 1B dalam SPM memandangkan dia hanya mendapat 6A ketika peperiksaan percubaan lalu.

Menurutnya, dia berhasrat untuk melanjutkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam bidang kejuruteraan.

“Walaupun tangan saya kudung sejak lahir, saya tidak mahu meletakkannya sebagai penghalang untuk mengejar cita-cita sebagai seorang jurutera.

“Saya mahu cipta pelbagai mesin yang boleh memudahkan tugas harian kita dan mencipta sejarah calon OKU juga mampu berjaya seperti pelajar normal lain,” katanya.

Muhammad Rizdwan menunjukkan keputusan yang diterima, pagi tadi

Seramai 15 pelajar SMK Pengkalan Chepa 2 mengharumkan nama sekolah menerusi pencapaian SPM kali ini.

Anak sulung dari empat beradik ini berkata, dia mahu menjadi contoh kepada adik-beradiknya dan kebanggaan kepada ibu bapanya yang bekerja di Jabatan Meteorologi Kelantan.

Sementara itu, guru kelasnya, Nor Hasimah Ab Rahman berkata, Muhammad Rizdwan merupakan pelajar yang cemerlang bukan sahaja dalam akademik malah memiliki keperibadian yang baik.

Beliau berkata, anak didiknya juga menjadi rujukan rakan ketika mengulang kaji pelajaran di sekolah.

“Saya juga teruja selepas menerima keputusannya, memandangkan dia mendapat B bagi mata pelajaran Sains Rumah Tangga ketika peperiksaan percubaan lalu,” katanya.

Muhammad Rizdwan (dua, kiri) bersama rakan-rakannya teruja ketika menunjukkan slip keputusan SPM

Sumber dari GPS Bestari