“Tiada Simptom Jelas, Bangun Tidur Tiba2 Tak Boleh Jalan Terus Lumpuh” – Ibu Tunggal Runsing 4 Anak Lumpuh Secara Tiba-Tiba

“Sebelum ini mereka normal dan menjalani kehidupan seperti biasa. Masing-masing sudah bekerja, namun tiba-tiba sakit. Tiada simptom jelas. Malah ada daripada mereka tiba-tiba bangun tidur tidak boleh berjalan dan lama-kelamaan lumpuh seluruh badan,” katanya

Chukai: Hanya Tuhan yang tahu betapa keperitan hidup terpaksa dilalui warga emas, Rosanani Salleh apabila 4 daripada 8 anaknya lumpuh seluruh badan akibat penyakit saraf.

Dengan kudratnya yang tidak seberapa, ibu tunggal berusia 62 tahun itu nekad cekal menguruskan anak keduanya, Mohd Amerizam Razali, 42; anak kelima Mohd Marsudi, 36; dan anak keenam Mohd Aismuddin, 33; yang memerlukan penjagaan rapi.

Anak sulungnya Rozanariah, 43, yang turut menghidap penyakit sama tinggal berasingan kerana sudah berkahwin dan dijaga suami serta 7 anaknya yang berusia antara 5 hingga 20 tahun.

Rosanani yang bekerja sebagai penjual lemang mengakui tidak menyangka akan ditimpa nasib sedemikian kerana keempat-empat anaknya itu secara tiba-tiba penyakit saraf ketika berusia antara 20-an hingga 30-an.

“Sebelum ini mereka normal dan menjalani kehidupan seperti biasa. Masing-masing sudah bekerja, namun tiba-tiba sakit. Tiada simptom jelas.

“Malah ada daripada mereka tiba-tiba bangun tidur tidak boleh berjalan dan lama-kelamaan lumpuh seluruh badan,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Kampung Teluk Kalung, di sini.

Episod duka keluarga Rosanani bermula apabila arwah suaminya, Razali Othman yang meninggal dunia pada 2009 turut diserang penyakit saraf ketika berusia 20-an.

Tambah Rosanani lagi, dengan pendapatan menjual lemang hanya sekitar RM1,000 sebulan, dia sedikit tertekan kerana pengurusan, penjagaan dan rawatan anaknya yang kurang upaya tersebut memerlukan belanja dan kos yang tinggi.

“Mereka semua dapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 seorang, namun jumlah itu tidak cukup memandangkan kos membeli lampin pakai buang dan ubat-ubatan sahaja melebihi RM1,000.

“Mak cik pun tidak dapat jual lemang dengan lebih banyak kerana hanya sekitar 11 pagi baru mak cik boleh ke gerai untuk persiapan membakar lemang dan berniaga. Pada sebelah pagi, mak cik perlu uruskan anak terlebih dahulu,” katanya sambil memberitahu pergerakan anaknya itu bergantung sepenuhnya kepada penggunaan kerusi roda.

Dalam pada itu, empat lagi anaknya yang lain hanya bekerja biasa dengan pendapatan yang tidak seberapa dan tidak banyak dapat membantunya.

Katanya, walaupun doktor pakar di hospital memaklumkan bahawa anaknya itu tiada harapan untuk sembuh, Rosanani sentiasa berdoa agar suatu hari nanti mereka dapat berjalan dan menguruskan diri sendiri.

“Siang malam mak cik berdoa semoga sekurang-kurangnya mereka boleh berjalan. Mak cik sangat risau kalau mak cik sudah tiada nanti siapa akan menjaga mereka.

“Mak cik sudah biasa ‘memekakkan’ telinga menghadapi pelbagai tohmahan masyarakat sekeliling mengenai nasib keluarga kami ini,” katanya sambil menahan sebak.

Sementara itu Penaung Pertubuhan Kebajikan Khalifah Utama Gerak Kilat (PERKKUGK), Harun Ismail turut menyuarakan hasrat agar semua pihak turut membantu mana-mana asnaf yang kesempitan hidup seperti keluarga Rosanani ini.

“Saya menyeru NGO seluruh Malaysia, untuk kita bersama-sama membantu keluarga ini untuk meringankan beban Puan Rosanani,” katanya.

Bagi mereka yang ingin membantu boleh berbuat demikian dengan menyumbang ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Rosanani Salleh bernombor 1111-1298-4388-2434 atau menghubunginya di talian 010-3778843

Sumber alhijrah

Check Also

Dah Tahu Miskiin Beranaak Setiap Tahun Kenapa. Kata-kata Hiina Seorang Guru dan Kawan Sekelas Buatkan Beliau Buktikan Anak Petani Pun Serba Boleh

Bukan semua orang bertuah seperti kita. Tinggal di rumah yang selesa, ada ibu bapa yang …

Leave a Reply

Your email address will not be published.