“Muhyiddin dan PN ternyata gagal di mata rakyat” – Ahmad Zahid Hamidi

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, masih kekal sebagai Perdana Menteri dengan sokongan seramai 115 orang Ahli Parlimen.

Menurut laporan Suara.TV yang memetik sumber daripada Pejabat Perdana Menteri, kesemua akuan berkanun 115 ahli Parlimen itu merupakan dokumen sah perundangan yang perlu dibatalkan secara individu, bukannya melalui keputusan parti.

“Kenyataan Presiden UMNO adalah keputusan parti yang kita hormati. Namun, kedudukan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin adalah berdasarkan sokongan ahli Parlimen bukan perakuan sokongan parti.

“Sehingga jam 7 petang tadi, tiada sesiapa ahli Parlimen yang telah menandatangan akuan berkanun memberi notis untuk menarik semula sokongan kepada Perdana Menteri,” katanya pada Selasa.

Dalam pada itu, sumber tersebut turut menyatakan kenyataan media Menteri Tenaga Dan Sumber Asli, Datuk Seri Shamsul Annuar Nasarah hanyalah mengenai peletakan jawatan sebagai menteri dan bukannya menarik sokongan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Pada petang tadi, UMNO mengambil pendirian untuk tidak mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekali gus menyaksikan keabsahan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri terbatal.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan berkenaan dibuat dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

Surat akuan bersumpah ahli Parlimen UMNO yang mencukupi bagi menzahirkan penarikan sokongan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan telah persembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Berikut senarai anggota parlimen yang hadir dalam sidang media tadi:

  1. Najib Abdul Razak (Pekan)
  2. Azalina Said Othman (Penggerang)
  3. Mohd Nizar Zakaria (Parit)
  4. Azeez Abdul Rahim (Baling)
  5. Noh Omar (Tanjung Karang)
  6. Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk)
  7. Ahmad Nazlan Idris (Jerantut)
  8. Ahmad Jazlan Yaakub (Machang)
  9. Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang)
  10. Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands)
  11. Ahmad Maslan (Pontian)

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dan Ketua Pemuda Umno Malaysia Asyraf Wajdi Dusuki juga menghadiri majlis itu yang diadakan selepas mesyuarat majlis tertinggi di ibu pejabat parti berkenaan jam 4 petang tadi.

Menurut Ahmad Zahid, semua ahli parlimen terbabit menandatangani surat itu sebagai bukti menyatakan pendirian masing-masing.

UMNO juga memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada Al-Sultan Abdullah dan tidak akan mempertahankan kerajaan pimpinan Muhyiddin yang ternyata gagal pada mata rakyat.

Kata ahli parlimen Bagan Datuk itu, Muhyiddin dan PN “ternyata gagal di mata rakyat”.

Membacakan kenyataan, Ahmad Zahid berkata kenyataan terbaru dibuat Muhyiddin hari ini tidak menjernihkan keadaan bahkan menyerlahkan kekhilafan kerajaan PN yang didakwanya menyanggahi titah Agong.

“Malah (kerajaan PN) mempersendakan baginda, yang hakikatnya sudah beberapa kali menitahkan agar semua ordinan darurat dibahaskan dan diungkaikan sebelum 1 Ogos, bukannya September 2021, sejajar dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.

“Muhyiddin mesti mengambil tanggungjawab atas kegagalan dan keingkaran kerajaan pimpinan beliau yang menyanggahi titah Yang di-Pertuan Agong dengan meletakkan jawatan sebagai perdana menteri secara terhormat,” katanya.

sumber: sinarharian mkini

Check Also

“InsyaAllah Bekalan Di Alam Kubur Daddy & Mommy” – Anaqi Mula Rajin Mengikuti Solat, Amar Baharin Berdoa Semoga Anak Menjadi Insan Soleh

Setiap ibu bapa sudah pasti ingin memberikan pendidikan terbaik untuk anak-anak dengan harapan si kecil …

Leave a Reply

Your email address will not be published.