Skim i-Survive RM5000 Bagi Yang Tiada Simpanan KWSP – Cadang Najib Razak

Melalui satu perkongsian di laman Facebook oleh Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, beliau telah mencadangkan satu skim baharu bagi membantu mereka yang tiada simpanan dalam KWSP.

Beliau mencadangkan kepada kerajaan supaya mewujudkan skim i-Survive yang bertujuan memberikan pinjaman sebanyak RM5000 kepada rakyat Malaysia melalui institusi perbankan yang terpilih.

Ambil Maklum

Dalam perkongsian itu, Datuk Seri Najib menyatakan bahawa tidak semua rakyat Malaysia memiliki simpanan di dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Malah bantuan seperti Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Gerak Khas Prihatin (GKP) dan skim i-Citra juga nampaknya akan mengecewakan lebih ramai orang terutama lagi bagi mereka yang terjejas teruk dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas 2 bulan dikuatkuasakan.

Inspirasi Dari Negara Lain

Beliau juga menyatakan banyak negara lain seperti Hong Kong dan Amerika Syarikat telah memberi bantuan wang tunai lebih tinggi pada zaman wabak ini. Sebagai contoh, Hong Kong telah membelanjakan sekitar HK$10,000 pada tahun lalu dan HK$5,000 pada tahun ini manakala Amerika Syarikat telah membelanjakan sebanyak US$3,627.

Bank Malaysia Catat Keuntungan Tinggi

Beliau juga memaklumkan bahawa bank-bank Malaysia masih mencatat keuntungan yang semakin tinggi namun masih tidak mahu mengetepikan faedah selama tempoh moratorium  kerana tidak mahu menanggung kerugian walaupun cuma 1 sen.

Elak Rakyat Dari Kredit Komuniti

Cadangan ini juga untuk mengelakkan rakyat kita dari terjerat dengan Kredit Komuniti. Selain itu, cadangan berkenaan juga disebabkan oleh sektor ekonomi tempatan yang masih lembab berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Cadang Skim i-Survive

Oleh hal demikian, beliau mencadangkan supaya kerajaan pertimbangkan untuk perkenalkan skim i-Survive berjumlah RM5,000 dengan mengenakan kadar faedah rendah hanya 3% sahaja.

Skim ini juga boleh dimohon seluruh rakyat Malaysia yang berusia 18 dan ke atas yang berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Kadar faedah ini adalah lebih rendah daripada kadar dividen yang dikenakan oleh institusi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Amanah Saham Berhad (ASB).

i-Survive : Mohon Hari Ini, 3 Hari Lagi Masuk

Sebagai contoh, memohon hari ini, secara automatik mendapat kelulusan tanpa memerlukan sebarang penilaian permohonan. Wang sejumlah RM5,000 akan dimasukkan ke dalam akaun pemohon 3 hari kemudian.

Jaminan Penuh Kerajaan

Beliau turut menyarankan skim tersebut dijamin sepenuhnya oleh kerajaan di mana jaminan kerajaan tidak termasuk dalam pengiraan nisbah hutang atau defisit tahunan bajet kerajaan.

Kadar Faedah 3%

Tempoh pembayaran adalah sehingga 6 tahun berikutnya dan hanya akan mengenakan faedah 3% setahun atau RM150 setahun atau maksimum RM450 untuk keseluruhan tempoh 3 tahun dan tanpa ansuran bulanan. Pemohon hanya perlu membayar faedah tahun RM150 tersebut dan baki prinsipal sepenuhnya sebelum tempoh 3 tahun berakhir.

Sekiranya ada rakyat yang tidak mampu melunaskan semula skim i-Survive sepenuhnya sebelum tempoh 3 tahun berakhir, maka pihak kerajaan akan memotong separuh dari wang bantuan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M), Bantuan Prihatin Nasional (BPN) atau BPR untuk melangsaikan pinjaman tersebut bagi golongan B40 dan M40 bermula pada tahun hadapan, 2022.

Sebagai contoh, jika pemohon mendapat BR1M sebanyak RM2,000 setahun maka kerajaan akan memotong sebanyak RM1,000 pada tahun hadapan untuk digunakan bagi membayar balik baki prinsipal skim ini.

Jika RM1000 dibayar kerajaan setiap tahun maka jumlah pinjaman RM5000 ini akan berkurang sebanyak RM3000. Peminjam cuma perlu melangsaikan baki sebanyak RM2000 itu sahaja.

Bank Tidak Rugi

Peminjam yang mampu membayar balik setelah ekonomi memulih, digalakkan untuk melangsaikan sepenuhnya sahaja. Bank juga tidak akan rugi kerana kadar 3% ini adalah lebih tinggi berbanding kadar faedah 1.95% yang dibayar bank bagi simpanan tetap 3 tahun di ketika ini. Bank juga tidak akan rugi kerana kerajaan akan membantu melangsaikan sebahagian hutang setiap tahun serta menjamin keseluruhan jumlah pinjaman.

Selain itu, bank juga akan mendapat pelanggan baru apabila skim ini dilancarkan. Jadi, bank masih untuk walaupun keuntungannya tidak seperti yang biasa.

Sebagai contoh, jika 5 juta rakyat Malaysia memohon, jumlah pinjaman adalah RM25 bilion dan sekiranya 10 juta orang memohon maka jumlahnya adalah RM50 bilion iaitu cuma 10% daripada pinjaman terkumpul sebanyak RM500 bilion bagi kesemua bank di Malaysia pada ketika ini.

Kerajaan juga boleh membantu bank dari segi aliran tunai dengan menrunkan lagi Nisbah Keperluan Berkanun yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Tambah Datuk Seri Najib lagi, dengan pelaksanaan i-Survive ini bukan sahaja dapat membantu rakyat Malaysia dari segi kewangan tetapi ianya secara tidak langsung mampu membantu merancakkan ekonomi tempatan. Malah, kerajaan turut mendapat manfaat dari segi jumlah rakyat Malaysia yang mendaftar di LHDN.

Sekian cadangan beliau. Apa pula kata anda, adakah skim ini relevan dan membantu?

Sumber : Facebook Datuk Seri Najib Razak

Check Also

(VIDEO) Pecah Perut Penonton! Cat, Jihan, Danial Buat Parodi Vida-Iqbal

Kisah cinta antara Dato’ Seri Vida dan pasanganya, Iqbal menjadi tumpuan peminat industri hiburan tanah air. Perbualan …

Leave a Reply

Your email address will not be published.