Tiada Kenderaan Untuk Bawa Anak Ke Klinik, Kanak2 Usia 2 Tahun Maut Disengat Tebuan.

SARIKEI: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 2 tahun maut disengat tebuan ketika pergi ke kebun lada bersama ibunya berhampiran rumah Saba Nunggang, Pakan di sini.

Dalam kejadian pukul 11.00 pagi itu, Patricia Sanggau dilaporkan disengat di bawah telinga kirinya.

Ketua Polis Daerah Julau, Deputi Superintendan Andam Sulin berkata, ibunya membawa mangsa yang menangis kesakitan pulang ke rumah panjang.

” Ibu mangsa cuba menghubungi suaminya yang berkerja di kebun tetapi gagal.

” Beliau terpaksa menunggu suaminya pulang kerana tiada kenderaan untuk membawa anak mereka ke klinik bagi mendapatkan rawatan.

” Wanita itu menganggap sengatan tersebut tidak berbahaya sehingga boleh menyebabkan kematian,” katanya dalam kenyataan.

Andam berkata, pasangan itu hanya membawa mangsa ke klinik Pakan pada jam 8.30 malam pada hari yang sama untuk mendapatkan rawatan.

” Doktor yang merawat mangsa berkata, kanak-kanak itu dibawa dalam keadaan lemah dan kelihatan tidak bermaya sebaik tiba di klinik.

o

” Pemeriksaan lanjut doktor mendapati bibir bawah mangsa bengkak akibat kesan bisa sengatan haiwan.

” Tiada kecederaan lain dikesan pada badan mangsa dan kanak-kanak malang itu disahkan meninggal dunia pada pukul 11.40 malam.

” Temu bual bersama saudara mara mangsa dan penduduk rumah panjang mendapati ibu bapa kanak-kanak itu menjaga anak mereka dengan baik dan mangsa juga tidak menghidap sebarang penyakit kronik,” katanya.

Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

7 PERKARA IBU AYAH KENA TAHU TENTANG BAHAYA SENGATAN TEBUAN

Sengatan serangga berbisa biasanya hanya menyebabkan kesakitan, bengkak dan kemerahan. Walau bagaimanapun, ia juga boleh mengakibatkan tindak balas yang lebih serius kepada badan dan fungsi organ akibat kejutan anafilaksis.

Tindak balas ini boleh membawa maut jika tidak mendapat rawatan segera.

Berikut adalah apa yang ibu ayah patut faham dan tahu tentang bahaya sengatan tebuan pada kanak-kanak.

1. TEBUAN DI MALAYSIA

Secara umumnya, tebuan tergolong dalam Order Hymenoptera, daripada keluarga Vespidae yang terdiri dari lebih 5,000 spesies tebuan dan serangga lain.

Spesies utama di Malaysia ialah Vespa tropica, tebuan kunyit yang membuat sarang daripada keratan tumbuhan yang dihancurkan menjadi seperti kertas di dalam hutan tebal dan tebuan tanah yang juga berbahaya.

Berbeza dengan lebah yang mempunyai badan berbulu dan gemuk, tebuan mempunyai badan halus dan berkaki licin. Bentuk badan tebuan panjang dan nipis, serta mempunyai pinggang yang kecil.

o

 

2. SARANG TEBUAN

Kawasan semak-samun dan hutan adalah tempat yang biasa dijumpai sarang tebuan. Oleh itu ibu bapa perlu berhati-hati sekiranya anak-anak bermain berhampiran kawasan sebegini.

Ini kerana tebuan akan menyerang manusia, haiwan atau apa sahaja yang cuba untuk mendekati sarangnya. Serangan tebuan dikatakan lebih agresif daripada serangan lebah.

Selain itu, tebuan juga boleh terus menyengat sasaran beberapa kali dalam masa beberapa minit berbanding kebanyakan lebah yang hanya akan menyengat sekali sahaja.

o

3. TAHAP KESAKITAN SENGATAN TEBUAN

Menurut Senior Agronomist, Dato Mohd Anim Hosnan, terdapat kajian saintifik mendapati racun tebuan mengandungi bahan dipanggil acetylcholine (5%) yang jatuh pada Tahap 3.0 daripada Tahap Maksimum 4.0 dalam ‘Shcmidt Sting Pain Index’.

Lebah Madu jatuh pada tahap 2.0 sementara sengatan Labah-labah Tarantula adalah paling bisa iaitu Tahap Maksimum 4.0.

Wah, sakit tu!

o

4. SIMPTOM

Menurut portal MyHealth, antara simptom sengatan tebuan yang boleh dikenalpasti terdiri daripada gejala setempat dan sistemik.

Ini termasuklah:

Setempat

  • Kesakitan yang teruk pada bahagian yang disengat.
  • Rasa gatal di sekeliling tempat sengatan.
  • Lebam di sekeliling tempat sengatan
  • Titik kesan sengatan kelihatan kemerah-merahan.
  • Sengatan kadang-kadang masih melekat pada tisu badan.
  • Bernanah.

Sistemik

  • Bagi mangsa yang sangat sensitif kepada racun sengatan ini ,mereka akan mengalami gejala pengsan dan turun tekanan darah.
  • Mengalami gejala kejutan anafilaksis (gangguan sistem pernafasan dan sistem peredaran darah) yang boleh membawa maut, kalau tidak mendapat rawatan segera.

Gejala kejutan anafilaksis adalah seperti :

  • Pucat dan kulit yang sejuk.
  • Berpeluh.
  • Ruam menyeluruh
  • Bengkak pada salur darah.
  • Pertuturan yang tidak jelas (slurred)
  • Gangguan emosi, keliru dan resah-gelisah.
  • Kadar pernafasan meningkat.
  • Kesukaran bernafas.
  • Tidak sedarkan diri.

o

 

5. BAHAYA SENGATAN TEBUAN KEPADA KANAK-KANAK

Seseorang yang terkena sengatannya perlu mendapatkan rawatan segera, terutama kalau melibatkan kanak-kanak.

Menurut Morganasunderam yang berkhidmat dengan PERHILITAN, racun yang dikeluarkan tebuan walaupun setitik, boleh meninggalkan kesan seperti bengkak teruk selain melemahkan badan jika melibatkan orang dewasa.

” Akan tetapi jika kanak-kanak disengat tebuan, racun tersebut mampu menjejaskan daya ketahanan selain kesan bengkak yang pedih pada bahagian atau anggota tubuh yang disengat.

” Jika sengatan itu pada sistem saraf atau saluran darah seperti di bahagian muka, ia memang serius dan mangsa perlu dibawa segera ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Jika terlambat, maut boleh terjadi,” terangnya.

6. TINDAKAN KECEMASAN JIKA ANAK DISENGAT TEBUAN

Tepis serangga daripada kulit dan perhatikan sama ada pundi sengat masih tertanam di dalam kulit. Jika dapat melihat pundi sengat tersebut, gunakan pengumpil atau penyepit untuk menanggalkan pundi sengat.

Satu kesilapan yang sering dilakukan adalah dengan menyapu minyak angin pada tempat sengatan. Tindakan itu hakikatnya tidak berkesan untuk meredakan kesakitan tersebut.

Pakar Perunding Pediatrik dan Pakar Kanak-kanak, Dr. Chin Wai Seong berkata, tindakan pertama yang perlu dilakukan jika anak disengat tebuan adalah dengan meletakkan ais atau air sejuk di tempat sengatan itu untuk membekukan tempat sengatan seterusnya menghalang racun itu merebak dalam tempoh tertentu.

” Ini kerana sengatan serangga seperti tebuan atau lebah ganas akan menyebabkan badan mangsa terasa panas, gatal dan bengkak di tempat gigitan. Jika ubat seperti minyak angin digunakan, ia akan menambah kepedihan dan kepanasan pada badan. Itu hanya memburukkan lagi keadaan.

” Langkah kedua selepas meletakkan ais atau air sejuk adalah mereka perlu membawa mangsa ke klinik kesihatan berhampiran dalam masa dua jam untuk mengelak racun itu merebak ke anggota badan dan bercampur dalam darah,” jelasnya.

Di klinik, mangsa akan diberi ubat sapu untuk bengkak dan mengurangkan gatal dan ia seharusnya memadai bagi mengatasi masalah ini.

Namun bagi kes yang lebih serius, langkah rawatan kecemasan pertama di klinik atau hospital adalah pemeriksaan reaksi dan kesan serius alergi. Antara simptom yang diperiksa adalah keadaan mata yang bengkak, demam panas, gatal-gatal dan badan yang lemah.

Sekiranya tanda-tanda itu dikenal pasti, doktor akan memeriksa tekanan darah, membuat ujian darah, memeriksa paru-paru dan sistem antibodinya sebelum bertindak memberi suntikan dan tindakan sewajarnya.

7. LANGKAH PENCEGAHAN

Merujuk info daripada Pusat Racun Negara, bagi mengelakkan serangan tebuan atau serangga penyengat, antara langkah pencegahan yang boleh diambil oleh ibu bapa dan anak-anak ketika beriadah, berkelah atau bermain di luar adalah seperti berikut:

  • Elakkan bahagian tubuh yang terdedah dengan memakai seluar panjang, baju berlengan panjang dan berkasut semasa bekerja di kawasan semak dan hutan.
  • Elakkan menggunakan pakaian bewarna-warni yang boleh menarik perhatian serangga. Pakailah pakaian berwarna lembut kerana pakaian berwarna terang ataupun bercorak bunga-bunga akan menarik perhatian lebah.
  • Elakkan memakai bau-bauan atau minyak wangi kerana ia boleh menarik perhatian serangga bila berada di kawasan belukar.
  • Sentiasa berjaga-jaga ketika berada di taman bunga.
  • Sekiranya anda makan di luar rumah, sentiasa tutup makanan dengan kemas terutamanya buah-buahan masak ataupun minuman ringan.
  • Kutip lebihan makanan di tempat perkelahan, buangkan ke dalam tong sampah dan tutup dengan kemas.
  • Jika anda diserang oleh serangga penyengat, masuklah ke dalam rumah, kawasan yang teduh ataupun terjun ke dalam air.
  • Jangan berlari secara mengejut sebaliknya berjalan perlahan-lahan kerana pergerakan yang mengejut akan menarik perhatian serangga tersebut.

Sumber: bh

Check Also

Terbaring Akibat Serangan J4ntung, Pian Cecupak Meninggal Dunia. Ini Lokasi Dia Ditemui. Al Fatihah

PELAWAK terkenal Pian Cecupak meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung kira-kira jam 8 malam Rabu …

Leave a Reply

Your email address will not be published.