Pekebun Haram Kecam Sikap ‘Angkuh’ Pahang Tebang 15,000 Pokok Durian

Sekumpulan pekebun durian mengecam tindakan kerajaan negeri Pahang yang disifatkan ‘angkuh’ apabila menebang 15,000 pokok durian Musang King yang menjadi pertikaian dalam tempoh sembilan hari lalu di Raub.

Presiden Save Musang King Alliance (SAMKA), Wilson Chang dalam satu kenyataan berkata, penguatkuasaan yang dilakukan oleh Jabatan Perhutanan Pahang itu menambahkan kesulitan kepada pekebun haram.

“Di mata pihak Jabatan Perhutanan Pahang, 15,000 pokok durian hanyalah angka.

“Meskipun begitu, pokok-pokok ini adalah satu-satunya sumber mata pencarian bagi para pekebun haram, yang juga merupakan satu-satunya harapan mereka untuk terus hidup menghadapi wabak ini.

Pekebun Haram Kecam Sikap 'Angkuh' Pahang Tebang 15,000 Pokok Durian

“Tambahan pula, operasi pembukaan tanah melibatkan 250 hektar tanah dalam waktu kurang daripada dua minggu menimbulkan kesan yang teruk terhadap alam sekitar dan tidak dapat dipulihkan

“Oleh itu, alasan ‘melestarikan alam sekitar’ oleh jabatan perhutanan tidak boleh diterima dan hanya menjadikan jabatan itu sebagai bahan tertawa,” kata Chang dalam kenyataan.

Terdahulu, BH Online memetik Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Nor Azirim Ahmad yang menyifatkan kejayaan operasi menebang 15,000 pokok durian Musang King itu sebagai pencapaian yang tidak dijangka berbanding perancangan awal.

Beliau berkata, lebih 100 kakitangan yang bertugas di hampir semua Pejabat Hutan Daerah (PHD) dikerah untuk menyertai operasi itu dan membantu melancarkan aktiviti menebang.

“Dalam tempoh 9 hari, hampir semua 15,000 pokok durian Musang King yang tanam secara haram dalam Hutan Simpan Batu Talam berjaya ditebang.

“Peringkat awal, ia dijangka mengambil masa selama sebulan.

“Pencapaian itu begitu membanggakan semua pihak terutama apabila dapat menyelesaikan tugasan berkenaan dalam jangka masa begitu pantas,” katanya.

Pekebun Haram Kecam Sikap 'Angkuh' Pahang Tebang 15,000 Pokok Durian

Nor Azirim turut berkata, kerjasama erat secara berpasukan antara kakitangan JPNP dengan Unit Penguatkuasa Negeri Pahang (UPNP) turut menjadi faktor kelancaran Operasi Pamah.

Katanya, tugas seterusnya ialah membersihkan tapak bagi kerja menanam pokok hutan dalam hutan simpan terbabit.

“Aktiviti menanam pokok hutan perlu dilakukan segera secara berperingkat, lebih 20,000 pokok hutan perlu ditanam dalam hutan simpan terbabit.

“Pejabat Pembangunan Hutan Pahang Barat, Rotan Tunggal, di sini bertanggungjawab sepenuhnya menanam pokok yang turut dibantu kakitangan daerah lain,” katanya

Terdahulu, kerajaan negeri Pahang dan kumpulan pekebun haram berkenaan terlibat dalam pertikaian mengenai tanah yang diteroka di Raub dan membawa kes itu ke mahkamah.

Kerajaan negeri mendakwa pekebun haram berkenaan meneroka tanah secara haram dan berusaha mengusir mereka bagi menyewakan tanah itu kepada sebuah syarikat yang merancang penanaman duriannya sendiri.

Para pekebun haram terbabit mendapat perintah penangguhan dari Mahkamah Rayuan, yang membolehkan mereka mengusahakan tanah itu sementara menunggu rayuan dibuat terhadap pengusiran tersebut.

Namun, pada awal bulan ini, kerajaan negeri mula bertindak menebang pokok durian di kawasan itu.

Kerajaan negeri berkata, pokok-pokok durian yang ditebang bukan berada di kawasan yang dipertikaikan, sebaliknya ditanam di hutan simpan yang berdekatan.

Sebaliknya, para pekebun haram terbabit berkata pokok-pokok durian berkenaan terletak di kawasan yang dipertikaikan dan keputusan penangguhan oleh mahkamah juga merangkumi pokok-pokok yang berada di dalam hutan simpan itu.

Chang berkata, Samka akan mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan negeri dengan memfailkan permohonan menghina mahkamah.

Chang sebelum ini berkata proses penebangan pokok-pokok durian itu bermula pada 5 Julai.

Sehari sebelum itu, polis menahan Adun Tras, Chow Yu Hui bersama 18 pekebun durian yang lain, di tengah pertelingkahan dengan pihak berkuasa negeri.

Check Also

“InsyaAllah Bekalan Di Alam Kubur Daddy & Mommy” – Anaqi Mula Rajin Mengikuti Solat, Amar Baharin Berdoa Semoga Anak Menjadi Insan Soleh

Setiap ibu bapa sudah pasti ingin memberikan pendidikan terbaik untuk anak-anak dengan harapan si kecil …

Leave a Reply

Your email address will not be published.