Connect with us

#news

Air Terjun Tanjung Batu Musnah Angkara Aktiviti Kuari Yang Diluluskan Kerajaan Negeri

MANJUNG – Keindahan alam semula jadi di kawasan Air Terjun Tanjung Batu, Segari di sini musnah akibat dari aktiviti kuari yang mula beroperasi sejak pertengahan tahun lalu.

Projek di atas tapak berkeluasan 18 hektar itu didakwa telahpun memulakan kerja-kerja awal pembersihan termasuk di kawasan laluan masuk ke air terjun berkenaan.

Maklumat pada papan tanda yang dipasang di kawasan berhampiran menunjukkan, pembangunan kuari tersebut telah mendapat kelulusan kerajaan negeri di sebahagian kompartmen 16 di Hutan Simpanan Kekal (HSK) Segari Melintang.

Pelaksanaan projek berkenaan telah menimbulkan rasa kecewa pencinta alam sekitar kerana dilakukan tanpa urus hutan yang betul sehingga menjejaskan ekosistem sedia ada di kawasan itu.

Dalam ciapan Twitter dan perkongsian di Facebook yang tular sejak Jumaat memberi gambaran kawasan air terjun itu sebelumnya menghijau dengan air jernih.

Bagaimanapun keadaan kini berubah apabila dipenuhi timbunan pokok dan kayu serta selut kesan penggondolan hutan bagi tujuan projek kuari.

Melalui akaun Facebook Otai Manjung mendakwa aktiviti terbaharu di kawasan hutan itu dilakukan secara rakus tanpa pertimbangan terhadap alam sekitar.

Keadaan terkini kawasan Air Terjun Tanjung Batu yang didakwa kesan penggondolan hutan bagi aktiviti kuari.

“Terdapat pelbagai khazanah alam flora dan fauna yang boleh diterokai, salah satunya Air Terjun Tanjung Batu.

“Tetapi kini segalanya telah musnah akibat daripada projek ini. Lihatlah, hanya kerana mahukan keuntungan segera dan mudah, khazanah alam bukan lagi sesuatu yang penting bagi mereka,” kongsinya.

Menerusi Twitter Shakila Schon mempersoalkan kelulusan diberikan kerajaan negeri terhadap projek berkenaan.

“Thank you (terima kasih) MB Perak, perhitungan dengan rakyat telah selesai, tunggu perhitungan dengan tuhan,” tulisnya.

Sahabat Alam Malaysia (SAM) dalam satu kenyataan berkata, kebimbangan itu pernah disuarakan oleh mereka pada tahun 2017 lagi apabila Pihak Berkuasa Negeri telah meluluskan kegiatan kuari di sebahagian Kompartmen 13, 14, 15 dan 16, Hutan Simpan Segari Melintang.

Katanya, kebimbangan itu pernah disuarakan oleh mereka pada tahun 2017 lagi apabila Pihak Berkuasa Negeri telah meluluskan kegiatan kuari di sebahagian Kompartmen 13, 14, 15 dan 16, Hutan Simpan Segari Melintang.

“Kelulusan kegiatan kuari dalam HSK bercanggah dan tidak mematuhi ketetapan Mesyuarat Majlis Tanah Negara ke-70 (MTN) pada tahun 2014 iaitu semua negeri digesa mengambil inisiatif mengawal atau sebolehnya mengelakkan sebarang kelulusan kegiatan perlombongan dan kuari dalam kawasan HSK.

“Kegiatan perlombongan dan kuari dalam kawasan HSK boleh menyebabkan fungsi kepelbagaian hayat hutan terjejas serta akan memberi kesan kepada pencapaian pengurusan hutan secara berkekalan yang menjadi teras dalam pengurusan hutan negara,” katanya dalam kenyataan tersebut, hari ini.

“Kali ini orang awam sendiri yang bersuara dan tularkan setelah melihat impaknya terhadap alam sekitar.

“Boleh nampak kawasan yang dahulunya jadi port mendaki dan mandi sudah dimusnahkan, saya kira kita sudah agak terlewat kerana projek ini sememangnya sudah diluluskan,” katanya.

Ekosistem hutan dimusnahkan sebelum kegiatan kuari beroperasi di HS Segari Melintang, Manjung. Foto: Sahabat Alam Malaysia

Sementara itu, SAM mendedahkan terdapat permohonan baharu kepada pihak berkuasa negeri untuk dilaksana kegiatan kuari di sebahagian Kompartmen 19, 20 dan 21 seluas kira-kira 122 hektar serta kegiatan pengambilan tanah merah di sebahagian Kompartmen 54 seluas kira-kira 49 hektar.

sumber: BH

Trending