Haritu cakap kalau dah vaksin tak perlu risau. So,buat apa risau dengan orang tak vaksin?

Kuala Lumpur: Guru yang enggan divaksin tanpa alasan kesihatan akan ditempatkan di ruangan khas apabila sesi persekolahan secara bersemuka dibuka semula pada 3 Oktober. Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, kawasan khas untuk kumpulan guru yang terlibat akan dipisahkan daripada warga pendidik dan pelajar yang sudah lengkap vaksinasi.

Di samping itu, katanya, Kementerian Pendidikan (KPM) sedang meneliti dan mengkaji jenis tindakan lanjut yang akan dikenakan terhadap kumpulan guru yang terlibat, melalui konteks peraturan dan prosedur perkhidmatan awam. Namun, beliau berkata, ketika ini pihaknya belum memuktamadkan sebarang jenis tindakan terhadap guru terbabit.

“Menerusi rekod KPM, kira-kira 2,500 guru dikenal pasti enggan vaksinasi tanpa alasan kesihatan. Angka ini selepas kita tolak jumlah guru yang belum boleh divaksin atas alasan kesihatan.

“Secara umumnya, mereka (guru enggan divaksin tanpa alasan kesihatan) juga tidak akan dibenarkan mengajar secara bersemuka di kelas, selain perlu membuat tugasan yang akan ditentukan kemudian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein di Wisma Pertahanan, di sini hari ini.

Mengenai cadangan memindahkan kumpulan guru itu ke sekolah berisiko rendah, Mohd Radzi berkata, pihaknya sedang menelitinya dan pendekatan terbaik bagi memastikan keselamatan semua pihak, khususnya murid.

“Jumlah mereka hanya 2,500 daripada keseluruhan guru yang hampir 500,000 dalam ekosistem KPM dan ianya adalah sedikit. Bagaimanapun kita sedang teliti pendekatan terbaik bagi memastikan keselamatan murid khususnya.

“Kita juga akan umumkan kalau ada perkembangan terbaharu keputusan berkaitan saringan berkala (ke atas guru enggan divaksin) jika ada.

“Bagi program vaksinasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, ia baru mula dilaksanakan dan saya rasa insya Allah Kementerian Kesihatan (KKM) akan memberi kemaskini mengenai jumlah murid sudah divaksinkan,” katanya.

Sementara itu, beliau menegaskan keputusan pembukaan semula sesi persekolahan secara bersemuka dibuat selepas mengambil kira aspek kebajikan lima juta murid di seluruh negara.

Katanya, ini kerana keseluruhan murid berkenaan datang daripada pelbagai latar belakang, selain sudah renggang dengan institusi sekolah secara bersemuka bagi tempoh agak lama, sejak Mei lalu.

Menurutnya, ia dikhuatiri akan memberi gambaran kepada murid bahawa mereka tidak akan kembali menjalani sesi persekolahan secara bersemuka, selain pembukaan berperingkat itu sekurang-kurangnya memberi gambaran baharu selari peralihan ke fasa endemik seperti dinyatakan KKM.

“Kita boleh memilih tidak membuka sekolah dan ia jalan paling mudah, namun hakikatnya kita ada lima juta murid daripada pelbagai latar belakang dan renggang dengan sekolah untuk tempoh panjang, mulai Mei lalu.

“Katakanlah kalau kita ambil keputusan untuk menutup sekolah hingga tahun depan, maka dalam pemikiran mereka (murid) persekolahan bersemuka tak berlangsung hingga 2022.

“Kita secara umumnya akan dapati murid melihat mereka tidak akan kembali bersekolah secara bersemuka, selepas tidak boleh hadir ke sekolah mulai Mei lalu,” katanya.

Check Also

(VIDEO) Pecah Perut Penonton! Cat, Jihan, Danial Buat Parodi Vida-Iqbal

Kisah cinta antara Dato’ Seri Vida dan pasanganya, Iqbal menjadi tumpuan peminat industri hiburan tanah air. Perbualan …

Leave a Reply

Your email address will not be published.