‘Ikan Dekat Pasar Pun Lagi Mahal’ – Luah Hamidah, Ramai Yang Ingat Bayaran Pelakon Veteran Lebih Mahal, Padahal Tak Pun

” Bayaran kepada artis veteran tidak berbaloi dengan pengalaman yang mereka ada. Sungguh menyedihkan apabila orang baharu menerima bayaran lebih tinggi,”

Itu antara luahan pelakon senior Hamidah Wahab berhubung bayaran yang diberikan pihak produksi yang disifatkan tidak setimpal dengan pengalaman.

Tidak dinafikan isu bayaran bagi pelakon senior bukanlah isu baharu. Sejak dahulu lagi, kebanyakan artis berpengalaman mengeluh mengenai perkara itu.

Menurut Hamidah, 66, beliau amat kecewa dan sedih apabila memikirkan soal bayaran kerana bayaran yang diterimanya sangat rendah berbanding pelakon baharu.

” Apa yang boleh saya katakan, bayaran yang saya dapat sebagai pelakon senior lebih sedikit dan rendah berbanding pelakon baharu. Pelik juga mengapa kami menerima bayaran yang rendah.

” Sejujurnya, saya sedih dan terasa hati. Bayangkan, kami sudah lama berkarya sebagai pelakon, tetapi akhirnya, penglibatan dan bakat kami tidak dihargai,” katanya.

Selain itu, Hamidah turut menyifatkan bayaran bagi upah berlakon diterima adalah lebih rendah berbanding harga ikan yang dijual di pasar.

” Harga ikan yang dijual di pasar pun lebih mahal daripada bayaran pelakon veteran. Mungkin ramai beranggapan bayaran pelakon veteran lebih mahal, tetapi tidak sama sekali,” tambahnya lagi.

Pelakon yang memulakan karier sebagai model pada tahun 1970-an itu berkata, segelintir pelakon baharu masa kini juga ada yang tidak mengenali pelakon veteran ketika menjalani penggambaran bersama.

Dalam pada itu, Hamidah turut memaklumkan beliau belum merasakan dirinya akan bersara daripada bidang lakonan dalam masa terdekat ini.

Sebagai pelakon berpengalaman, beliau cukup faham ragam dalam dunia seni dan tahu bila masa yang sesuai untuk menamatkan kerjaya lakonannya.

” Waktu muda saya pernah menjadi model, ketika itu saya tahu bila perlu berhenti. Sebelum orang halau lebih baik perlahan-lahan tarik diri.

” Begitu juga dalam dunia lakonan. Sentiasa bersedia kerana kita semakin tua.

” Terima apa yang akan berlaku dan dorongkan diri saya ke arah yang lebih baik,” katanya.

Pelakon Tanah Kubur ini ditemui dalam sebuah majlis meraikan artis veteran anjuran restoran Dulang Cafe di Danau Kota, Kuala Lumpur pada Isnin.

Pelakon baru tegur ‘hai’ sahaja

Hamidah yang ditemui baru-baru ini turut melahirkan rasa kecewa apabila ada segelintir pelakon baharu nampaknya tidak menghargai bakat lama seperti dirinya.

Bukan minta disanjung, tetapi baginya cukup ada rasa menghormati terhadap artis veteran yang telah lama mencipta nama.

” Saya akui ada pelakon baharu yang tidak mengenali saya. Apabila kita memperkenalkan diri, barulah mereka tahu saya juga adalah pelakon.

” Sejujurnya, kami bukan minta disanjung, namun, cukup sahaja dengan rasa menghormati dengan artis veteran yang telah lama berada dalam industri,” katanya.

Beliau sendiri pernah berhadapan dengan situasi apabila tidak dikenali pelakon baharu.

” Mungkin dia tidak kenal kerana saya mula aktif berlakon ketika dia belum lahir. Apabila saya datang set dia hanya tengok sahaja sehinggalah diperkenalkan.

” Jika tidak diperkenalkan hanya sekadar bertegur hai sahaja.

” Saya biarkan sahaja. Bagi saya suatu hari nanti mereka betul-betul belajar apa makna seorang pelakon,” jelasnya.

Enam tahun menghilang

Sebelum ini, Hamidah pernah menghilangkan diri selama enam tahun dari dunia lakonan. Meski pun begitu, minatnya terhadap dunia lakonan tidak pernah pudar.

” Kerjaya lakonan menjadi mata pencarian saya, selama ini. Tidak timbul soal nak bersara atau sebaliknya, itu semua kerja Allah SWT. Selagi tak mendatangkan mudarat dan melanggar undang-undang, saya akan meneruskan minat dan kecintaan ini.

” Saya berlakon tak berhenti sejak zaman muda. Ada kala, hanya sempat berehat seminggu dua, sudah kembali bekerja. Itulah yang menyeronokkan, saya melakukannya demi minat, bukan mengejar kesenangan.

” Apabila dapat panggilan wartawan, hati sangat seronok. Saya hanya mengenali wartawan generasi lama. Ada antaranya sudah bersara dan meninggal dunia.

” Saya tak sangka masih mendapat perhatian wartawan generasi hari ini yang mahu membantu memberi publisiti,” katanya.

Hamidah berkata, ada ketika dirinya pernah dikatakan sudah tidak mahu berlakon.

” Hakikatnya, tidak sesekali. Bagaimanapun, enam tahun juga saya menghilangkan diri daripada radar dunia lakonan. Masa itu, rasa kcewa dan dilupakan, tetapi itu biasalah.

” Saya enggan terus larut dengan perasaan tidak ketentuan. Saya percaya rezeki Allah sangat luas.

” Saya beroleh rezeki berlakon semula, tahun lalu. Pengarah, Along Kamaruddin antara yang bertanyakan sama ada saya masih berlakon atau tidak. Saya balas, tak pernah rasa nak berhenti berlakon lagi.

” Daripada situ, saya dapat berlakon dengannya. Lepas itu, penerbit dan pengarah mula memanggil saya semula.

” Pengarah seperti Shahrulezad Mohameddin, Rashid Sibir dan Michael Ang antara yang tak lupa menawarkan saya kerja lakonan,” kata ibu kepada tiga cahaya mata itu.

Sumber:gempak dan bharian

Check Also

Beri selipar yang dipakai kepada warga emas berk4ki ay4m tepi jalan… Pemuda ini dapat ‘tabik’ hormat netizen

SEBAGAI umat Islam, kita sememangnya dituntut untuk berbuat baik sesama manusia dan m4khluk lain. Walau …

Leave a Reply

Your email address will not be published.