Seorang lelaki di Besut telah menimbulkan kekecohan apabila dia bertindak membina sebanyak 11 bonggol jalan di tepi rumahnya di Kampung Padang Luas, Jertih pada Isnin. Disebabkan itu, beliau memohon maaf atas perbuatan khilafnya.

Individu tersebut, Nor Muhamad Roslam Harun, 40, akui salahnya membina bonggol sebanyak itu dengan jarak tidak mencecah 40 meter menyebabkan kesusahan penduduk untuk keluar masuk ke jalan utama.

“Pagi semalam ada pegawai polis datang jumpa saya. Beliau menasihati saya dengan elok supaya membuang semua bonggol tersebut.

“Jadi semalam juga saya upah sebuah jentolak untuk meratakan semua 13 bonggol termasuk dua bonggol asal yang ada di situ,” katanya kepada BERNAMA.

Baru-baru ini, tular di seluruh media sosial berkenaan seorang individu muat naik sekeping foto jalan masuk ke rumahnya yang terbina 11 bonggol dan dipercayai dibina oleh jirannya.

Nor Muhamad Roslam mengatakan tujuan dia membina keseluruh 11 bonggol tersebut kerana tidak selesa dengan bunyi kenderaan selain dari segilintir pengguna jalanraya disitu memandu laju tanpa mengira masa.

“Bilik tidur saya berada di bahagian tepi yang berdekatan dengan jalan itu menyebabkan bunyi bising kereta dan motosikal mengganggu tidur. Saya tertekan sangat dengan masalah ini tambahan pula saya mempunyai masalah kesihatan (gangguan mental) tetapi belum lagi mendapatkan rawatan.

“Sebenarnya saya mahu membina bonggol yang landai sahaja tetapi tar itu cepat mengeras menyebabkan ia menjadi bonggol tinggi sehingga tidak boleh dilalui semua kereta kecuali pacuan empat roda,” katanya sambil memberitahu membelanjakan RM1,080 daripada pengeluaran RM5,000 wang i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membina bonggol-bonggol tersebut.

— BERNAMA

By The Klasik

"Tersilang akar ada tunasnya, Melingkar sabut kenal umbinya.."