“Bakti Terakhir Shamsul..” – Cedera Parah Tersepit Setelah Merempuh Belakang Lori, Pemandu Van Ambulans KKM Meninggal Dunia

JOHOR BAHRU – Seorang pemandu sebuah ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) menemui ajal apabila kenderaan yang dinaiki merempuh belakang sebuah lori dalam kejadian di Kilometer 9.7 Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke Skudai di sini hari ini.

Dalam kejadian pada jam 12.30 tengah hari itu, mangsa yang berusia 49 tahun meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai mengalami kecederaan parah selepas tersepit pada bahagian pemandu.

Difahamkan, mangsa bersama tiga lagi staf Kementerian Kesihatan dalam perjalanan dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kluang menuju ke Hospital Permai, di sini untuk mendapatkan bekalan vaksin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Timbalan Penguasa Bomba I, Suhaimi Abdul Jamal berkata, seramai 14 anggota dari BBP Larkin dan BBP Skudai dengan lima jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Semasa tiba didapati empat kakitangan itu iaitu pemandu Shamsul Shamsuri, 49; Rosnilam Satari, 48; Azlina Mohd. Rawi, 41; dan Amelia Pek Ying Hung, 26, terperangkap dalam van terbabit.

“Pihak bomba menggunakan alatan ‘rescue cutter’ untuk mengeluarkan semua mangsa yang mengambil masa kira-kira 11 minit,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambahnya, pemandu van tersebut meninggal dunia dan dibawa EMRS manakala dua lagi mangsa cedera menaiki kenderaan kementerian itu ke hospital, sementara pemandu lori berkenaan terselamat.

“Bomba dimaklumkan van KKM tersebut dalam perjalanan dari Kluang ke Hospital Permai untuk mengambil bekalan vaksin,” katanya.

Tambah Suhaimi, operasi tersebut kemudian ditamatkan pada pukul 1.24 petang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Salam takziah semoga arwah ditempatkan dikalangan orang yang beriman dan beramal soleh. Al fatihah.

Check Also

(VIDEO) Pecah Perut Penonton! Cat, Jihan, Danial Buat Parodi Vida-Iqbal

Kisah cinta antara Dato’ Seri Vida dan pasanganya, Iqbal menjadi tumpuan peminat industri hiburan tanah air. Perbualan …

Leave a Reply

Your email address will not be published.