Walau Terganggu Dengan Asma Kritikal, Arwah Benjy Sempat Khatam Al-Quran Penuhkan Masa Dengan Amal Ibadah

Pelakon dan pengarah, Ellie Suriaty Omar bersedih atas pemergian rakan baiknya, Allahyarham Benjy Ibrahim yang dilaporkan telah meninggal dunia di sebuah hospital di Medan, Indonesia semalam.

Menurut laporan BH Online, Ellie selalu mengirimkan sedikit bantuan kewangan setiap bulan namun tidak dapat memberi sejak kebelakangan ini berikutan kekurangan ‘job’ akibat ᴄᴏᴠɪᴅ-19.

“Arwah beritahu saya keadaan batuknya hingga keluar darah. Dia juga minta ampun dan minta halalkan segala-galanya, minggu lalu. Saya tidak sangka itu petanda arwah akan pergi,” katanya.

Ellie mengatakan bahawa beliau pernah berjanji membawa pulang Benjy ke tanah air selepas dibebaskan dari penjara atas kesalahan memiliki dadah yang membuatkan Benjy menjalani hukuman selama 11 tahun.

“Arwah seperti adik saya. Bagaimana saya menyayangi arwah ibunya, begitu juga sayang saya pada arwah. Arwah ibunya banyak membantu membentuk saya dalam menghidupkan karakter lakonan.

“Besar harapan saya melihat arwah memulakan kehidupan baharu apabila dibebaskan. Saya juga mahu arwah membuat kemunculan semula dalam industri lakonan, namun, hasrat saya tidak kesampaian,” ujarnya.

Tambah Ellie, dia sering memberikan kata-kata semangat kepada arwah selain menyifatkan ia adalah masa yang sangat sesuai untuk melakukan amal ibadah.

“Alhamdulillah, arwah banyak berubah dan menghabiskan masa mendekatkan diri dengan Allah SWT. Arwah beritahu sudah khatam al-Quran, bersolat, berpuasa dan sebagainya,” tambahnya.

Terdahulu, Allahyarham Benjy yang berusia 43 tahun menghembuskan nafas terakhir kerana serangan asma akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Tanjung Gusta sebelum Zohor waktu tempatan, esok.

Berita pemergian Benjy atau nama sebenarnya, Khaeryll Benjamin Ibrahim tular di kalangan rakan artis dan ia dipercayai daripada makluman bapanya, Khairil Anwar Zainal Muktar Rashidi.

Anak sulung primadona filem Melayu, Allahyarham Azean Irdawaty itu dipercayai sudah lama menghidap penyakit asma yang kronik. Perkara itu disahkan adik bongsu arwah, Inessa Irdayanty.

Inessa berkata, keluarga menerima panggilan pihak penjara memaklumkan arwah sukar bernafas dan terpaksa dibawa ke hospital, namun tidak berjaya diselamatkan.

Pada 2018, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi pernah mengunjungi arwah di Penjara Tanjung Gusta, Medan.

Namun, keadaan kesihatan aktor yang pernah diangkat sebagai Pelakon Lelaki Terbaik, Anugerah Skrin TV3 pada 2002 itu sudah terganggu akibat penyakit asma kritikal dan batuk tanpa henti.

Allahyarham Benjy pernah mendirikan rumah tangga dengan Safiya Stephanie Kar-Leng Lee pada Februari 2004. Bagaimanapun, mereka bercerai pada 2013. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan cahaya mata lelaki, Firdaus Juan Benjamin, 16.

Sumber: BH Online (Fatin Farhana Ariffin)

Check Also

(VIDEO) Pecah Perut Penonton! Cat, Jihan, Danial Buat Parodi Vida-Iqbal

Kisah cinta antara Dato’ Seri Vida dan pasanganya, Iqbal menjadi tumpuan peminat industri hiburan tanah air. Perbualan …

Leave a Reply

Your email address will not be published.