Ada pihak berniat jahat, sengaja tular perbalahan tanpa tahu hujung pangkal

MELAKA TENGAH – Tindakan menutup dua jalan alternatif di Taman Akasia, Pengkalan Batu di sini, dibuat mengikut lunas undang-undang tanpa menyebelahi mana-mana pihak.

Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani Melaka, Norhizam Hassan Baktee yang juga Adun kawasan Pengkalan Batu berkata, tindakan itu diambil selepas mengambil kira faktor keselamatan penduduk di kawasan itu.

Menurutnya, jalan alternatif itu adalah laluan pintas yang dibuat di atas tanah milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan digunakan penduduk Kampung Pulau Nibong, bersebelahan taman berkenaan untuk keluar ke jalan utama sejak 2005.

“Keputusan penutupan jalan itu dibuat selepas penduduk merasakan keselamatan terutama kanak-kanak apabila kenderaan yang melalui kawasan itu dipandu dalam keadaan laju.

“Selain ia juga untuk mengelakkan kecurian motosikal daripada terus berlaku, kerana sebelum ini terdapat lima kes dilaporkan. Ia bukan bermakna kami menyebelahi penduduk taman,” katanya.

Beliau ditemui selepas mengadakan pertemuan bersama penduduk Taman Akasia dan Kampung Pulau Nibong di sini, hari ini.

Jalan alternatif itu yang turut digunakan penduduk Kampung Pulau Nibong, sebagai laluan untuk akses ke jalan utama mengundang rasa tidak puas hati penduduk kampung.

Malah, kehadiran Norhizam pada awalnya menimbulkan suasana tegang apabila berlaku pertengkaran mulut antara penduduk kampung dengan exco berkenaan berhubung isu tersebut.

Menurut Norhizam, kelulusan penutupan jalan dibuat menerusi MPHTJ pada 1 Oktober lalu dan pelaksanaannya dilakukan pada keesokan harinya.

“Sepatutnya penduduk tahu membezakan mana satu jalan alternatif dan utama (persekutuan). Setahu saya jalan taman untuk orang taman.

“Sebelum ianya (keputusan) dibuat, saya sudah buka buku dan melihat peruntukan undang-undang sedia ada. Kalau penduduk kampung merasakan saya menyebelahi penduduk taman, mereka boleh melantik peguam dan kita lakukan mengikut undang-undang,” katanya.

Video Jadi Viral

Norhizam Hassan Baktee yang juga Adun kawasan Pengkalan Batu menganggap visual pertengkaran mulut antara beliau dengan penduduk Kampung Bukit Nibong sengaja disebarkan pihak tertentu untuk mengambarkan keburukan dirinya.

Dakwa beliau yang hadir pada jam 8.45 pagi tadi di taman berkenaan, apa yang tersebar di laman sosial menerusi video berkenaan adalah sebahagian dari babak pertengkaran terbabit sementara selebihnya adalah fakta sebenar berhubung penutupan jalan berkenaan yang tidak disebarkan.

“Belum selesai saya berjabat tangan dengan semua yang ada di lokasi kejadian, sekumpulan individu bertubi-tubi menyerang dan menyoal saya dengan soalan-soalan panas. Namun, ia tidak menjadi masalah pada saya untuk menjawab.

“Yang disebarkan hanyalah sisi buruk saya, sisi saya mendengar atau membantu penduduk kampung tidak pula disebarkan, tidak mengapalah.

Saya terima dan akur kerana saya sedia maklum, itulah sifat sebenar manusia yang lebih terarah menggali keburukan berbanding mengangkat kebaikan,” katanya.

Jelasnya, beliau tidak mampu menghalang mana-mana pihak untuk tidak menyebarkan video berkenaan yang dipercayai sudah menjadi tular.

“Saya berkhidmat untuk semua masyarakat Dun Pengkalan Batu tanpa mengira apa juga parti politik kerana pada saya ketika ini adalah masa untuk saya bekerja dan bukan untuk berpolitik.

“Apabila dituduh saya bersandiwara dan bermain politik dalam penyelesaian kemelut ini, ia amat mengecewakan saya,” katanya.

Sumber dari Sinar Harian