“BN menang kali ini nasib je, tu pun sebab bawa isu perkauman” – M Manogaran

CAMERON HIGHLANDS – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan calon Barisan Nasional (BN) Ramli Mohd Nor sebagai pemenang Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

Ia merupakan kemenangan pertama buat BN sejak pilihan raya umum (PRU) ke-14, sementara Ramli mencatat sejarah sebagai Orang Asli pertama menjadi Ahli Parlimen.

Keputusan rasmi yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) omenunjukkan Ramli menang dengan 3,238 majoriti undi selepas meraih 12,038 undi keseluruhan.

Pencabar terdekatnya, calon Pakatan Harapan (PH) M Manogaran meraih 8,800 undi.

Dua calon bebas yang bertanding pula, Wong Seng Yee dan Sallehudin Ab Talib masing-masing meraih 276 dan 314 undi. Kedua-dua mereka dijangka kehilangan deposit.

Kekalahan calon Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands merupakan mesej jelas yang dihantar oleh rakyat kepada kerajaan.

Raja ‘Troll’, Datuk Seri Najib Razak berkata, kemenangan Barisan Nasional (BN) ini bermakna PH ditolak rakyat.

“PH gunakan jentera dan aset kerajaan. PH gunakan duit dan pelbagai ‘sumbangan’ kerajaan. PH gunakan agensi kerajaan menyerang calon dan parti BN.

“Mereka silap. Mereka fikir rakyat tidak tahu menilai,” katanya.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, rakyat sudah muak dengan segala penipuan dan fitnah PH yang langsung tidak membawa sebarang kebaikan.

“Rakyat mahukan Ramli Mohd Nor mewakili suara mereka, Orang asli pertama di Dewan Rakyat,” ujar beliau yang percaya bekas pegawai polis itu akan membawa kemajuan di Cameron Highlands.

Najib turut mengucapkan tahniah kepada parti-parti komponen BN yang berkampung sepanjang kempen pilihan raya itu.

Malah, beliau turut menghargai sokongan pemimpin-pemimpin Pas yang membantu kemenangan BN di Cameron Highlands.

“Terima kasih kepada semua pengundi yang memilih BN termasuk di Felda, kampung tradisional dan pos Orang Asli. Ini adalah kemenangan rakyat!,” tambah beliau.

“BN bawa isu perkauman” – M Manogaran

CALON Pakatan Harapan (PH) yang gagal untuk kali ketiga dalam percubaannya merebut kerusi Parlimen Cameron Highlands, M Manogaran, mendakwa Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi berkenaan kerana memainkan isu perkauman.

Manogaran berkata, beliau sama sekali tidak menyalahkan pengundi kerana kegagalannya merampas kerusi berkenaan.

“BN main isu kaum, saya tak salahkan pengundi. Ini menjadikan kami lebih kuat kerana kami tidak memandang agama dan kaum,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Pilihan Raya PH di Cameron Highlands, hari ini.

Menurutnya, meskipun kalah beliau akan tetap meneruskan khidmatnya di Cameron Highlands dan berterima kasih kepada semua pihak yang membantunya sepanjang kempen berlangsung.

Manogaran turut berterima kasih kepada pucuk pimpinan DAP dan PH yang memberikan peluang kepadanya bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) berkenaan dan berharap mereka dapat membantu dalam membangunkan Cameron Highlands.

“Kita perlu terus membantu penduduk. Saya komited untuk membantu kerajaan membawa pembangunan di sini,” katanya.

Ini janji Ramli

CALON Barisan Nasional (BN), Ramli Md Noor yang diumum menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands berjanji untuk berkhidmat sebaik mungkin di parlimen itu.

Ditemui media selepas majlis pengumuman rasmi keputusan PRK berkenaan, Ramli yang juga anak tempatan turut menyatakan kesyukuran atas kemenangan.

“Saya berjanji akan berusaha untuk berkhidmat kepada masyarakat di Cameron Highlands. Saya sangat berterima kasih kepada pengundi di sini yang mengundi BN pada kali ini.

“Tidak dilupakan juga kepada jentera BN, khususnya UMNO, PAS, MIC dan MCA yang membantu menjayakan kemenangan saya pada hari ini,” katanya ringkas.

Sejak dari awal berkempen pada PRK kali ini, Ramli memang dilihat pendiam dan kurang bercakap dengan petugas media yang membuat liputan sepanjang 14 hari tempoh berkempen pada PRK berkenaan.

Pada PRK kali ini, Ramli yang berasal dari suku kaum Semai, bukan hanya berjaya mengetepikan tiga lagi pencabarnya, bahkan meraih undi majoriti kemenangan lebih tinggi.

Ramli memperoleh majoriti 3,238 undi berbanding 597 undi yang diperoleh penyandang terdahulu, Datuk C Sivarraajh.

Turut mencipta sejarah dengan kemenangan Ramli ini, beliau adalah wakil rakyat tunggal yang akan membawa suara masyarakat Orang Asli ke Dewan Rakyat.

Turut hadir meraikan kemenangan Ramli malam ini, pimpinan tertinggi BN termasuk Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Manogaran diarah keluar pusat undi

Tindakan telah diambil terhadap calon Pakatan Harapan (PH), M. Manogaran dengan meminta beliau keluar daripada pusat mengundi setelah didapati memakai pakaian yang mempunyai logo parti.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, adalah menjadi kesalahan apabila terdapat mana-mana pihak termasuk calon membawa bahan kempen termasuk lambang parti di tempat mengundi mahupun dalam jarak 50 meter dari lokasi mengundi.

“Saya telah diberitahu perkara itu (tindakan Manogaran memakai baju berlogo parti) sebentar tadi dan saya rasa pihak pemantau pilihan raya perlu menegur beliau.

“Bagaimanapun, tindakan telah diambil dengan meminta beliau keluar daripada kawasan tempat mengundi kerana dalam kawasan tersebut dan 50 meter darinya, tiada sesiapa pun dibenarkan membawa bahan kempen dan logo parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke pusat mengundi di sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) Ringlet di sini hari ini.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki melalui laman Facebooknya pagi tadi telah memuat naik dua keping gambar Manogaran yang dilihat memakai baju mempunyai logo Pakatan Harapan di dalam pusat menggundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Senderut.

Menurut Dr. Asyraf Wajdi, perbuatan Manogaran itu jelas bertentangan dengan peraturan SPR.

Seksyen 26(1)(g) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 menetapkan tiada seorang pun boleh pada hari mengundi dalam jarak lima puluh meter dari sempadan mana-mana tempat mengundi dan dalam tempat mengundi, memakai, memegang atau membawa apa-apa bentuk atau jenis pakaian, tutup kepala, barang hiasan, roset, botol air atau payung yang pada nya tercetak atau tertera nama calon atau nama, lambang atau simbol mana-mana parti politik.

Mengikut akta tersebut mana-mana orang yang melanggar mana-mana peruntukan subseksyen boleh apabila disabitkan, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan dan didenda kedua-duanya.

Sumber dari Harian Metro