Didakwa Langsungkan Pernikahan Secara Tertutup Dengan Rossa, Ini Penjelasan Afgan

CERITA tentang pasangan penyanyi popular Afgansyah Reza, 27, dengan Datuk Rossa, 38, tidak pernah habis diperkatakan. Kemesraan dan keakraban mereka sentiasa menjadi tanda tanya mengenai status hubungan sebenar meski belum keluar dari mulut mereka mengakui sedang bercinta.

Penyanyi popular Indonesia, Afgan menafikan dakwaan bahawa dia telah berkahwin dengan penyanyi Rossa baru-baru ini dalam sebuah majlis yang diadakan secara tertutup.

Menurut laporan Liputan6.com, Afgan mengakui dakwaan tersebut adalah tidak benar dan dia masih belum mempunyai isteri.

“Sejujurnya ramai yang menanyakan saya mengenai hal itu dan apa yang boleh katakan bahawa saya belum berkahwin.

“Mungkin apa yang dikatakan itu adalah doa daripada orang ramai kepada saya dan itu sesuatu yang positif.

“Apapun teruskan berdoa agar saya segera berkahwin dan tidak kiralah siapa pun calonnya kerena yang penting saya bahagia,” katanya.

Suatu ketika, pasangan duet lagu Kamu Yang Kutungguini digosipkan khabarnya merakam foto pra perkahwinan ketika sama-sama bercuti ke Istanbul, Turki beberapa hari sejurus selesai konsert meraikan 21 tahun Rossa di industri seni pada 13 April lalu.

“Ngak lah… Sebenarnya Ocha ada urusan kerja di sana bersama pasukan pengurusannya. Kebetulan saya lapang dan mahu ikut jalan-jalan.

“Di sana, Ocha buat kerja, saya pula keluar bersiar-siar, jadi ngak ganggu kerja dia. Saya ke sana mahu melihat sejarah Islam,” jelas Afgan.

Pelantun lagu Kunci Hati, Jodoh Pasti Bertemu dan Jalan Terus ini menganggap hubungan baik dengan Rossa dan pihak pengurusannya bagaikan satu keluarga.

“Saya senang dengan mereka dan sudah macam keluarga. Saya katakan mahu turut serta bercuti dan mereka tiada masalah.

“Setelah penat bekerja, saya juga perlu waktu rehat dengan keluar bercuti. Doakan saja yang baik-baik semoga kami bisa sama-sama bahagia,” ujar Afgan yang berbeza usia sebelas tahun dengan Rossa, seorang ibu tunggal kepada anak lelaki berusia 11 tahun.

Didakwa Langsungkan Pernikahan Secara Tertutup Dengan Rossa, Ini Penjelasan Afgan

Didakwa Langsungkan Pernikahan Secara Tertutup Dengan Rossa, Ini Penjelasan Afgan

Sebelum ini Rossa pernah berkahwin bersama Yoyo, vokalis kumpulan Padi namun mereka telah mengambil keputusan untuk berpisah pada tahun 2009 lalu. – Gempak