Final Piala Malaysia: Mutu pengadilan terburuk dalam sejarah bolasepak tanahair

SHAH ALAM: Pengadil Suresh Jayaraman yang mengendalikan aksi final Malaysia antara Terengganu FC (TFC) dan Perak di Stadium Shah Alam, malam ini dianggap netizen sebagai pengadil terburuk dalam sejarah pengadilan trofi berprestij itu.

Turut membidas pengadil berkenaan ialah Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menyifatkan mutu pengadilan hari ini teruk.

“Pengadil final Piala Malaysia hari ini teruk. Saya tidak pernah melihat dia dan saya terkejut mengapa dia dipilih untuk final,” kata Tunku Ismail dalam Twitternya.

Menurut TMJ, pengendali liga bolasepak di Malaysia seharusnya membawa pengadil dari luar negara yang lebih berkualiti ke Malaysia namun cadangan itu ditolak individu tertentu. TMJ juga memberitahu beliau telah menggunakan duit sendiri untuk menghantar 25 pengadil baru ke Jepun bagi menjalani kursus di sana.

Beberapa keputusan kontroversi Suresh dalam perlawanan itu termasuk membatalkan dua jaringan Perak dan melayangkan dua kad merah kepada pemain Perak, Gilmar da Silva pada minit ke-55 dan pemain TFC, Lee Tuck (m-66) menyaksikan ramai yang mengecamnya.

Kebanyakan komen netizen mempertikaikan kewibawaan Suresh untuk menjadi pengadil perlawanan penting itu serta gagal mengawal perlawanan sehingga hampir tercetus pergaduhan antara pemain kedua-dua pasukan.

Bagaimanapun, tidak menghairankan kerana Suresh pernah mencetuskan kontroversi apabila dikatakan menjadi punca pergaduhan final Piala Menteri Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) antara pasukan UiTM Shah Alam menewaskan UiTM Perlis 2-1 yang dicemari insiden tumbuk-menumbuk serta caci-mencaci pada tahun 2015.

Dalam perlawanan di Stadium Mini Shah Alam itu, Suresh turut melayangkan tiga kad merah membabitkan seorang pemain tuan rumah dan dua pelawat dengan jurulatih UiTM Perlis, Manja Man meluahkan rasa kecewa terutama dengan mutu pengadilan yang disifatkannya ‘bertaraf rendah’ sehingga mengundang insiden memalukan itu.

Perak menamatkan kemarau 18 tahun trofi Piala Malaysia dengan penuh dramatik menerusi penentuan penalti 4-1 ke atas Terengganu FC.

Pada perlawanan  akhir yang berlangsung di Stadium Shah Alam itu menyaksikan  pasukan Terengganu yang dilatih Irfan Bakti Abu Salim berjaya menjaringkan gol terpantas 51 saat oleh Tchetche Kipre sebaik wisel sepak mula ditiup.

Kipre juga memastikan kedudukan selesa sebelum tamat separuh masa pertama dengan gol kedua (m-42) Babak kedua menyaksikan Perak yang dibimbing jurulatih Mehmet Durakovic bangkit mengatur serangan dan berjaya merapat jurang menerusi Muhd Firduas Saiyadi minit ke-46.

Bagaimana pun perlawanan terhenti beberapa minit dengan insiden pergaduhan pemain kedua-dua pasukan yang menyaksikan pemain perak Gilmar da Silva dilayangkan kad merah selepas mengumpul dua kad kuning minit ke-55.

Sebelas minit kemudian pemain Terengganu, Lee Tuck pula menerima kad merah selepas kesalahan menyiku pemain lawan.

Kedua-dua pasukan kembali seimbang dengan 10 pemain. Permainan semakin rancak dengan percubaan serangan pemain-pemain skuad Seladang sehingga membuahkan gol penyamaan minit ke-91 menerusi Brendan  Gan.

Kedua-dua pasukan terikat 2-2 yang memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan. Faiz Nasir meledak gol ketiga untuk Terengganu sebaik sahaja masa tambahan bermula.

Pun begitu nasib drama berterusan gol penyamaan buat Perak pada masa tambahan apabila pemain Terengganu tersilap percaturan menolak bola kea rah gawang sendiri oleh Igor Zonjic.

Ia menjadikan keputusan seri 3-3.

Permainan terpaksa diheret ke penentuan penalti dengan menyaksikan Perak menang dengan keputusan 4-1.

Kemenangan ini menyaksikan Perak menamatkan kemarau trofi prestij Piala Malaysia ini selama 18 tahun, kali terakhir menjulangnya pada edisi 2000.

Sambil itu, pengendali Perak, Durakovic berkata, walaupun secara peribadi beliau sudah memenangi Piala Malaysia empat kali, situasi kali ini sedikit berbeza kerana harapannya begitu tinggi untuk menghadiahkan kemenangan buat Perak.

“Tiga kali saya julang Piala Malaysia sebagai pemain iaitu pada 1995, 1996 dan 1997 dan kemudian sebagai jurulatih sekali tiga tahun lalu. Jika boleh kali ini saya mahu julang piala bersama Perak pula,” katanya, yang meraih kejayaan itu bersama Selangor. -Bernama