Gol Vietnam Offside?

Harimau Malaya sudah melakukan segala-galanya yang terdaya, namun mereka gagal membawa pulang Piala AFF selepas tewas 0-1 kepada Vietnam di Hanoi, sebentar tadi.

Harimau Malaya gagal menyerlahkan ngauman sebenarnya apabila terpaksa akur dengan keunggulan Naga Emas yang gah sebagai Raja Asia Tenggara yang baharu.

Malaysia tewas 0-1 (agregat 2-3) kepada Vietnam dalam perhitungan terakhir yang berlangsung di Stadium My Dinh, Hanoi pada Sabtu, sekali lagi terlepas peluang untuk membawa pulang gelaran untuk seluruh penyokongnya.

Seawal minit keenam gawang Malaysia dirobek Nguyen Anh Duc, menghukum kealpaan berulang anak buah Tan Cheng Hoe yang berusaha menguasai bola sejak wisel sepak mula dibunyikan.

Bagaimanapun, visual ulang tayang menampakkan Anh Duc terlebih dahulu di kedudukan ofsaid sebelum melepaskan sepakan ‘first-timer’ yang menewaskan penjaga gol negara, Farizal Marlias. Namun pengadil perlawanan dari Iran, Alireza Faghani tidak melihatnya dan gol tetap disahkan.

Hanya pada minit ke-43, barulah Harimau Malaya memperoleh percubaan tepat daripada pertahanan kanan, Syahmi Safari namun ditepis keluar penjaga gol Vietnam, Dang Van Lam.

Bersambung babak kedua, Harimau Malaya mempertingkat usaha dan berjaya memberi ancaman kepada kubu Vietnam.

Bagaimanapun, jentera serangan Malaysia kelihatan tumpul, buntu dan tidak senada. Setiap gerakan berjaya dipatahkan barisan pertahanan lawan yang terus melancarkan serangan balas yang hampir merobek lagi maruah skuad negara.

Harimau Malaya tewas tanpa menampilkan kemampuan sebenar mereka sepertimana dalam perlawanan menentang Myanmar di peringkat kumpulan. Tetapi anak buah Park Hang-seo bukanlah Myanmar.

Nyata, Vietnam adalah lawan yang sudah berada di kelas yang lebih baik. Kini mereka berada di tangga ke-100 dunia, terbaik di rantau Asia Tenggara dan sememangnya mereka layak untuk menjulang gelaran edisi kali ini.

Kegagalan pulang bersama trofi menyaksikan kemarau lapan tahun Malaysia kini berpanjangan selepas kali terakhir muncul juara pada 2010.

Setia Dalam Hujan

kira-kira 200 penyokong skuad Malaysia tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan perlawanan akhir kedua antara Harimau Malaya dan Vietnam, malam ini, yang ditayangkan melalui layar gergasi di Galeri Bandar Wawasan, Nilai.

Layar gergasi itu disediakan syarikat pemaju perumahan bagi memberi peluang kepada peminat bola sepak yang tidak dapat bersama pasukan di Stadium My Dinh, Hanoi.

Kebanyakan penyokong datang seisi keluarga dengan lengkap berpakaian penyokong Harimau Malaya dan berpayung untuk menyaksikan aksi skuad bimbingan Tan Cheng Hoe itu.

Walaupun sepak mula bermula 8.20 malam, penyokong yang datang dari kawasan sekitar dan beberapa daerah termasuk Kuala Lumpur membanjiri kawasan itu seawal 7.30 malam.

Walaupun hanya dapat menyaksikan perlawanan melalui layar gergasi, ia tetap meriah apabila peniaga minuman dan makanan ringan tidak melepaskan peluang meletakkan trak makanan di hadapan bangunan utama.

Turut hadir untuk menyaksikan perlawanan bersama penyokong adalah Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, J Arul Kumar.