Insiden Pencemaran Bukan Isu Besar – Osman Sapian

KES pencemaran bahan toksik di Pasir Gudang belum menampakkan tanda-tanda akan reda apabila jumlah mangsa yang terlibat terus meningkat dari hari ke hari.

Menteri Besar Datuk Osman Sapian menyifatkan kejadian pencemaran toksik yang berlaku di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang sejak Khamis lalu hingga menyebabkan 506 mangsa dirawat dan 43 sekolah di kawasan sekitar ditutup bukanlah isu besar.

Osman berkata, isu yang menggemparkan negara itu sederhana sahaja kerana tidak menyebabkan kematian dan tidak ada yang kritikal.

“Kalau nak saya kategorikan, isu ini tidak besar tetapi sederhana sahaja. Walaupun sederhana, kita sedang ambil tindakan seterusnya antaranya pada malam ini juga kita gerakkan menambah kontraktor untuk kerja pembersihan di Sungai Kim Kim.

Pencemaran toksik: Kecekalan petugas kesihatan dan anggota keselamatan wajar dipuji

“Sehingga petang tadi, seorang mangsa yang dikatakan kritikal, saya sudah berbual dengan dia sebentar tadi. Kalau benda ini tidak boleh diubati, sampai hari ini pastinya dia masih lagi kritikal.

“Tular mengenai mangsa terhidu toksik hingga kencing berdarah adalah tidak benar, itu adalah ubat dan disahkan oleh doktor. Macam kita minum air oren, kencing kita menjadi kuning disebabkan air itu,” katanya kepada pemberita selepas melawat pesakit di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini malam tadi.

Dalam pada itu, Osman juga menempelak dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa kerajaan negeri lambat bertindak dan menjelaskan isu itu dari awal berada dalam pengetahuan mereka serta sudah mengambil langkah berjaga-jaga sejak malam kejadian dilaporkan.

“Pembangkang sepatutnya tampil ke hadapan membantu bukannya mengkritik, menakut-menakutkan. Sepatutnya mereka tubuh sendiri jawatankuasa dia bertindak bersama-sama kerajaan, barulah dikatakan pemimpin setia kepada rakyat, kritik sahaja tidak mengubah apa-apa,” katanya.

Sambil itu Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul bahas bagi membolehkan Parlimen Pasir Gudang diisytiharkan darurat , susulan kejadian pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim yang semakin serius.

Speaker Datuk Mohamad Ariff Md Yusof berkata, kebenaran usul itu dibuat berdasarkan kepentingan awam, selain ia perlu disegerakan.

“Saya telah meneliti perkara ini dan ia adalah berdasarkan kepentingan orang ramai dan ianya mendesak.

“Oleh demikian saya benarkan usul ini dibahaskan dan akan dibahaskan pada jam 4:30 petang ini dan saya akan benarkan perbahasan usul ini selama 60 minit,” katanya kepada ahli Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum itu, Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang membacakan permohonan usul itu meminta agar Dewan mengizinkan beliau untuk menangguhkan Dewan mengikut Peraturan Mesyuarat 18 (1).

“Statistik terkini menunjukkan secara jelas pencemaran toksik telah merebak luas dan menjadikan Pasir Gudang terjejas dan tak selamat yang telah menyebabkan Kehidupan beratus ribu rakyat terjejas,” katanya.

“Sebagai ali parlimen Pasir Gudang saya mohon supaya kerajaan persekutuan isytiharkan darurat di Pasti Gudang mulai hari ini juga.

“YB Menteri tolong saya. Pagi tadi saya hantar surat kepada Speaker supaya usul tergempar dibentangkan di parlimen pada hari ini, bukan hari Isnin!

“Saya minta soal teknikal diketepikan. Ini soal nyawa! Saya minta usul ini dibincangkan dan dibahaskan hari ini,” kata Hassan yang mencelah semasa Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri dalam sidang Dewan Rakyat, pagi ini.

Ahmad Maslan (BN-Pontian) juga menggesa kerajaan untuk mengisytiharkan darurat kerana menurutnya, kerja-kerja pembersihan Sungai Kim Kim yang tercemar hanya dijangka siap dalam tempoh satu minggu.

Sementara itu, Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin berkata beliau tidak mempunyai kuasa untuk mengumumkan darurat secara unilateral.

“Saya akan panjangkan pandangan-pandangan kepada jawatankuasa. Ini bukan keputusan saya seorang sendiri. Akan buat keputusan secepat mungkin.

“Sebenarnya mengikut EQA semua pengeluaran sisa toksid perlu dilupuskan di tempat berlesen. Tapi apa terjadi sekarang adalah pesalah tidak mengikuti undang-undang.

“Saya harap juga bahawa YB sekalian boleh bertanggungjawab sebagai seorang wakil rakyat apabila kita menangani krisis ini. Jangan main politik, jangan menuding jari,” kata Yeo.

Cadangan mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Sumber dari SuaraTV