“Maafkan saya cikgu. Saya hantar kuih dulu kat kedai. Mak buat kat rumah, lepas tu hantar kedai ke kedai,”

Seorang murid lelaki tahun 6 berjalan perlahan-lahan menuju ke barisan kelas dia. Jam 7:40 baru murid ini sampai.

Kebetulan PK Hem dan aku sebagai guru disiplin ada di tapak perhimpunan, memang kena panggil la budak ni. En Shafit PK Hem terus panggil dia.

“Ni kenapa awak pakai selipar ni?”

“Kasut saya basah, cikgu.”

Dia menjawab dengan segan. Muka ditunduk-tunduk. Aku kat sebelah En Shafit diam dan memerhati sahaja. Bos dah bertindak, aku diam je lah.

Sebenarnya, kasut dia pun uzur yang amat. Dah teruk dan rosak dah pun. Tapi aku bertahan hingga bulan depan untuk belikan dia kasut baru. Sekolah tinggal sebulan sahaja, baik beli untuk kegunaan tahun depan terus.

Murid ni aku ajar. Murid kelas belakang tapi sangat rajin datang ke sekolah. Jujur aku cakap, budak ni tak pandai mana. Matematik tak pernah lulus.

Namun dia sangat baik dan menghormati guru. Nampak saja aku bawa apa-apa, terus berlari nak bantu.

Tapi dah buat salah dan langgar peraturan, memang kena marah dan tegur lah.

“Ni dah kenapa awak datang lambat? 7:40 baru sampai sekolah ni?” sedikit tegas En Shafit bertanya.

“Maafkan saya cikgu. Saya hantar kuih dulu kat kedai. Mak buat kat rumah, lepas tu hantar kedai ke kedai,” jawabnya jujur.

En Shafit pandang aku. Dengar jawapan budak ini terus tak jadi marah dia. Dia pergi ronda barisan murid pula. Tu petanda dia serah kat aku dah tu budak ini.

Walau aku guru disiplin, takkan aku nak terus rotan walau dia ada langgar peraturan. Lagi pun alasannya memang menyentuh hati.

Seorang anak membantu ibu menyara keluarga dengan menghantar kuih ke kedai kedai setiap pagi sebelum terus ke sekolah.

Keinginannya nak ke sekolah kuat walau dia tidaklah sepandai mana. Kerajinan dia tu aku suka.

Ada sesetengah murid, dah la kurang pandai, malasnya ya ampun. Sampai kena pergi rumah dia cari dan suruh datang sekolah. Tu pun liat juga. Mak ayah pula jenis tak kisah, lagi tambah susah.

Keesokannya..

“Cikgu! Saya pakai kasut hari ini!” Jerit murid ini dari kejauhan.

Semalam dia kena denda berdiri di depan sebab pakai selipar. Bila Pk Hem En Shafit tanya, katanya kasut dia basah.

Aku tahu dia bohong sebab takut dan malu. Aku tahu kasut dia dah rosak teruk. Tapi hari ini dia tetap pakai juga, nak tunjukkan pada kami para guru yang dia murid yang ikut peraturan.

Kasutnya dari atas dah berlubang dah. Waktu jalan dia cover baik punya macam kasut tu tak ada apa-apa. Aku pergi mendekati dia yang baru duduk dalam barisan semasa perhimpunan pagi.

“Tunjukkan cikgu tapak kasut kamu,” arahku.

“Ala cikgu ni. Kenapa? Okey je lah,” dia cuba mengelak.

“Awak ingat cikgu tak tahu?”

“Sikit je cikgu tau. Nanti cikgu lain nampak,” balasnya malu-malu.

Terus aku snap gambar ini bila dia angkatkan kaki menunjukkan tapak kasut dia.

Kau lihat la sendiri betapa parah kasut budak ini. Patut dia malu nak pakai kan?

Bukan dia seorang kasut senazak ini, ada lagi beberapa orang.

Sekolah berbaki sebulan lagi, nampak gayanya aku tak boleh tunggu lebihan dana Projek Beg Sekolah. Dana untuk projek beg baru masuk 50%.

Aku akan guna sebahagian baki #DanaKITA untuk belikan mereka kasut baru paling lewat minggu depan. Aku tak nak mereka simpan untuk kegunaan tahun depan, aku nak mereka pakai terus.

Untuk kegunaan tahun depan, aku akan belikan lain lagi akhir tahun nanti. Itu pun jika tabung Dana Kita masih berbaki.

Diharap sumbangan Dana Kita makin dapat sambutan. Kerana banyak sangat orang sekeliling aku perlu dibantu dengan kadar segera.

Esok Jumaat tuan puan. Sayyidul ayyam yang sangat digalakkan bersedekah. Ada yang sudi mengirim sedikit dana untuk projek amal aku yang sentiasa berjalan ni tak?

Jika ada, tolong tinggalkan komen ya!

InsyaAllah ada kawan-kawan baik aku akan pm kalian nombor akaun Dana Kita. Terima kasih.

Tahun ini, aku masih bercadang nak sediakan satu seragam lengkap termasuk kasut sekolah untuk murid-murid aku dari keluarga begini.

Tengoklah jika ada rezeki, InsyaAllah. Sumbangan Dana Kita untuk Projek Beg Sekolah dah pun mampu nak beli 500 beg ni, alhamdulillah.

Masih perlukan dana untuk beli 1500 buah beg lagi. Jika ada dana lebih dari 2000 beg baru aku boleh belikan mereka seragam persekolahan lengkap untuk kegunaan tahun 2019.

Doakan agar Tuhan buka hati lebih ramai hamba-hambaNYA untuk bantu projek amal aku ya!

#MFS
– Cuba membantu selagi mampu. Jika melihat situasi ini kita masih tidak peduli, itu menandakan hati kita telah mati. –

Cikgu Mohd Fadli Salleh