(Video) Main PUBG tak ingat dunia, pemuda hati ‘Paskal’ menggigil disergah komander, menangis tengok hantu!

PERMAINAN video popular, Player Unknown Battleground (PUBG) boleh membuatkan mana-mana pemain berasa seronok sehingga ada yang ketagih dengannya.

Gara-gara menghabiskan banyak masa bermain permainan tembak-menembak itu, seorang pemuda yang ‘berhati kental’ bergenang selepas dimarahi bapa saudara kepada abang angkatnya.

“Kena marah dengan komander, orang mai rumah, dia duk main PUBG. Tak layan tetamu. Selalu sangat dia cakap kat orang yang dia tu memang berhati Paskal. Sekali kena sound (tegur), lurus terus budak ni,” menurut keterangan video berdurasi 52 saat yang dikongsi di laman sosial sehingga tular.

Pemuda yang merakamkan video tersebut, Mohd Ramzie Ramli, 33, berkata, ia berlaku pada malam Jumaat lalu semasa bercuti ke Langkawi bersama adik angkatnya, Mohamad Zafir Mohd Mahazir dan bapa saudaranya yang lebih mesra dipanggil Cik Man atau komander.

Mohd Ramzie memberitahu, sebelum insiden itu, seorang rakannya yang mesra dengan panggilan Tehad datang ke apartment penginapan mereka untuk berbincang mengenai aktiviti memancing pada Sabtu.

“Kawan datang ke rumah nak bincang pasal pancing, Zafir pula asyik main PUBG dalam bilik tidur, tak duduk sekali dengan tetamu kat ruang tamu.

“Bila tetamu dah nak balik pun, dia sibuk main lagi. Bayangkanlah tetamu sampai masuk ke dalam bilik tidur nak bersalam dengan dia sebelum pulang,” katanya kepada mStar Online pada Isnin.

Mohd Ramzie berkongsi video adik angkatnya dimarahi bapa saudaranya, seorang pesara polis  gara-gara asyik bermain PUBG.

Susulan itu, Mohd Ramzie yang berniaga sendiri ‘melaporkan’ perkara tersebut kepada bapa saudaranya yang merupakan pesara polis dari Unit Tindakan Khas (UTK) berpangkat komander, yang ketika itu baru pulang daripada menziarahi seorang rakan.

“Dalam video tu, pakcik memang marah walaupun nak tergelak pun ada. Pakcik siap gertak nak bawa Zafir pergi jumpa hantu. Sebabnya Zafir selalu cakap besar, kata dia ni macam Paskal… berani dan berhati kental.

“Malam sebelumnya, pakcik kenakan dia nak bawa masuk hutan untuk tengok hantu depan-depan, nak uji dia ni sebenarnya berani ke tak. Tapi dia sebenarnya penakut sampai menangis,” katanya secara berseloroh.

Sementara itu, Zafir mengaku dia sering menganggap dirinya berani kerana pengaruh Paskal, filem tempatan yang mendapat kutipan pecah panggung.

Mohd Ramzie (kiri) dan Zafir semasa bercuti di Langkawi. Foto Mohd Ramzie Ramli

Namun hakikatnya, pemuda yang berusia 21 tahun berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang ini mengakui dirinya tidak ‘sekental’ seperti yang disebut-sebutnya.

Berkongsi pengalaman seram, pelajar tahun akhir jurusan kulinari dari MSU College Pulau Pinang ini memberitahu bahawa dia telah dibawa masuk ke hutan oleh Cik Man.

“Masa tu kira-kira pukul 1 pagi (Jumaat) kami dalam perjalanan pulang ke apartment selepas makan. Bila lalu jalan sunyi dengan kiri kanan hutan, Cik Man tiba-tiba menghentikan kereta di tepi jalan.

“Dia kemudian bawa saya keluar untuk masuk hutan dan nak saya pandang pada satu pokok besar. Saya tak berani, saya tutup mata. Memang takut sampai menangis,” katanya yang berasa geli hati mengimbas kembali insiden ‘kelakar seram’ itu.

Zafir (kiri) dan Mohd Ramzie (dua, kiri) bersama rakan-rakan termasuk Tehad (tiga, kiri).

Zafir berkata, dia mula terlibat dalam permainan PUBG sejak dua bulan lalu dan mengaku menghabiskan masa bermain permainan itu hampir setiap hari.

Anak ketiga daripada empat beradik ini bagaimanapun memberitahu, dia tidak bermain PUBG selama dua hari semasa bercuti di Langkawi kerana kesibukan dengan pelbagai aktiviti, selain liputan perkhidmatan internet yang terhad.

https://www.facebook.com/100009718925556/videos/799856040348353/

“Bila dah balik ke bilik tu yang ‘lepas gian’ main PUBG, lagipun tak nak ganggu tetamu sibuk bincang. Tapi saya sempat salam dengan kawan tu sebelum masuk ke bilik.

“Tapi tu lah, mereka suka menyakat saya. Masa kena tegur tu, Cik Man ada gertak lagi kalau buat hal, dia nak bawa saya tengok hantu. Saya tak nak, takut… hahaha,” katanya sambil menambah ia memberi pengajaran kepadanya untuk tidak terlalu leka bermain permainan popular itu dan nekad untuk menjadi lebih berani pada masa akan datang.

https://www.facebook.com/100009718925556/videos/801070630226894/

Sumber dari mStar