Para Asia 2018: Ridzuan Puzi dan Latiff Romly cipta rekod baharu dunia

Dua atlet Sukan Para Asia 2018 iaitu Ridzuan Puzi dan Abdul Latiff Romly berjaya menyumbang pingat emas kepada negara sekali gus memecahkan rekod dunia setelah permulaan yang agak perlahan dimulakan pada temasya sukan itu.

Ridzuan memenangi acara kegemarannya, pecut 100 meter (m) dalam kelas T36 selepas mencatatkan 11.87 saat (s) pada aksi di Stadium Gelora Bung Karno hari ini. Beliau juga adalah pemenang pingat emas di Sukan Paralimpik Rio pada tahun 2016 lalu.

Rekod dunia sebelum ini dipegang oleh atlet dari Russia, Evgenii Shvetcov 11.90s yang dilakukan pada Kejuaraan Dunia 2013 di Lyon, Perancis.

Tempat kedua dimenangi atlet China, Yang Yifei yang mencatat 11.91s manakala Al Harrasi Taha Abdullah Rashid dari Oman meraih gangsa dengan catatan 12.36s.

Sementara itu, Latiff yang beraksi dalam acara lompat jauh turut memecahkan rekod dunia miliknya dalam kategori T20 selepas melakukan catatan 7.64m untuk memenangi emas.

Catatan itu memperbaharui rekod 7.60m yang dilakukannya ketika memenangi emas di Rio, dua tahun lalu dengan dua atlet Jepun, Kokubo Kanta Yamaguchi Mitsuo masing-masing meraih perak dan gangsa selepas melakukan catatan 6.79m dan 6.68m.

Mohamad Ridzuan yang ditemui pemberita Malaysia selepas acara berkenaan nyata berbangga dapat memecahkan rekod dunia dalam acara berkenaan.

“Dik Wan nak ucapkan terima kasih kepada jurulatih, Majlis Paralimpik Malaysia, Institut Sukan Negara serta ibu bapa Dik Wan yang banyak beri sokongan dan kemenangan ini untuk mereka semua,” katanya.

Pandangan sama turut disuarakan Abdul Latif yang tidak menyangka dapat memperbaharui rekod dunia miliknya sendiri dalam acara berkenaan memandangkan beliau menerima saingan sengit daripada peserta lain.

“Syukur, Alhamdulillah dan ini di luar jangkaan, namun saya gembira kerana berjaya mempertahankan pingat emas dan perbaharui rekod dunia milik saya sendiri,” kata anak jati Perlis itu.

Secara keseluruhan, kontinjen negara menuai enam emas, hari ini dengan empat daripadanya hadir dalam acara olahraga.

Terdahulu, Malaysia memulakan tuaian emas menerusi Siti Noor Iasah Mohamad Ariffin dan Nasharuddin Mohamed yang menjuarai acara 400m wanita dan lelaki T20 (masalah pembelajaran).

Dua lagi emas disumbangkan dalam acara berbasikal menerusi Zuhairie Ahmad Tarmizi (lebuh raya C5) dan Nur Azlia Syafinaz (lebuh raya B).

Berikut adalah beberapa fakta menarik tentang Ridzuan Puzi:

1. Mohamad Ridzuan berusia 29 tahun dan dilahirkan di Perlis.

2. Beliau disahkan pihak doktor menghidap cerebral palsy sejak berusia setahun.

3. Menurut laman web Paralympic.org, Mohamad Ridzuan mula menceburi sukan ini untuk satu acara perlawanan antara sekolah di Perlis. Bakat beliau dicungkil pada 2004.

4. Mohamad Ridzuan membuat kemunculan pertama sebagai atlet profesional dalam Sukan Para ASEAN yang diadakan di Solo, Indonesia pada 2011.

5. Jurulatih olahraga para, R. Jeganathan bertindak sebagai jurulatihnya.

6. Sebagai persiapan untuk temasya Paralimpik di Rio, Mohamad Ridzuan diberi peluang untuk menerima latihan insentif selama dua minggu di Jerman dan berlatih bersama atlet sana.

7. Beliau pernah menduduki ranking nombor satu dunia dalam acara 100m T36. Menurut laman web Stadium Astro, kedudukan beliau jatuh ke tangga keempat setelah dipintas oleh pelari China Yang Yi Fei

8. Mohamad Ridzuan memenangi Anugerah Olahragawan Paralimpik Kebangsaan susulan kejayaan memenangi pingat emas pada Kejohanan Olahraga Dunia IPC di Qatar bagi acara 100m (T36) dan Sukan Para ASEAN (APG) Singapura dalam acara 100m dan 200m (T36)

Berikut adalah beberapa fakta menarik tentang Abdul Latiff Romly:

1. Latif merupakan atlet yang tergolong dalam kurang upaya intelektual.

2. Berusia 19 tahun, Latif berasal dari Kampung Paya Kelubi, Perlis.

3. Tahun ini merupakan penampilan pertamanya dalam Sukan Paralimpik- beliau berjaya memecahkan rekod dunia yang dicatat oleh atlet Sepanyol, Jose Exposito (7.37m) pada tahun 2003

4. Beliau berjaya meraih pingat emas dalam acara lompat jauh pada Kejohanan Sukan Para Asia 2014, ASEAN Para Games 2015, Kejohanan Dunia Olahraga IPC 2015, Paralimpiad Sukma Sarawak 2016.

5. Pada Sukan Malaysia (Sukma) 2016, Latif berjaya menewaskan atlet normal untuk meraih pingat emas serta mencatat rekod dunia yang baharu (7.46 m).

6. Selepas mencatat lompatan yang begitu cemerlang pada Sukma 2016, Latif telah berada dalam kedudukan baik untuk melakar kejutan membawa pulang emas di Rio.

7. Menurut portal Malaysia Online Marketing, Latif berlatih di Jerman sebagai persiapan ke Sukan Paralimpik edisi tahun ini.