Sah ECRL dibatalkan, harapan rakyat Pantai Timur kini tinggal impian

KUALA LUMPUR – Teka-teki mengenai pembatalan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akhirnya terjawab apabila Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan pembatalan projek berkenaan hari ini.

Dengan pembatalan itu juga dipercayai akan berkubur terus bersama-sama harapan rakyat negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan yang sememangnya mengharapkan ia akan membantu meningkatkan ekonomi mereka.

Menurut Jabatan Komunikasi Strategik Penerangan UMNO Malaysia, kenyataan Dr. Mahathir bahawa projek ECRL bakal membebankan Malaysia dengan hutang sehingga 30 tahun tidak dapat diterima logiknya kerana kajian menyeluruh telah dijalankan di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Terdapat bahagian laluan ECRL sudah pun memulakan kerja asas dan mengambil kira-kira 30,000 pekerja tempatan dan asing. Baru semalam Dr. Mahathir ada menyebut kemungkinan surat pembatalan yang disiarkan dalam media sosial itu sengaja diputar belit atau diubah bagi menggambarkan keadaan sebenar.

“Hari ini pula, beliau membuat pengakuan mengenai pembatalan itu. Biarpun keputusan Kabinet mengenai projek itu akan dibuat pada minggu hadapan, ia dipercayai akan berkubur terus bersama-sama harapan rakyat Pantai Timur,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sah ECRL dibatalkan, harapan rakyat Pantai Timur kini tinggal impian

Tambah kenyataan tersebut, kemelut ECRL itu juga mencerminkan tidak wujudnya kesepakatan di dalam Kabinet Pakatan Harapan (PH) apabila dua menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Lim Guan Eng saling berpolemik mengenai projek tersebut.

Jelasnya, dari segi politik, keputusan Dr. Mahathir dilihat sebagai ‘hukuman’ ke atas rakyat di tiga negeri berkenaan yang enggan berada di bawah kerajaan PH.

“Ia satu cara kezaliman politik terhadap rakyat yang selama ini melihat ECRL sebagai koridor pembangunan sahsiah ekonomi negeri masing-masing. Dari sudut ekonomi pula, walaupun Kabinet memutuskan untuk membina ECRL pada masa depan, mungkin lima atau 10 tahun lagi, ia bakal menyaksikan kosnya meningkat dua atau tiga kali ganda.

“Dr. Mahathir sendiri pernah berkata di sekitar tahun 90-an apabila ditanya wartawan mengenai rancangannya membina Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas Subang: ‘Jika bukan sekarang, kosnya akan meningkat dua tiga kali ganda pada masa hadapan’.

“Kita simpati dengan nasib rakyat Pantai Timur. Selepas bertahun-tahun BN merancang pembangunan masa depan untuk mereka, ia berkubur dalam sekelip mata di bawah kerajaan Pakatan Harapan,” kata kenyataan itu.

Kerajaan tanggung hutang besar jika ECRL diteruskan – Tun M

Jumlah pampasan yang perlu dibayar oleh kerajaan jika memutuskan untuk membatalkan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) tidak sebesar berbanding jumlah hutang jika projek rel itu diteruskan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kerajaan akan menanggung hutang besar selama 30 tahun jika projek ECRL diteruskan, katanya.

“Pampasan yang tinggi itu tidak sebesar jumlah yang akan kita bawa selama 30 tahun akan datang,” katanya ketika ditanya sama ada kerajaan perlu membayar pampasan besar jika projek ECRL bernilai RM81 bilion, dibatalkan.

Dr Mahathir bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Pelan Antirasuah Kebangsaan (NACP) 2019-2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

“Kita dibebani hutang yang sangat berat. Kita tidak boleh bayar, jadi kita perlu mengurangkan beberapa perbelanjaan yang dilakukan oleh kerajaan sebelumnya, bukan kerana kita tidak mahu menghormati kontrak, tetapi kita tidak boleh membayar kerana kontrak-kontrak ini boleh menelan belanja lebih daripada RM100 bilion, dan akan memudaratkan kita.

“Kami memahami kebimbangan pihak yang terlibat, bukannya kami mahu mengecewakan atau membatalkan kontrak. Kedudukan kewangan kini benar-benar ketat,” katanya.

Sah ECRL dibatalkan, harapan rakyat Pantai Timur kini tinggal impian

Ditanya mengenai keputusan kerajaan terhadap projek itu, Dr Mahathir berkata, Menteri Kewangan Lim Guan Eng akan memberikan penjelasan mengenainya.

Sambil mengakui bahawa beberapa menteri telah membuat kenyataan sebelum ini, Dr Mahathir ketika menjawab soalan mengenai pernyataan bercanggah yang dibuat oleh menteri membabitkan projek ECRL, berkata: “Beberapa kesilapan dibuat dan akan diperbetul.

Pada Sabtu (26 Januari), Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan bahawa kerajaan memutuskan untuk membatalkan projek RM81 bilion dengan CCC Ltd itu, dan pada hari berikutnya (27 Januari), Lim berkata Kabinet akan membuat pengumuman rasmi minggu ini terhadap projek ECRL yang disokong oleh China.- Bernama

Sumber dari Berita Harian